Salina, hasil karya sasterawan tersohor A. Samad Said, bukan sekadar novel biasa, malah khazanah sastera itu, menggambarkan kenyataan kehidupan masyarakat pascaperang, dengan penuh penelitian dan sarat dengan nilai pengajaran.
Mengadaptasi novel ini ke pentas adalah satu usaha yang memerlukan ketelitian serta penghayatan yang kukuh terhadap jalan cerita dan watak yang dipaparkan.
Bagaimanapun, sedikit sebanyak saya teruja dapat lihat bagaimana babak-babak dalam novel ini direalisasikan melalui pementasan Salina oleh kumpulan teater mapan, Teater Kami, pada 2 Mei lalu, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, sempena Pesta Raya 2025.
Teater Kami telah ditugaskan Esplanade untuk mengembalikan pementasan yang kali terakhir dipersembahkan hampir tiga dekad lalu itu iaitu pada 1993 dan 1997.
Pementasan ini dengan jelas menampilkan elemen realisme, menggambarkan perjuangan masyarakat Singapura untuk bangkit menghadapi kekalutan kehidupan selepas Perang Dunia Kedua.
Ini dapat dilihat daripada penataan kesan bunyi, rekaan set pentas, pakaian, dandanan serta cara perbualan pelakon, yang seakan zaman 1950-an.
Selepas bunyi semboyan bergema dan montaj pendek mengenai penjajahan Jepun, tirai dibuka dan arah pandangan mata saya terpaku pada pemandangan sebuah kampung yang usang.
Halaman yang berselerak dengan sampah sarap dan dedaun kering sekali gus diselangi dengan suara kambing yang mengembek, memaparkan suasana kehidupan di Kampung Kambing.
Watak-watak penduduk di Kampung Kambing kemudian diperkenalkan secara ringkas di atas pentas.
Bagi penonton yang kurang ‘akrab’ dengan novel Salina, mereka mungkin mengambil masa untuk memahami hubungan antara watak dengan para pelakon membanjiri pentas pada saat itu.
Bagaimanapun, apa yang memikat hati ialah pemilihan pelakon yang benar-benar cemerlang.
Setiap daripada mereka berhasil menangkap emosi dan inti pati kehidupan yang penuh liku dan cabaran di Kampung Kambing, menjadikan suasana pascaperang itu ‘hidup’ di mata penonton.
Saya juga cukup geli hati melihat gelagat selamba Muhammad Khairi, yang memainkan watak Bulat, budak kecil yang ada sahaja kerenahnya, menambah lagi kesan komedi dalam suasana hiruk-pikuk kampung.
Cerminan watak komedinya ini mengingatkan saya akan watak Ayu dalam filem arahan P. Ramlee berjudul, Bujang Lapok.
Sebagaimana layaknya anak kecil yang lucu, nakal dan polos, begitulah penampilan watak Bulat dengan sesekali membenarkan seluar ‘katok’ (pendek) yang longgar melorot, sambil suka menjaga tepi kain jiran tetangga yang tinggal di Kampung Kambing.
Selain itu, saya juga tabik dengan lakonan pelakon tempatan, Ariati Tyeb Papar, yang membawakan watak utama sebagai Salina dan berhasil menjiwai watak itu sepenuhya.
Setiap dialog yang dilontarkan pelakon berusia 50 tahun itu terasa begitu semula jadi, seakan-akan beliau benar-benar memahami kehidupan pada zaman tersebut.
Watak Salina menjadi nadi utama dalam pementasan ini, menyatukan semua watak di Kampung Kambing yang masing-masing bergelut dengan pelbagai cabaran hidup.
Hubungan erat antara Salina dengan Katijah (Suhaila M Sanif), seorang janda yang baru berpindah bersama anak lelakinya Hilmy (Rizal Aiman), mencerminkan semangat kekeluargaan yang utuh dalam kehidupan kampung.
Keadaan ini semakin menonjol apabila tragedi perang Jepun meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang kehilangan insan tersayang, menjadikan jiran tetangga sebagai tempat mendengar keluh-kesah.
Kesetiaan Katijah terhadap Salina juga terlihat apabila beliau menasihati Salina untuk meninggalkan Abdul Fakar (Fir Rahman), seorang lelaki yang hanya menumpang hidup dan tidak henti-henti menyeksanya.
Namun, saya dapat merasakan kejanggalan untuk mengaitkan hubungan sebab Salina sukar melepaskan jerat hubungan ‘toksik’ (bak kata anak muda kini), hanya kerana Abdul Fakar mengingatkan Salina akan bekas kekasihnya, Muhammad Yusuf, yang tewas dalam peperangan.
Adegan tersebut turut mengundang gelak ketawa (disebabkan gaya penyampaian dialog yang berunsur jenaka), yang mematikan rasa sedih dan kasihan saya terhadap Salina yang berusaha mengatasi rasa kehilangan itu.
Tambahan lagi, bagi saya, agak ‘sayang’ apabila Salina hilang untuk jangka masa yang agak lama dalam pementasan ini, sejenak membuat saya tertanya-tanya arah jalan cerita yang ingin disampaikan.
Lakonan Amirah Yahya sebagai Nahidah juga benar-benar meninggalkan kesan.
Membawakan watak seorang gadis muda yang menjadi mangsa kerakusan ibu tirinya sendiri, Zarina (dilakonkan Rusydina Afiqah) sehingga menyebabkannya terpaksa bekerja sebagai pelayan, pastinya bukan satu tanggungjawab yang mudah untuk digalas.
Pendekatan dalam menggambarkan adegan rogol Nahidah oleh Fakar dilakukan dengan penuh hati-hati, mengambil kira isu sensitif ini walaupun masih mengundang tindak balas yang bercampur baur dalam kalangan penonton.
Pada pendapat saya, lebih banyak perhatian boleh diberikan untuk mengimbas secara ringkas latar belakang watak Salina dan Zarina, untuk memperhalusi jalan cerita.
Perkembangan watak mereka berperanan penting dalam membentuk interaksi dengan watak-watak lain, seperti peristiwa yang mempengaruhi Salina dalam setiap keputusannya, serta latar belakang Zarina sebagai seorang pelayan.
Mungkin pendekatan ini dapat membantu penonton yang belum pernah membaca novel Salina untuk memahami jalan cerita dengan lebih jelas.
Saya memahami bahawa keterbatasan ini barangkali disebabkan oleh kekangan masa dan keperluan aspek persembahan teatrikal lain.
Walaupun terdapat beberapa kekurangan, saya tetap menikmati pementasan ini.
Sebagai penonton yang tidak lahir dalam era tersebut, saya berpeluang mempelajari nilai-nilai penting yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat Melayu dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg