Kendrick Lamar cipta rekod menang Rakaman Terbaik berturut-turut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kendrick Lamar cipta rekod menang Rakaman Terbaik berturut-turut

Olivia Dean raih Artis Baru Terbaik, Lady Gaga bangkit semangat wanita di Anugerah Grammy ke-68
Feb 2, 2026 | 7:06 PM

Kendrick Lamar cipta rekod menang Rakaman Terbaik berturut-turut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kendrick Lamar, gnx, grammys
Penyanyi ‘rap’ Amerika Syarikat, Kendrick Lamar, menerima anugerah Album ‘Rap’ Terbaik bagi album ‘GNX’ pada Anugerah Grammy ke-68, yang diadakan di Arena Crypto.com, di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, pada 1 Februari. - Foto REUTERS

Penyanyi ‘rap’ Amerika Syarikat, Kendrick Lamar, 38 tahun, berhasil mengukuhkan lagi kedudukannya apabila lagu Luther, dinobatkan sebagai Rakaman Terbaik pada Anugerah Grammy ke-68, yang diadakan di Arena Crypto.com di Los Angeles, California pada 1 Februari.

Lagu Luther merupakan kerjasama Lamar bersama penyanyi yang juga penulis lagu, SZA.

Lebih manis lagi, kemenangan itu turut menandakan pencapaian bersejarah buat Lamar apabila beliau meraih piala bagi kategori utama tersebut buat kali kedua berturut-turut.

Sebelum ini, beliau memenangi kategori yang sama menerusi lagu tular berunsur sindiran, Not Like Us, pada Anugerah Grammy ke-67 (2025).

Kejayaan itu meletakkan bintang kelahiran Compton itu sebaris dengan penyanyi antarabangsa lain seperti Billie Eilish, U2 dan Roberta Flack, sebagai empat artis tunggal dalam sejarah Grammy yang menjuarai kategori tersebut secara berturut-turut.

Lagu Luther yang dimuatkan dalam album GNX (2024) itu dihasilkan berdasarkan sampel lagu klasik pada 1982, If This World Were Mine, nyanyian asal Luther Vandross dan Cheryl Lynn.

Selain menyerlah di pentas anugerah, lagu itu turut menguasai carta selama 13 minggu, menjadikannya single terlama dalam carta bagi 2025, di samping merekodkan lebih 1.3 bilion penstriman di Spotify.

Lamar berjaya mengetepikan barisan calon hebat lain dalam kategori berprestij itu termasuk pasangan duet, Rose dan Bruno Mars dengan lagu, Apt; Chappell Roan (The Subway); Lady Gaga (Abracadabra); Billie Eilish (Wildflower); dan Sabrina Carpenter (Manchild).

Gaga pula menerima anugerah Album Pop Vokal Terbaik bagi album Mayhem, sebaik selepas memukau hadirin dengan persembahan lagu Abracadabra.

“Saya menghasilkan muzik sejak kecil dan setiap kali berada di sini, saya perlu mencubit diri sendiri (kerana tidak percaya),” kata Gaga, 39 tahun, lapor The News International.

Menambah seri pada ucapannya, Gaga turut merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama yang terlibat dalam pembikinan album tersebut, sambil menyampaikan pesanan penuh inspirasi kepada wanita dalam industri muzik.

“Saya tahu, ada kalanya apabila berada di studio rakaman bersama sekumpulan lelaki (rakan sekerja), keadaannya boleh menjadi mencabar.

“Oleh itu, dengarlah kata hati sendiri dan beranikan diri mempertahankan idea anda.

“Perjuangkan lagu-lagu anda. Perjuangkan peranan anda sebagai penerbit. Pastikan suara anda didengari dengan lantang,” katanya lagi.

Dalam kategori tersebut, Gaga menewaskan pencabar lain termasuk Justin Bieber dengan lagu Swag; Miley Cyrus (Something Beautiful); Teddy Swims (I’ve Tried Everything but Therapy [Part 2]); dan Sabrina Carpenter (Man’s Best Friend).

Penyanyi R&B dari Britain, Olivia Dean, 26 tahun, turut mencipta detik gemilang apabila lagu pop berjudul Man I Need, melonjakkan namanya sebagai pemenang Artis Baru Terbaik.

Dikenali dengan vokal ‘soul’ penuh jiwa dan disulam dengan unsur pop moden, Dean dilihat mengikut jejak langkah barisan penyanyi wanita legenda kegemaran Grammy terdahulu seperti Amy Winehouse, Sade dan Carole King.

Sebelum ini, pada 2025, beliau membuka tirai konsert jelajah Short n’ Sweet yang dibawakan oleh Carpenter.

Kejayaan itu turut meneruskan rekod sembilan tahun berturut-turut apabila anugerah Artis Baru Terbaik dimenangi oleh pemuzik wanita solo.

Dalam kategori itu, Dean menewaskan pencabar lain termasuk Leon Thomas, Katseye, The Marías, Addison Rae, Sombr, Alex Warren dan Lola Young.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg