Topik diikuti
Pergi ke BHkuKesemua artis pembuka tirai konsert Ed Sheeran tarik diri susulan pengguguran Macklemore
Kesemua artis pembuka tirai konsert Ed Sheeran tarik diri susulan pengguguran Macklemore
Kesemua artis pembuka tirai konsert Ed Sheeran tarik diri susulan pengguguran Macklemore
Kesemua artis pembuka tirai yang tinggal bagi konsert siri jelajah Ed Sheeran di Amerika Syarikat telah menarik diri.
Hal tersebut selepas penyanyi rap Macklemore digugurkan daripada senarai persembahan berikutan kenyataan pro-Palestin yang dibuatnya di pentas.
Antaranya termasuk Finneas, abang kepada bintang pop Billie Eilish, yang menyatakan dalam satu kenyataan: “Artis tidak sepatutnya dibungkam apabila mereka bersuara demi pihak yang ditindas.”
Penyanyi dan penulis lagu dari Ireland, Aaron Rowe, serta kumpulan dari Denmark, Lukas Graham, turut mengumumkan pengunduran mereka.
Kumpulan muzik ‘folk’ dari Ireland, Beoga, yang membuat persembahan bersama Sheeran di pentas pada setiap malam, juga membuat keputusan untuk menarik diri.
Pengumuman tersebut dibuat beberapa jam selepas Sheeran menyatakan beliau tidak mahu diheret ke dalam perdebatan awam mengenai Gaza.
Beliau juga menegaskan beliau tidak bertanggungjawab atas pengguguran Macklemore daripada siri jelajah berkenaan.
“Keputusan untuk mengeluarkan Macklemore daripada siri jelajah ini dibuat oleh pihak penganjur, bukannya saya,” kata Sheeran dalam laman Instagramnya.
“Saya tidak akan sesekali mengecewakan peminat yang telah membuat perancangan, mahupun mengabaikan krew jelajah serta artis pembuka tirai dan pemuzik lain yang bergantung kepada saya untuk bekerja dan mencari rezeki,” tambah beliau.
Awal bulan ini, Macklemore (atau nama sebenarnya Benjamin Haggerty) telah menyerukan “Bebaskan Palestin” dan memaparkan imej kemusnahan di Gaza semasa dua persembahan konsertnya di New Jersey.
Kenyataan beliau menarik kritikan daripada beberapa kumpulan Yahudi, yang kemudiannya menyebabkan beberapa lokasi konsert mendesak pihak penganjur siri jelajah untuk menggugurkan beliau daripada senarai persembahan.
Dalam kenyataannya, Sheeran memberitahu beliau telah berbincang dengan pihak pengurusan lokasi ‘secara terperinci sepanjang minggu untuk cuba mencapai jalan penyelesaian’.
Namun pihak penganjur, Messina Touring Group, akhirnya membuat keputusan untuk membatalkannya.
Walaupun bintang itu menyatakan beliau ‘amat terkesan dengan konflik antara Israel dan Palestin’ serta menganggap penderitaan dan kesakitan yang dialami oleh kededua pihak adalah satu tragedi kemanusiaan, beliau turut cuba menjelaskan keputusannya untuk tidak mengambil bahagian dalam isu politik.
Sheeran turut berkata: “Saya tidak bersubahat.
“Saya mempunyai pandangan peribadi mengenai konflik yang memusnahkan ini.
“Meskipun saya memilih untuk tidak bersuara secara terbuka, itu tidak bermakna saya tidak mempunyai pandangan tersendiri, dan tidak bermakna saya tidak ambil peduli.
“Ia juga tidak bermakna saya tidak menyokong usaha murni menerusi cara peribadi saya sendiri.”
“Ada sebab mengapa saya tidak menggunakan platform profesional saya untuk hal-hal politik.
“Penonton saya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan muda dan kanak-kanak.
“Mereka yang hadir ke konsert saya tidak menganggapnya sebagai forum politik.
“Saya menghormati ketegasan matlamat Macklemore untuk bangkit dan menyuarakan apa yang dipercayainya.
“Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai pendekatan berbeza untuk mencapai tujuan yang sama: Keamanan.
“Saya memilih untuk menggunakan populariti dan wadah saya sebagai ruang yang selamat dan selesa, untuk mengekalkan diplomasi serta memastikan ruang perbincangan kekal terbuka.
“Jika kita hanya berfokus untuk menjadi pihak yang menjerit paling lantang, tiada apa yang akan berubah. Terdapat pelbagai pendekatan berbeza untuk menjadi ejen perubahan.”

