Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pereka fesyen S’pura jaya hasil sut, seluar merah jambu untuk Elite

Adam Rashid beri sentuhan magis pada sut lima sekawan walau hanya tonton video, tanpa peroleh ukuran
Jul 3, 2025 | 5:30 AM
Elite, Adam Rashid, Konsert GenKru
Pereka fesyen Singapura, Adam Rashid, (belakang, dua dari kiri), terharu dapat hasilkan busana yang menarik perhatian dan mudah disarung dan digayakan anggota kumpulan Elite, (belakang, dari kiri) Sasha Saidin, Abby Abadi, Azza Zawari, (depan, dari kiri), Linda Rafar dan Watie Sadali, pada ‘Konsert GenKRU Live In Singapore’, di The Star Theatre, pada 28 Jun. - Foto ihsan ADAM RASHID

Apabila rekaan busananya menjadi pilihan ramai artis dari seberang, pereka fesyen Singapura, Adam Rashid, amat tersentuh namanya tidak putus-putus menjadi sebutan.

Setelah menghasilkan beberapa rekaan gaun buat penyanyi, Liza Hanim, yang merupakan alumni peraduan realiti Astro, Gegar Vaganza (GV), Adam, 43 tahun, dilamar untuk menghasilkan sut kemas dan seluar rapi untuk lima sekawan, Elite, yang muncul sebagai tetamu mantan bos mereka, KRU, dalam Konsert GenKRU Live In Singapore di The Star Theatre, pada 28 Jun.

Kebetulan, tiga anggota Elite, Sasha Saidin, 48 tahun, Azza Zawari, 47 tahun, dan Linda Rafar, 47 tahun, yang terkenal dengan lagu memperkasa wanita seperti Tamparan Wanita dan Trauma, merupakan alumni GV juga meskipun tidak sampai ke peringkat akhir seperti Liza, 45 tahun.

Dua anggota lain kumpulan wanita yang diberi jolokan ‘Spice Girls Malaysia’ (kerana muncul di tengah populariti lima sekawan dari Britain), Watie Sadali, 49 tahun, dan Abby Abadi, 47 tahun, tidak ikut serta dalam GV kerana pilihan peribadi dan komitmen tugas lain.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Adam, bapa dua anak menjelaskan beliau berasa rendah hati dipilih Elite untuk menghasilkan pakaian yang begitu kena dengan penampilan mereka yang sudah bergelar ibu dan bakal muncul dalam satu konsert, Elite Live ‘25, di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen LKuala Lumpur (KLCC), pada 20 September 2025.

Menurut Adam, beliau menerima tantangan atau cabaran menghasilkan baju untuk Azza, Abby, Sasha, Watie dan Linda, yang setahunya, begitu peka tentang penampilan mereka.

“Kalau di Kuala Lumpur, saya tahu, mereka memilih pereka fesyen. Kerapkali, mereka gunakan busana rekaan duo Rizman Ruzaini (Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil).

“Apabila mereka membuat kemunculan istimewa untuk lagu duet bersama KRU, Di Pintu Syurga, mereka memilih Adam pula. Syukur alhamdulillah,” jelasnya.

Menurut Adam, rekaan bagi Elite haruslah kemas dan bergaya serta menitikberatkan setiap perinci rekaan serta mutu fabrik yang digunakan.

“Saya pastikan rekaan bagi sut dan seluar mereka itu eksklusif dan tiada duanya. Saya juga mengikut citarasa dan personaliti setiap anggota Elite.

“Mereka serahkan pada pengalaman Adam menghasilkan busana bagi artis Malaysia lain. Konsepnya saya fikirkan.

“Tanpa mengukur saiz setiap anggota Elite kerana kesibukan mereka dan Adam juga dengan bisnes perkahwinan, Adam hanya mampu agak-agak sahaja berdasarkan kajian yang dibuat dari video yang mereka kongsi.

“Alhamdulillah, Sasha dan Linda, begitu terkejut sebab pakaian yang direka kelihatan ‘terletak’ dan tak perlu buat sebarang pengubahsuaian.

Fitting cantik, walhal, saya tidak pernah bertemu dengan mereka sebelum ini,” jelas Adam lagi.

Sebelum ini, Adam, yang juga pemenang tempat ketiga peraduan peragaan Manhunt International 2006, pernah menghasilkan busana bagi selebriti serba boleh, Elly Mazlein, Fasha Sandha, Cat Farish dan isterinya, Shikin Maembong.

Menurutnya, Elite yang kembali lagi membuat persembahan pada skala lebih gah, atas permintaan peminat, adalah kumpulan legenda yang diingati ramai, kerana gaya, kecantikan anggota dan kerajinan sesetengah anggota seperti Azza, Abby dan Watie berinteraksi dengan peminat di media sosial.

Azza, dalam hantaran Instagram, berkata: “Saya hargai Adam kerana sudi reka busana untuk Elite mengikut citarasa kami, malahan beri kami kebebesan untuk tentukan corak yang diinginkan.

“Saya doakan Adam akan terus terbang tinggi dalam dunia fesyen yang diceburi. Mula-mula nak buat baju Azza sahaja tetapi saya pula ajak Abby.

“Selepas itu, alang-alang tolong saya bikin baju, buat sekalilah untuk Elite. Adam bersetuju. Biar semuanya cantiklah...Abby, Sasha, Linda dan Watie sama-sama cantik.

“Bukan mudah sebab kami berlima. Tapi Adam setuju buat untuk Elite. Kami sangat hargai. Terima kasih banyak, Adam.”

Sasha, si tinggi lampai, yang sukakan rekaan magis Adam, mengulas di Instagram:

“Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pereka fesyen Singapura, Adam Rashid, kerana gigih menghasilkan sut untuk kami bagi Konsert GenKRU di Singapura.

“Saya berharap saya dapat mengusahakan lebih banyak koleksi pakaian bersama Adam.”

Kenangan juga terpahat dalam ingatan cef selebriti, Haikel Ismail, 31 tahun, apabila berpeluang menaja pencuci mulut bagi KRU, Elite, dan Adam Akademi Fantasia.

“Mereka semua baik hati dan ramah walaupun sudah bergelar ‘otai’. Sejurus saya tiba di belakang pentas, Watie beritahu banyak pencuci mulut yang telah dia habiskan.

“Walaupun baru bertemu, beliau memang selamba dan rasanya, kalau duduk dengan saya dan kawan-kawan, Watie boleh ‘ngam’ dengan kami semua bab memberitahu maklumat terkini tentang dunia hiburan Malaysia.

“Azza memang sering juga saya ketemu ketika meniaga di Singapore Expo, manakala Abby santai-santai sahaja. Sempat ketemu suami dan anak Linda juga.

“Kepuasan bagi saya ialah apabila setiap hasil air tangan saya ini dapat dinikmati artis-artis berwibawa ini. Ada yang sempat ‘post’ di Instagram juga,” jelas Haikel, yang sebelum ini, pernah menaja pencuci mulut buat Dayang Nurfaizah dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg