Peristiwa yang menggegar dunia hiburan baru-baru ini apabila pelantun lagu Patah Seribu, Shila Amzah, mendakwa dirinya diserang secara lisan oleh ‘rocker’ legenda, Datuk Amy Search, sehingga kes diadukan ke pihak polis, menerima pelbagai reaksi netizen.
Ada yang merasakan Shila tidak sepatutnya masuk campur dalam urusan keluarga Amy dengan mengirim pesanan berupa sokongan di media sosial secara terbuka apabila anak Amy, pelakon Nabila Huda, berkongsi rasa tidak senang tentang sikap ibu tirinya, Datin Norhasniza Hassan (Datin Nourish).
Namun, sebilangan netizen pula menganggap tidak wajar untuk Amy yang dianggap ‘otai’ terkenal lagi mempunyai kedudukan dihormati di mata masyarakat, melontarkan kata-kata kesat: “Aku dah lama cari kau!” terhadap Shila.
Apa yang membuat Shila, peserta Gegar Vaganza 9 (GV9) panik dan malu adalah beliau berada di hadapan ramai orang termasuk penganjur dan kru belakang tabir, di ruang latihan konsert sempena ulang tahun ke-20 kedai serbaneka, Mr D.I.Y, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Suasana bertukar dingin dengan Shila terpandang Datin Nourish berpeluk tubuh di belakang suaminya, seakan-akan memberi isyarat konflik itu belum selesai lagi.
Apabila membaca perkembangan kejadian ini di pelbagai media sosial, saya langsung teringat beberapa pengalaman peribadi bertemu atau mewawancara bintang legenda, tidak kira dari Singapura, Malaysia, Indonesia, India atau negara Barat.
Ada kenangan mengusik jiwa dan menceriakan sebab secara peribadi, saya banyak belajar tentang kemahiran hidup menerusi perkongsian jerih payah mereka sebagai anak seni.
Tapi ada juga yang kurang menyenangkan hati, di mana sang legenda kurang peka dengan soalan yang diajukan dan mula marah-marah seakan-akan kita tidak mengkaji dahulu latar belakang mereka sebelum mengajukan soalan.
Saya ingat wawancara dengan seorang ‘otai’ rok, yang tidak perlu saya sebut namanya. Peristiwa ini berlaku lebih 10 tahun lalu, pada 2013.
Dari luaran, beliau nampak ramah dan lemah lembut tetapi saya yang membesar dengan lagu-lagu ‘tangkap lentoknya’ tiba-tiba terkejut apabila dimarahi legenda ini, hanya kerana dua soalan yang beliau tak berapa faham atau enggan jawab.
Soalan pertama, “Zaman abang mula tubuhkan band dahulu, apa antara jerih payah yang perlu diharungi?” Soalan kedua pula: “Namakan 3 perkara yang boleh cetus rasa marah terhadap industri seni.”
Bagi saya yang ketika itu sudah 20 tahun bergelar wartawan, rasanya soalan sebegini tidak sensitif dan boleh santai-santai sahaja dikongsi.
Dalam suasana bising di belakang seakan-akan di warung atau kedai kopi yang hingar-bingar, saya terdengar ‘rocker’ ini memberitahu saya tentang soalan pertama: “Berita Harian Singapura dan Berita Harian Malaysia kongsi sumber dan maklumat bukan? Boleh ‘checklah’ dalam arkib. Buat apa tanya saya?”
Bagi soalan kedua pula, beliau membentak sambil berkata; “Soalan apa ni?”
Seingat saya, beliau langsung meletakkan telefonnya, membiarkan saya kebingungan.
Bagi saya, layanan yang diberi si bintang ini terhadap wartawan seperti saya tidak sejajar dengan statusnya sebagai seorang legenda yang dihormati dan disanjungi di Nusantara ini.
Apabila saya berkongsi dengan teman wartawan mengenai pengalaman saya itu, si teman sambil tertawa berkata: “Alah... baru terkenal di Malaysia, Singapura dan mungkin Indonesia, dah ngada-ngada. Penyanyi antarabangsa tak macam ni pun! Lagi satu dunia kenal.”
Saya bersetuju dengan teman saya kerana saya pernah mewawancara bintang sejagat yang mengadakan konsert di Singapura ketika itu, sama ada secara bersemuka ataupun menerusi telefon (belum ada kemudahan Zoom pada masa itu).
Semuanya ‘otai’ dan nama besar suatu ketika dahulu (antara 1960-an dengan 1980-an) seperti Lionel Richie, Paul Anka, Julio Iglesias, Peter Cetera, David Foster dan Tony Orlando.
Tidak sedikit pun mereka hilang sabar dengan soalan santai saya bahkan sudi mendengar perkongsian saya tentang apa yang membuatkan muzik mereka ini malar segar.
Mereka juga bertanyakan pandangan saya tentang industri muzik di Singapura dan Malaysia.
Cetera sempat perkenalkan saya dengan anak perempuannya yang menemaninya ke Singapura, manakala Richie pula ingin bertemu saya di balik pentas kerana akui kagum dengan soalan-soalan yang saya ajukan, sebagai petanda saya bersiap sedia dengan kajian tentang kerja seninya.
Datuk Ramli Sarip, Allahyarham Halil Chik, mendiang Bob Tutupoly, Allahyarham Jay Jay, Anita Sarawak, Noor Kumalasari, Datuk Awie, Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid – wawancaralah beberapa kali, tetap menyejukkan hati dan tidak kelihatan atau terasa pun keangkuhan di sebalik pengalaman mereka, yang kalau dibukukan boleh sampai berjilid-jilid banyaknya.
Kerana itu, bagi saya, gelaran legenda itu bukan untuk sebarang ‘orang lama’ sebab tak semua ‘otai’ layak dipanggil legenda.
Kekata ‘legenda’ itu datang dengan ciri-ciri yang mencorak orang berkenaan sebagai insan yang sangat dikenali, dihormati dan disegani.
Maka, perlu ada etika, adab, budi bahasa, daya intelek apabila berkata-kata, mahir dengan seni mereka serta perkara yang diusahakan, yang membawa pada diri mereka dianggap masih relevan dalam konteks hari ini.
Kalau membahaskan tentang takrifan legenda seni, saya akan selalu teringatkan kata-kata vokalis Sweet Charity, Ramli Sarip, dan penyanyi Janji Manismu dan juara Gegar Vaganza 4 (GV4), Datuk Wan Aishah Wan Ariffin.
Kata Ramli: “Adik, apakah semua orang lama dalam industri seni wajar dipanggil ‘legenda’?”
Saya memberitahunya: “Rasanya tidak. Kita perlu tengok sumbangannya dan kesannya pada masyarakat pendengar sebab mungkin ada ‘otai’ yang tidak begitu dikenali dengan mutu kerja seni yang suam-suam kuku.”
Aishah, ketika menang GV4, pula memberitahu saya: “Alamak dik... takutlah orang panggil Kak Aishah, ‘Living Legend’... Berat amanah jadi ‘legend’ ni.
“Terlarat tak nak pikul? Bagi saya, menyanyi memang mendarah daging dan memang kerjaya saya. Jadi kita hanya buat yang terbaik. Yang beri gelaran legenda ni orang, bukan kita sendiri.”
Tapi yang ‘best’ tentunya ialah kalau legenda boleh jana hobi baru dan penuhi masa dengan kegiatan bermanfaat.
Datin Effa Rizan seronok jadi penjana kandungan YouTube untuk berkongsi resipi masakan ataupun buat ulasan makanan.
Fauziah Latiff pula hasilkan aksesori manik yang turut dibawanya ke pesta dagangan untuk peminat.
Sebab legenda yang ramai pengikut ini, bagi saya, macam suri contoh atau ‘role model’ dan idola remaja.
Buatlah seribu kebaikan, peminat akan contohi.
Kalau mula bersikap kesat tanpa alasan bersebab, mulalah peminat tinggalkan sahaja nama anda dalam buku sejarah yang enggan diingat-ingat lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg