Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPH Media papar kisah misteri S’pura dalam drama mikro sulung
Karya ‘Connected’ tampil pempengaruh, Fauzi Azzhar dalam genre komedi seram; teroka penceritaan baru dengan AI
SPH Media papar kisah misteri S’pura dalam drama mikro sulung
Seiring perubahan tabiat penonton yang semakin cenderung menikmati kandungan hiburan berbentuk video ringkas, SPH Media mengambil langkah meneroka format penceritaan baharu menerusi penerbitan siri drama mikro sulungnya berjudul, Connected.
Siri drama itu dilancarkan di Auditorium SPH pada 8 Oktober.
Menggabungkan unsur seram dan komedi, siri yang memuatkan 24 episod itu dihasilkan SPH Content Lab dengan tajaan syarikat telekomunikasi Singtel Singapura.
Ia turut diarahkan oleh Encik Daryl Burney, daripada syarikat penerbitan Editlounge.
Siri tersebut akan dilancarkan secara berperingkat dalam tiga kelompok episod mulai 10 Oktober 2026 menerusi platform kewartawanan warga Stomp, laman HardwareZone dan saluran media sosial Singtel.
Gabungan dua genre itu turut memberi nafas baharu kepada kisah seram yang sudah sebati dengan budaya setempat.
Penerbitan Connected turut menggabungkan teknik penggambaran lakonan sebenar, reka bentuk makhluk rekaan, kesan visual (VFX) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan pengalaman tontonan yang berbeza.
Setiap makhluk rekaan dalam siri itu dihasilkan daripada lakaran asli artis SPH Content Lab, sebelum dikembangkan menerusi gabungan rakaman lakonan sebenar, kesan visual dan AI dengan kerjasama rakan penerbitan, Editlounge dan Gengis AI, syarikat teknologi kreatif yang menggunakan AI dalam penghasilan kandungan visual.
Diilhamkan daripada kisah seram yang dikongsi orang ramai menerusi Stomp serta cerita misteri yang sering menjadi bahan perbualan masyarakat setempat, siri itu mengisahkan tentang dua penyiasat lakonan penyanyi dan penghibur, Lim Yan Xin; dan pencipta kandungan yang juga pelakon, Fauzi Azzhar.
Kededuanya mewakili syarikat hiburan Fly Entertainment.
Menerusi drama mikro itu, kededua pelakon tersebut cuba merungkai kejadian aneh di beberapa lokasi yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat setempat.
Sebagai pencipta kandungan yang dikenali menerusi video jenaka tentang kehidupan masyarakat harian, Fauzi, 38 tahun, melihat perkembangan drama mikro sebagai peluang untuk mencuba pendekatan baharu di luar kebiasaannya.
“Saya rasa menonton drama mikro sudah menjadi sebahagian daripada tabiat masyarakat hari ini kerana kandungan sebegini mudah diakses menerusi telefon bimbit.
“Dalam kesibukan menjalani kehidupan seharian, penonton mahukan hiburan yang ringkas dan mudah dinikmati pada bila-bila masa.
“Bagi saya, beberapa saat pertama sesebuah video amat penting untuk menarik perhatian penonton dan membuatkan mereka mahu terus menonton,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Baginya, antara cabaran menjayakan drama bergenre seram itu ialah menggunakan imaginasi untuk menghidupkan suasana menyeramkan ketika menjalani penggambaran di kawasan perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Namun, keserasian dengan pelakon gandingannya, Lim, 29 tahun, ujarnya, membantu mewujudkan unsur komedi secara spontan, sekali gus menjadikan interaksi antara kededuanya lebih bersahaja.
Menurut Pengarah Urusan SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang, penerokaan format drama mikro mencerminkan usaha berterusan syarikat itu untuk berinovasi dan menyesuaikan penyampaian kandungan dengan perkembangan teknologi.
“SPH Media menjangkau sembilan daripada 10 penduduk Singapura, dengan sekitar 300 juta tontonan setiap bulan.
“Kepercayaan masyarakat terhadap kami terbina menerusi kisah Singapura yang kami sampaikan.
“Kami sentiasa mencari cara untuk berkembang dan berinovasi, selain memperkenalkan sesuatu yang baharu kepada masyarakat Singapura,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Singtel Singapura, Encik Ng Tian Chong, menegaskan, meskipun AI dapat mempercepat penghasilan kandungan, namun kreativiti manusia tetap penting dalam penceritaan.
“Dahulu, proses penghasilan cerita bermula dengan lakaran dan penulisan secara manual.
“Apabila teknologi digital diperkenalkan, proses tersebut menjadi lebih pantas.
“Walaupun AI kini berupaya menghasilkan cerita, perkara penting adalah memahami cara menggunakan teknologi tersebut,” katanya.