Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ratu rok M’sia, Ella pilih beramal tanpa hebah

Dec 4, 2025 | 3:27 PM
ella Aminuddin, malaysia, celebrity, Azhar Ghazali
Ratu Rok Malaysia, Ella Aminuddin, enggan menghebahkan kerja kebajikan yang dilaksanakan dirinya bersama suami, Azhar Ghazali, bagi menjaga perasaan pihak yang menerima bantuan. - Foto FACEBOOK ELLA AMINUDDIN

Atas rasa simpati dan empati terhadap sesama insan, ratu rok Malaysia, Ella, atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 59 tahun, bersama suaminya, Azhar Ghazali, 44 tahun, terus giat melaksanakan pelbagai kerja kebajikan, termasuk menyantuni golongan memerlukan dari dalam dan luar negara.

Meskipun jarang dikongsi kepada umum, Azhar mengakui kededuanya berkongsi minat sama untuk turun padang membantu masyarakat, baik melalui misi kemanusiaan mahupun sumbangan peribadi.

“Ella pernah menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan, bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk menyantuni masyarakat yang tinggal di khemah pelarian perang Syria.

“Ella juga banyak menyumbang idea untuk memperkasa sekolah seni dalam melahirkan generasi baru pemuzik, termasuk melalui pemberian pelbagai alatan muzik.

“Selain itu, beliau turut terbabit dalam kegiatan menyantuni gelandangan yang memerlukan bantuan makanan. 

“Banyak perkara seperti ini sebenarnya tidak dihebahkan secara meluas,” kata Azhar dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau bersama Ella, ditemui BHM pada sidang media konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella di Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia, pada 3 Disember.

Di samping itu, Azhar, yang juga seorang juruterbang bagi penerbangan Firefly, berkata beliau mengetahui sisi kemanusiaan Ella itu selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 2012.

“Saya tahu selepas berkahwin, naluri membantu itu memang ada dalam dirinya.

“Saya hanya membantu menguruskan perkara asas seperti mengatur pertemuan atau membuat panggilan. 

“Namun, asasnya tetap datang daripada Ella sendiri,” katanya lagi.

Selain membantu individu uzur, golongan memerlukan, pelajar dan orang kurang upaya, Azhar menyifatkan Ella juga tidak sesekali melupakan rakan artis yang berdepan kesulitan hidup.

“Ella turut membantu rakan artis secara peribadi, terutama mereka yang melalui kesempitan hidup.

“Ini juga termasuk artis veteran yang pernah bersamanya pada awal pembabitan dalam industri muzik,” ujar Azhar.

Sementara itu, menurut Ella, beliau lebih selesa melakukan kerja kebajikan tanpa terlalu menguar-uarkan kepada umum bagi menjaga perasaan pihak yang menerima bantuan.

“Lebih baik tidak dihebahkan. Insya-Allah lebih banyak pahala. 

“Kadangkala mereka rasa malu, jadi kita perlu menjaga privasi dan perasaan mereka.

“Tidak semua perkara boleh dikongsi kerana ia melibatkan kehidupan peribadi mereka,” kata pelantun lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah itu.

Ella turut melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan suami yang berkongsi prinsip kemanusiaan yang sama.

“Saya bersyukur mempunyai pasangan yang memahami dan mempunyai nilai kemanusiaan yang sama. 

“Perasaan tenang dan damai itu ada dalam setiap usaha yang kami lakukan,” singkap Ella.

Dalam perkembangan lain, Ella bakal mementaskan konsert solo berskala mega iaitu, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, anjuran bersama Hitman Solution dan jenama busana muslimah Ella, Rockqueen, pada 14 Februari 2026.

Persembahan khas bertemakan Peace, Love & Rindu yang menggabungkan unsur hiburan dan kebajikan itu menawarkan harga tiket bermula serendah RM39 ($10.02), dan akan mula dijual menerusi wadah Hitmanlive bermula 8 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg