Setelah melalui pelbagai cabaran hidup, penyanyi Malaysia, Kaka Azraff, telah menggunakan pengalaman itu sebagai inspirasi bagi lagu terbarunya, Takleh Usik.
Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 36 tahun, berkata lagu tersebut merupakan satu peringatan kepada dirinya agar terus percaya pada kebolehan sendiri dan jangan mudah terganggu dengan pendapat orang lain.
“Semakin dewasa, saya sedar bahawa saya harus percaya pada diri sendiri lebih-lebih lagi jikalau sesuatu pilihan itu merupakan yang terbaik bagi diri saya.
“Saya tidak perlu memikirkan apa yang akan dikatakan sesetengah pihak.
“Dengan apa yang berlaku dalam kehidupan peribadi dan kerjaya seni saya, terlahirlah lagu ini,” ujar Kaka kepada Berita Harian (BH) semasa sesi wawancara melalui Zoom dengan kerjasama Universal Music.
Terdahulu, Kaka kehilangan ibunya, Allahyarhamha Redida Aziz yang meninggal dunia pada Mei 2023 akibat serangan jantung.
Selain itu, Kaka kini bergerak sendiri selepas kontraknya bersama syarikat, Warner Music Malaysia, ditamatkan pada Disember 2023.
Mengulas mengenai kerjasama dengan pemuzik terkenal, SonaOne, bagi lagu Takleh Usik, Kaka berkata beliau bersyukur diberi peluang keemasan itu.
“Saya sudah lama berkawan dengan SonaOne namun ini merupakan kali pertama kami bekerjasama.
“Pada mulanya saya tidak boleh bayangkan apabila dia menerangkan mengenai rentak muzik itu. Namun, apabila mendengar karya yang dihasilkan, saya amat gembira dengan lagunya.
“SonaOne memang amat berbakat dan dia ada ciri-ciri untuk menjadi seorang pemuzik ikonik suatu hari nanti,” ujar Kaka.
Lagu yang dilancarkan pada 22 Ogos lalu telah menerima 19,095 tontonan di YouTube.
Ditanya mengenai genre muzik yang ingin diketengahkannya sejak mula berkecimpung lebih sedekad lalu, Kaka berkata dirinya sering mengekalkan identiti yang digelar ‘muzik baru’ dan menyegarkan buat pendengar.
“Saya lebih kepada irama pop dan rentak tarian (dance music) namun sering menggelarkan diri saya sebagai penyanyi versatil.
“Saya boleh menyanyikan lagu balada namun ia bukan sesuatu yang saya cuba ketengahkan dalam kerjaya solo saya.
“Saya terbuka untuk mencuba genre lain apabila menyanyikan lagu duet atau projek khas seperti bagi lagu runut bunyi (OST) drama dan filem,” ujarnya yang pernah menyanyikan lagu, Karma, bersama Jaz Hayat yang merupakan OST bagi drama, Takdir Yang Tertulis.
Kaka turut mahu menyampaikan mesej positif seperti pemerkasaan wanita dan menyayangi diri sendiri melalui lagu-lagunya yang bertenaga.
“Saya dibesarkan dengan ibu tunggal. Bagi saya ujian dalam kehidupan ini boleh dijadikan pengajaran untuk terus menempuh apa jua cabaran.
“Saya harap lagu-lagu saya dapat memberi semangat dan kekuatan kepada para pendengar,” ujarnya yang merupakan ibu kepada tiga anak berusia antara dua dengan enam tahun.
Kaka yang merupakan anak saudara kepada ratu rok legenda, Ella, berkongsi terdapat sedikit rasa tekanan apabila beliau mula bertapak dalam industri hiburan namun tidak menganggapnya sebagai perkara negatif.
“Saya memang rapat dengan Ella sejak kecil kerana membesar dengannya. Allahyarham bapa saya (Noor Azraff Aminuddin) merupakan abang kedua Ella.
“Sekarang ini apabila saya sudah kehilangan kededua ibu bapa, Ella seperti ibu kepada saya dan sering menjadi sumber kekuatan saya.
“Saya sering mendapatkan nasihat daripadanya namun saya berprinsip yang saya tidak mahu meniru cara beliau menyanyi dan mempunyai identiti saya sendiri,” kongisnya yang dikenali dengan lagu, Bawaku Pergi dan Bukan Hal Aku.
Selain sokongan keluarga dan kumpulan penerbitan, Kaka turut menyifatkan rakan baiknya, pengacara dan usahawan, Shalma Ainaa, sebagai sumber kekuatannya untuk terus berkarya dan kekal positif.
Ditanya mengenai perkembangan terkini, Kaka berkata dirinya sedang sibuk menyiapkan album pertamanya yang dijual keluar pada 2026.
“Pastinya saya berharap pendengar dapat menerima album pertama saya ini kerana saya terlibat dalam setiap aspek pembikinannya.
“Setiap karya dalam album ini datang dari hati dan merupakan sesuatu (yang) sentimental bagi saya,” jelasnya.
Kaka yang turut aktif dalam bidang lakonan berkata dirinya terbuka untuk berlakon jika tawaran itu bersesuaian dengan jadualnya.
“Buat masa ini, saya terlibat dalam filem, Saadiah: Bekal Kasih Merdeka, arahan Kak Ellie Suriaty Omar namun pembikinannya dihentikan seketika.
“Hampir 70 peratus sudah siap namun masih ada babak yang belum dilakonkan. Saya harap projek ini dapat dikeluarkan pada 2026,” jelasnya.
Kaka yang pernah bekerjasama dengan bakat Singapura, Alyph bagi lagu Sibuk dan terlibat dalam drama tempatan Lesung berkata dirinya tidak sabar jika mendapat undangan untuk kembali ke Kota Singa.
“Saya mempunyai ramai peminat setia di Singapura dan saya berharap dapat membuat persembahan di sana untuk mempromosikan album saya kelak,” tambahnya.
“
“... saya harus percaya pada diri sendiri lebih-lebih lagi jikalau sesuatu pilihan itu merupakan yang terbaik bagi diri saya. Saya tidak perlu memikirkan apa yang akan dikatakan sesetengah pihak. Dengan apa yang berlaku dalam kehidupan peribadi dan kerjaya seni saya, terlahirlah lagu ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg