Pembelajaran sepanjang hayat tidak mengenal usia, malah keberanian mencabar diri untuk mempelajari kemahiran baru sering menjadi pemangkin kepada perubahan hidup.

Nilai itu menjadi nadi kepada filem, It’s My Time, sekali gus mendorong bintang Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, kembali berlakon dalam filem berbahasa Mandarin selepas beberapa tahun mengukuhkan nama di pentas antarabangsa.

Pemenang Anugerah Akademi (Oscar) menerusi filem, Everything Everywhere All At Once, itu berkata peluang membintangi filem berbahasa Mandarin membawa makna tersendiri kerana sudah lama mengimpikan untuk kembali berlakon dalam bahasa ibundanya.

“Saya sentiasa mahu kembali membintangi filem berbahasa Mandarin.

“Kebanyakan projek saya sebelum ini adalah filem berbahasa Inggeris, jadi saya amat berterima kasih kepada penerbit, Wen Muye, dan pengarah, Bai Xue, kerana memberi peluang membawa watak Zhao Yanhong (dalam filem ini),” katanya dalam satu temu bual bersama The Straits Times menerusi e-mel.

Dalam filem biografi itu, Yeoh, yang kini berusia 63 tahun, melakonkan watak Zhao Yanhong, wanita berusia lingkungan 70-an tahun yang terpaksa berpindah ke rumah jagaan warga emas selepas mengalami masalah kesihatan.

Namun kehidupannya berubah apabila menemui bakat menyelesaikan permainan kiub Rubik selepas dibimbing seorang tenaga pengajar muda, lakonan pelakon asal China, Liu Haoran.

Kecekapannya menyelesaikan permainan itu akhirnya mengubah kehidupan yang sebelum ini suram sehingga meraih perhatian ramai.

Yeoh berkata watak Zhao Yanhong terus memikat hatinya sebaik membaca skrip kerana menawarkan cabaran yang belum pernah diterokainya.

“Zhao Yanhong ialah wanita luar biasa dan sangat berbeza daripada semua watak yang pernah saya lakonkan.

“Kisah ini memberi inspirasi tentang keberanian mengejar impian dan saya terus jatuh cinta dengannya,” katanya lagi.

Watak itu diinspirasikan daripada kisah benar Zhao Wenying, bekas guru Matematik dari China yang mula mempelajari permainan kiub Rubik pada 2014, selepas diperkenalkan cucunya.

Melalui pembelajaran secara dalam talian, Zhao kemudian berjaya mencipta rekod sebagai individu berusia lebih 60 tahun terpantas menyelesaikan permainan itu dalam keadaan mata ditutup.

Selain itu, Yeoh mengakui cabaran terbesar sepanjang penggambaran adalah bertutur semula dalam bahasa Mandarin.

“Pada mulanya memang sukar, tetapi lama-kelamaan ia kembali seperti memori otot,” ujar Yeoh.

Bagi memastikan wataknya tampil meyakinkan, Yeoh turut meluangkan masa memerhati gerak tubuh, gaya berjalan dan bahasa badan wanita warga emas.

Malah, beliau berlatih hampir dua tahun untuk benar-benar menguasai permainan kiub Rubik supaya setiap pergerakan kelihatan pantas dan semula jadi di hadapan kamera.

“Pengarah mahu pergerakan saya kelihatan pantas dan semula jadi.

“Jadi saya membawa kiub Rubik ke mana sahaja di lokasi penggambaran dan akan berlatih setiap kali mempunyai kesempatan,” kongsinya.

Isteri kepada bekas tokoh sukan permotoran Perancis, Jean Todt, itu turut melihat banyak persamaan antara perjalanan hidupnya dengan watak Zhao Yanhong.

Katanya, setiap fasa penting dalam kehidupannya bermula dengan ketidakpastian, termasuk ketika meninggalkan Malaysia untuk membina kerjaya di Hong Kong, sebelum melebarkan sayap ke Hollywood.

“Saya belajar kita tidak boleh menunggu orang lain memberitahu inilah masa kita.

“Kita perlu percaya kepada diri sendiri dan bersedia apabila peluang itu hadir,” katanya.

Yeoh akur kejayaannya selama ini juga dibina menerusi keberanian mengambil risiko, termasuk muncul sebagai gadis Bond (watak wanita yang menjadi kekasih perisik James Bond), sekali gus wanita Asia pertama yang setanding dengan Ejen 007 (James Bond) dalam filem Tomorrow Never Dies (1997).

Beliau kemudian terus mencabar stereotaip terhadap pelakon wanita Asia apabila membintangi pelbagai penerbitan antarabangsa seperti Crazy Rich Asians, A Haunting in Venice dan Wicked.

Pada usia 60 tahun, Yeoh turut mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi.

Mengulas mesej utama filem itu, Yeoh berharap penonton menyedari usia bukan penghalang untuk menemui minat baru atau mengejar impian yang tertangguh.

“Saya harap penonton meninggalkan pawagam dengan keyakinan bahawa tidak pernah terlambat untuk menemui minat baru atau mengejutkan diri sendiri dengan kemampuan yang dimiliki,” kata Yeoh.