Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencalonan AIM hadiah hari lahir paling manis bagi penyanyi, penggubah S’pura

Diana Nazyra tidak sangka lagu pemerkasaan wanita, ‘Hawa’, dipertanding bersama lagu Rossa dan Aziz Harun
Aug 20, 2025 | 5:30 AM
Diana Nazyra bersyukur dan tidak menduga lagu ‘Hawa’ mengenai pemerkasaan wanita yang diciptanya bersama penggubah Malaysia, Omar K, terpilih bagi antara lima calon kategori  ‘Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara’, bagi Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 13 September ini.
Diana Nazyra bersyukur dan tidak menduga lagu ‘Hawa’ mengenai pemerkasaan wanita yang diciptanya bersama penggubah Malaysia, Omar K, terpilih bagi antara lima calon kategori  ‘Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara’, bagi Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 13 September ini. - Foto ihsan DIANA NAZYRA

Sewaktu penyanyi dan penggubah lagu Singapura, Diana Nazyra, mencipta lagu pemerkasaan wanita, Hawa, tidak sedikit pun beliau menyangka lagu itu akan membawanya ke puncak jaya dan diiktiraf di pentas Anugerah Industri Muzik (AIM), yang diibaratkan seperti Anugerah Grammy versi Malaysia.

Hawa, dengan sentuhan lirik suaminya, Abdul Razak Johar, dan digubah bersama penggubah tidak asing lagi, Omar K, tersenarai sebagai ‘Top 5’ atau antara lima calon AIM bagi kategori ‘Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara’.

Beliau bersaing dengan nama besar di Nusantara ini, iaitu Aziz Harun dari Brunei bagi lagu Janji dan Datuk Seri Rossa dari Indonesia (tercalon bagi dua lagu, Lupakan Cinta dan Bertengkar Manis).

Rossa menyanyikan lagu Bertengkar Manis bersama penyanyi muda Indonesia, Barsena.

Turut dicalonkan ialah duo Korea yang menyanyikan lagu Melayu, HoonDoo, bagi lagu Masih Ku Sayang.

Kejutan manis itu diraih Diana ketika hadir di sidang media pengumuman ‘Top 5’ AIM pada 14 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

Beliau diundang tetapi tidak tahu menahu nama dan karyanya bakal dipertandingkan.

Boleh dikatakan pencalonan Diana itu adalah hadiah hari lahir paling manis yang diterimanya, empat hari sebelum usianya mencecah 45 tahun pada 18 Ogos lalu.

AIM akan berlangsung pada 13 September di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Diana, yang juga guru vokal, berkata:

“Saya sangat bersyukur, teruja dan terkejut sebab saya tidak pernah terfikir lagu saya akan dipertandingkan bagi AIM yang menjulang karyawan muzik bukan calang-calang.

“Kebetulan, berita gembira ini saya terima beberapa hari sebelum saya menyambut ulang tahun saya. Ia pemberian paling indah daripada Allah.

“Saya juga tidak mengharapkan sebarang kemenangan. Bagi saya, tercalonnya lagu saya bagi AIM sudah menjadi titik indah dalam perjuangan seni saya selama 20 tahun.

“Saya juga tidak menganggap pencalonan ini sebagai satu persaingan sebab mereka yang dicalonkan dalam kategori saya pun merupakan inspirasi saya dalam industri muzik serantau. Terharu dapat dicalonkan seiringan dengan Rossa, Aziz Harun dan HoonDoo.”

Baginya, lagu Hawa ini merupakan luahan ikhlas, tulus dan telus dari lubuk sanubarinya.

Ia dihasilkan beberapa bulan setelah pemergian neneknya, Allahyarhamha Awa Ali.

“Saya kenang jasa nenek. Ketika ibu bapa saya berpisah, ibu sibuk bekerja mencari rezeki buat kami tiga beradik.

“Nenek yang banyak menjaga kami pada masa itu. Nenek juga mengajar saya tentang pentingnya kesabaran, keikhlasan, cinta, kasih sayang dan perjuangan seorang wanita.

“Kita harus sentiasa kuat, tabah dan bangkit walau apa pun ujian yang melanda. Begitulah perjuangan nenek saya hingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya,” ceritanya.

Pemergian neneknya membuatnya begitu terkesan, lantas dirinya mengambil keputusan meluahkan semuanya dalam bentuk lagu yang dapat menceritakan kata-kata yang tidak terucap apabila kehilangan orang tersayang.

Bagi Diana, walaupun Hawa ini khas buat wanita, tetapi kaum Adam juga banyak bertungkus lumus menjayakannya.

Suaminya, Abdul Razak dan komposer serta penerbit Malaysia, Omar K, menjadi lelaki yang menghidupkan lagu ini menjadi sebuah karya yang boleh dibanggakan.

“Kami suami isteri berasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Omar. Kami juga memiliki keserasian dengannya.

“Beliau bahkan banyak memberi galakan dan berkongsi ilmu muzik dengan kami,” kata Diyana, yang menyatakan cabaran menghasilkan Hawa lebih pada dua bulan sebelum rakaman dibuat, ibu mentuanya, Endon Aman, pula meninggal dunia.

“Mak mentua saya dapat dengar awal-awal lagu ini baru dicipta. Dia suka sangat dengan lagu kami, malahan, mendoakan kejayaannya,” jelas Diana, yang akui dirinya sebak ketika merakam lagu ini dan juga sewaktu menyiapkan video muziknya kerana teringatkan orang-orang tersayang.

Ditanya mengenai pesanannya kepada artis Singapura yang ingin menembusi pasaran Malaysia atau Indonesia, Diana berkata:

“Berusahalah dan terus berdoa dan jangan pernah putus asa. Cabaran sentiasa ada tetapi anda harus menepis semua perasaan negatif untuk berjaya.

“Setiap kali jatuh, bangkit semula dan teruskan perjuangan. Jadilah insan positif dan bekerja sebagai sebuah kumpulan bagi menghargai dan menghormati orang lain.

“Jangan berhenti mencari ilmu. Detik anda berhenti, maka terhentilah perjuangan anda. Jangan mudah selesa dengan apa yang dimiliki dan kenang jasa mereka yang banyak berada di sisi anda sewaktu anda jatuh dan ingin bangkit semula.”

Selain pencapaian di AIM, Diana juga terharu dapat menjadi guru vokal bagi acara Hari Kebangsaan di Tampines West pada 16 Ogos lalu.

“Saya seronok dapat buat persembahan dan menjadi jurulatih vokal bagi aktivis akar umbi berbilang kaum.

“Tentunya, ia pengalaman berharga sebab kita sama-sama menyemai jiwa satu negara melalui lagu Di Tanjong Katong dan We Are Singapore,” ujarnya yang berharap dapat menghasilkan lagu patriotik buat Singapura tercinta jika ada peluang dan rezeki melakukannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg