Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kisah pencinta Bollywood kupas makna budaya dan jati diri

May 7, 2025 | 5:30 AM
My Name Is (Not) Khan, Hafidz Rahman, Rizman Putra
Pementasan berjudul ‘My Name Is (Not) Khan’ yang dilakonkan Hafidz Rahman mengupas kisah peribadi dan isu perkauman yang masih berlegar dalam masyarakat kini, khususnya terhadap individu berkulit ‘sawo matang’. - Foto ESPLANADE - TEATER DI PESISIRAN

Sejujurnya, saya bukanlah seseorang yang gemar atau mengikuti perkembangan filem Bollywood.

Namun, saya cukup menanti-nantikan pementasan daripada pelakon, pengacara, pencipta kandungan, pelawak dan tentunya, watak mak cik ikonik yang tidak asing lagi di laman media sosial, Bonda Bedah, iaitu Hafidz Rahman, pada 3 Mei lalu.

Berjudul My Name Is (Not) Khan, pementasan berbentuk monolog ini dipentaskan sempena Pesta Raya 2025.

Diarahkan oleh Rizman Putra, Hafidz memainkan watak Harith, seorang peminat tegar Bollywood. 

Lebih menakjubkan, ‘Harith’ bukan sahaja telah menonton lebih 300 filem Bollywood, malah menghafal setiap lirik lagu, koreografi tarian serta sejarah keluarga bintang-bintang terkenal Bollywood. 

Namun, satu perkara yang pasti tentang ‘Harith’ ialah beliau bukan orang India.

Beliau tetap anak Melayu.

Secara ringkas, pementasan pelbagai deria ini mengangkat tema kepelbagaian budaya yang menyelami kisah penuh hiburan dan menyentuh emosi.

Dalam pada itu, ia turut mendalami persoalan jati diri serta kedudukan ‘brown individuals’ atau individu berkulit sawo matang di Singapura. 

Apabila saya menjejakkan kaki ke Studio Resital, Esplanade, saya disapa dengan bau aromatik daripada daun kari dan ramuan rempah yang semerbak.

Kedengaran seorang penonton membisik, “lapar”, tatkala bau tumisan yang sudah ‘pecah minyak’ semakin naik.

Di hadapan saya, ialah Harith (lakonan Hafidz Rahman) yang sedang menyiapkan hidangan samosa di pangsapuri kecilnya, lengkap dengan poster filem Bollywood, komputer vintaj era 1990-an dan televisyen yang memainkan klip filem lama.

Melihat set pentas yang ditata penuh teliti ini, ia menimbulkan nostalgia, khususnya bagi penonton yang lebih berusia.

Penataan kesan pencahayaan oleh Alberta Wileo menambah lagi kesan dramatik pada pementasan ini.

Secara menyeluruh, bagi saya, Hafidz bijak dalam merancang jenaka melalui watak Harith, yang berhasil membuat penonton cuit hati dan tertarik pada jalan cerita yang disampaikan.

Misalnya, Harith berkongsi bagaimana lagu-lagu Bollywood menjadi teman setia sepanjang perjalanan memandunya dari Yishun ke tempat yang ingin dituju.

Kata Harith, dalam perjalanan yang penuh dengan kesesakan lalu lintas ke Johor Bahru, beliau boleh mendengar sehingga tiga album penuh lagu Bollywood kegemarannya.

Saya juga terhibur dengan elemen interaktif yang disisipkan dalam persembahan ini, termasuk kuiz yang dijalankan melalui aplikasi Mentimeter.

Penonton diberi peluang untuk memilih pelakon wanita Bollywood yang mereka anggap paling menawan.

Mujur, tidak ada penonton yang disuruh keluar dari Studio Resital akibat salah memilih pelakon yang paling cantik.

Walaupun sesetengah pilihan penonton membuat Harith tertanya-tanya, namun, setiap pilihan penonton adalah subjektif.

Dilengkapi dengan kesan visual dan gambar rekaan Zaki Zainudin, elemen ini menyempurnakan lagi penceritaan dengan peralihan babak dalam pementasan dengan lancar dan menghiburkan.

Antara topik perbincangan lain yang menarik adalah mengenai siapa yang lebih unggul menarikan Dola Re Dola dalam filem Devdas (2002).

Pilihan antara Madhuri Dixit dan Aishwarya Rai ternyata memihak kepada Madhuri, yang dianggap ramai lebih menyerlah dengan gerakannya yang tenang dan mengalir seperti air.

Salah satu kekuatan utama pementasan ini yang benar-benar meninggalkan kesan ialah ketika Harith membuka sisi peribadinya.

Di sebalik perwatakannya yang ceria dan penuh jenaka, terdapat kenangan pahit melihat seorang rakan sekelas berbangsa India dibuli, yang menjadi luka yang berparut hingga kini.

Antara penyesalan terbesar Harith ialah ketidakmampuannya untuk mempertahankan rakannya ketika diejek oleh teman-teman sekelas yang lain.

Rasa kecewa yang jelas terpancar pada wajah rakan India itu terus terukir dalam ingatannya, sehingga menyebabkan Harith tidak dapat menahan air mata jantan yang tumpah mengenangkan peristiwa tersebut.

Adakalanya, keintiman hubungan kisah ini dengan pengalaman peribadi Harith membuatkan beliau seolah-olah terlupa bahawa ini hanyalah sebuah pementasan.

Misalnya, beliau secara tidak sengaja memanggil dirinya ‘Fidz’ ketika menceritakan kata-kata terakhir neneknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Kata-kata itu berbunyi seperti: “Tidak ada orang nak dengan nenek.”

Ketika itu, tangisan penonton ikut pecah. Itulah saat yang paling ‘raw’ atau yang benar-benar menyentuh hati ketika saya menonton sebuah pementasan sejauh ini.

Lebih-lebih lagi, kehadiran ibu Hafidz di depan mata jelas membuatkan air matanya semakin sukar untuk dibendung.

Pementasan ini diakhiri dengan Harith memukau penonton dengan tarian zapin Madah Pusaka sambil diiringi empat penari lelaki, menunjukkan dirinya masih menghormati asal usul Melayunya.

Melalui persembahan ini, Hafidz dengan cermat mengupas persamaan cabaran yang dihadapi oleh individu berkulit sawo matang, tidak kira berbangsa Melayu atau India. 

Saya yakin pesanannya disampaikan dengan jelas kepada hadirin, mengajak mereka merenung makna jati diri dan keindahan perpaduan budaya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg