Meskipun hampir sedekad berlalu sejak penggambaran filem komedi romantik Hollywood, Crazy Rich Asians (2018), di Singapura, hubungan akrab antara barisan pelakonnya tetap utuh.

Malah, mereka masih berhubung menerusi kumpulan perbualan WhatsApp yang diwujudkan pada 2017.

Perkara itu didedahkan jurugambar selebriti Singapura, Russel Wong, 65 tahun, menerusi hantaran Instagram pada 9 Oktober, ketika meraikan berita kesinambungan filem pecah panggung tersebut bakal dihasilkan dalam bentuk siri drama di wadah penstriman HBO.

“Pertemuan semula keluarga yang anda nanti-nantikan,” tulis Wong, sambil berkongsi sekeping foto kenangan bersama barisan pelakon yang dirakam selepas penggambaran babak majlis perkahwinan mewah di Gardens by the Bay.

“Sembilan tahun berlalu, kami masih mempunyai kumpulan WhatsApp sejak menjayakan filem kecil itu pada musim panas 2017.

“Keluarga yang bergosip bersama akan terus kekal bersama. Tidak sabar rasanya untuk bertemu semula dengan mereka,” tambahnya.

Wong, yang membuat penampilan khas sebagai jurugambar selebriti, Russel Wing, dalam filem tersebut, turut mengucapkan tahniah kepada penulis novel asal, Kevin Kwan; penulis lakon layar, Adele Lim; pengarah, Jon M. Chu; serta barisan pelakon termasuk Michelle Yeoh, Henry Golding, Constance Wu dan Ronny Chieng.

Pada 8 Oktober, HBO mengumumkan kesinambungan Crazy Rich Asians, yang diadaptasi daripada siri novel karya Kwan, bakal diterbitkan sebagai drama lapan episod, masing-masing berdurasi sejam.

Wu, Golding dan Chieng dijangka kembali menghidupkan watak masing-masing iaitu Rachel Chu, Nick Young dan Eddie Cheng.

Sementara itu, pemenang Anugerah Oscar, Yeoh, sekali lagi membawakan watak ibu Nick yang tegas dan berpengaruh, Eleanor Young.

Lim, yang turut menulis lakon layar filem asal, akan bertindak sebagai peneraju kreatif atau ‘showrunner’ dan penerbit eksekutif bersama Kwan dan Chu.

Menerusi hantaran Instagram pada 8 Oktober, penulis kelahiran Selangor, Malaysia itu menjanjikan peminat lapan episod yang bakal menghidupkan semula kemewahan dan keunikan dunia Crazy Rich Asians.

Sementara itu, Kwan meluahkan keterujaannya apabila keluarga besar Crazy Rich Asians bakal disatukan semula hasil kerjasama HBO dan Warner Bros. Television.

“Saya amat gembira kerana keluarga Crazy Rich Asians akhirnya dapat berkumpul semula,” katanya dalam satu kenyataan, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Kwan, peminat telah lama menantikan kesinambungan kisah tersebut dan peluang untuk mengembangkan jalan cerita serta watak-watak ciptaannya menerusi format siri drama merupakan impian yang menjadi kenyataan.

Chu pula mengakui kejayaan filem asal telah mengubah kehidupannya, selain membuka lebih banyak peluang kepada barisan pelakonnya untuk menempa nama di persada antarabangsa.

“Sejak itu, mereka telah bergelar bintang filem, adiwira, penghibur yang mampu memenuhi arena persembahan, malah ada yang meraih Anugerah Oscar.

“Justeru, menghimpunkan mereka semula terasa seperti pulang ke rumah,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa terharu apabila filem tersebut terus mendapat tempat dalam kehidupan penonton, sama ada menerusi permainan mahjung bersama rakan mahupun menjadi pilihan tontonan ketika menaiki pesawat.

Penggambaran siri berkenaan dijangka bermula pada 2027, namun tarikh tayangan perdana, tempat penggambaran dan barisan pelakon tambahan masih belum diumumkan.

Dihasilkan dengan bajet sekitar AS$30 juta ($38.4 juta), Crazy Rich Asians meraih kutipan melebihi AS$239 juta di seluruh dunia.

Filem itu turut mencatat sejarah sebagai penerbitan studio utama Hollywood pertama yang menampilkan barisan pelakon kebanyakannya berketurunan Asia sejak The Joy Luck Club (1993), sekali gus menjadi titik penting dalam memperluas perwakilan masyarakat Asia di layar perak Hollywood.

Selain mencipta kejayaan komersial, filem tersebut turut memperkenalkan mercu tanda ikonik Singapura, termasuk Marina Bay Sands dan Gardens by the Bay, kepada penonton antarabangsa.