Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsert dikecam netizen, Elite diminta usah cepat melatah dan jaga emosi

Jul 10, 2025 | 1:39 PM
Konsert Elite Live ‘25 akan dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 September depan.
Konsert Elite Live ‘25 akan dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 September depan. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Dikritik netizen sebaik Konsert Elite Live ‘25 diumumkan, baru-baru ini, anggota kumpulan Elite disaran usah cepat melatah dan menjaga emosi menjelang konsert meraikan ulang tahun ke-30 kumpulan itu, September depan.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata kecaman netizen yang rata-rata mempertikai keupayaan kumpulan rap wanita itu beraksi secara langsung atas faktor keupayaan mereka sekarang, perlu dianggap sebagai ujian.

“Abaikan mereka yang memberi komen negatif. Kita tidak boleh puaskan hati semua orang di Malaysia ini. Mufti Menk pun kena kecam, apatah lagi kita. Jadi apa yang diterima Elite, hanya kecil.

“Saya beritahu mereka, tidak semua orang sukakan kita. Kalau orang cakap suka depan kita pun, belum tentu ikhlas. Bagi saya, anggota Elite kena pandai kawal emosi berdepan komen negatif. Mereka sudah lama dalam industri muzik, saya percaya anggota Elite bijak untuk uruskan (soal kritikan netizen),” katanya kepada BH Online.

Iman berkata, lumrah artis sentiasa menjadi perhatian ramai dan terbuka kepada persepsi masyarakat, apatah lagi bagi selebriti atau kumpulan yang sudah lama tidak muncul di pentas arus perdana.

“Elite sudah lama tidak muncul. Mereka buat ‘comeback’ pada Konsert GenKRU, Mei lalu dan tiba-tiba kena kecam,” katanya.

Selepas mengumumkan akan mementaskan konsert sulung yang dibawakan Icon Entertainment, baru-baru ini, Elite yang dianggotai Linda Rafar, Azza, Abby Abadi, Shasha dan Watie Sadali dikritik netizen.

Selain faktor usia, pelbagai kecaman lain dilayangkan kepada Elite termasuk soal penampilan pada sidang media pengumuman konsert berkenaan.

Salah seorang anggota Elite, Linda atau nama sebenar, Azlinda Abdul Rafar, 47 tahun, dilapor mengalami gangguan keresahan atau ‘anxiety’ dan tidak lalu makan selepas busana digayakan pada majlis itu, dikecam.

Bertanya mengenai Linda, Iman berkata, penyanyi itu dalam keadaan baik, malah memberi persembahan baik pada Konsert GenKRU di The Star Theatre, Singapura, pada 28 Jun lalu.

“Linda tidak putus semangat, sebaliknya, teruja. Linda hanya sedih selepas baca komen netizen sehari selepas sidang media dianjurkan. Linda beraksi bagus pada konsert KRU di Singapura. Kami terima ‘vibes’ yang sangat positif,” katanya.

Iman berpendapat individu yang melemparkan komen negatif bagai melemparkan pancing di sungai.

“Mereka lempar pancing untuk lihat sama ada pihak yang dilayangkan komen akan terkesan atau tidak. Semua yang memberi komen tidak dikenali. Bagi saya, busana dipakai Linda pada sidang media sudah menutup aurat. Kenapa tidak kecam artis yang sekejap sarung dan selepas itu buka tudung?” katanya.

Pada 23 Jun lalu, Linda tampil menggayakan busana rona hitam dan putih pada sidang media pengumuman Konsert Elite Live ‘25. Persalinan yang tampak ketat itu disindir tidak sesuai dengan imej dirinya sebagai muslimah yang berhijab.

Konsert Elite Live ‘25 akan dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 September depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg