Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonsert ‘Empat’ satukan vokal hebat satu keluarga, satu pentas
Ziana, Anuar, Erni dan Syamel turut sajikan persembahan penuh emosi sepanjang lebih dua jam konsert berlangsung
Konsert ‘Empat’ satukan vokal hebat satu keluarga, satu pentas
Pada 26 September, The Star Theatre dihangatkan dengan persembahan empat penyanyi daripada satu keluarga seni merentas generasi, iaitu Datuk Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel.
Ziana dan Anuar ialah pasangan adik-beradik, sementara Ernie yang merupakan anak saudara mereka pula, berumah tangga dengan Syamel.
Konsert Empat Live in Singapore 2026, merupakan kali kedua keempat-empat penyanyi itu digandingkan di satu pentas susulan konsert yang sama di Kuala Lumpur pada 2025.
Berlangsung selama lebih dua jam setengah, konsert itu telah membawa penonton menyusuri perjalanan emosi yang pelbagai – ada duka, riang, pasrah dan gelak ketawa.
Sepanjang konsert, keempat-empat penyanyi memukau penonton dengan nyanyian yang mantap dan kawalan vokal yang hampir sempurna atau pitch-perfect.
Masakan tidak, mereka cukup sinonim dengan suara yang hebat serta deretan lagu hit, yang telah menjadi halwa telinga buat ramai pendengar di rantau ini.
Konsert itu dibuka dengan persembahan solo yang cukup gah daripada setiap penyanyi.
Bermula dengan penampilan Ernie dengan nyanyian lagu terkininya, Sejambak Bunga, ia disusuli dengan persembahan suaminya, Syamel, dengan lagu berjudul Lebih Sempurna.
Ziana pula menguasai pentas dengan nyanyian lagu popularnya iaitu Madah Berhelah, yang membuatkan ramai penonton ikut menyanyi sama.
Namun, sorakan paling gemuruh di The Star Theatre bergema sebaik sahaja Anuar Zain muncul di pentas dan mendendangkan lagu hit beliau, Keabadian Cinta.
Dapat dirasakan sorakan kegembiraan dan kekaguman penonton apabila melihat Anuar beraksi di pentas, didorong rasa rindu mendalam untuk menyaksikan beliau membuat persembahan secara langsung.
Tidak dapat dinafikan, aura kelas tersendiri Anuar begitu menyerlah sehingga tepukan dan sorakan penonton bergema tanpa henti.
Justeru, apabila beliau mendendangkan satu lagi lagu popularnya, Sedetik Lebih, ramai dalam kalangan penonton begitu teruja.
Lagu tersebut mungkin menggamit memori lalu, membawa penonton mengimbau kembali era kegemilangannya sejak lagu tersebut dihasilkan pada 2015, hingga diangkat sebagai lagu tema cinta kegemaran ramai.
Kakak kepada Anuar, Ziana, yang baru sahaja bergelar Datuk Wira pada Ogos, tidak kurang auranya apatah lagi tatkala melantunkan lagu yang bernada tinggi.
Walaupun beliau tidak menyanyikan beberapa lagu popularnya seperti Putus Terpaksa dan Kemelut Di Muara Kasih, pilihan lagu beliau pada konsert itu tetap dapat menonjolkan mutu suaranya.
Beliau sempat berseloroh dan sendiri mengakui lagu-lagu beliau itu ‘cekik leher’ kerana terlalu tinggi dan memerlukan nafas yang panjang untuk dinyanyikan.
Namun, seperti yang dijangkakan, penyanyi berusia 58 tahun itu tetap berjaya membuat persembahan yang cukup memukau.
Antara lagu yang dinyanyikan ialah Riwayat Cinta dan Kasih Ku Pertahankan daripada album keduanya yang dihasilkan pada 1993.
Walaupun beberapa lagu yang dipersembahkan kurang dikenali, satu ciri menarik adalah apabila setiap penyanyi mendendangkan satu lagu milik seorang lagi artis Empat mengikut gaya mereka tersendiri.
Seperti contoh, Ziana telah menyanyikan single pertama Syamel iaitu Hidup Dalam Mati yang dipopularkan ketika Syamel masih bertanding dalam rancangan, Akademi Fantasia, pada 2015.
Anuar pula telah menyanyikan lagu Ernie yang berjudul Gundah.
Seperti yang dikongsikan Anuar, lagu itu dicipta oleh Ernie bagi merawat kesedihan dalam hatinya tatkala mengenang pemergian kededua datuk dan neneknya.
Justeru, seiring dengan maksud dan inti pati lagu tersebut, Anuar telah menyampaikan lagu itu dengan penuh penghayatan yang benar-benar mencengkam emosi penonton.
Ernie pula telah menyanyikan lagu Puncak Kasih, nyanyian asal ‘Mak Long’nya sendiri, Ziana.
Setelah menonton persembahan nyanyian Ernie secara langsung, tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau merupakan antara penyanyi terbaik di rantau ini.
Dengan teknik nyanyian head voice (getaran suara yang kedengaran di kepala apabila menyanyi pada nada tinggi), kelunakan suaranya masih kedengaran jelas.
Kebolehan tersebut sangat terserlah apabila beliau menyanyikan lagu duet Aku Cinta bersama Syamel.
Maka, tidak hairanlah lagu itu pernah memenangi kategori Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32).
Selain itu, Ernie turut menyanyikan lagu yang beliau sifatkan telah membawa banyak kejayaan buat beliau sejak beberapa tahun yang lepas, iaitu lagu Masing Masing.
Lagu yang dicipta pemuzik Indonesia, Ade Govinda, telah mencecah 132 juta tontonan dalam YouTube.
Justeru, apabila ia dinyanyikan Ernie secara langsung sewaktu konsert tersebut, ramai penonton turut bernyanyi bersama sambil melambai-lambaikan lampu suluh daripada telefon bimbit mereka.
Persembahan yang beremosi turut terakam kala Syamel menyanyikan lagu terkininya, Cukup Sekali.
Sebelum membuat persembahan, Syamel berkongsi kepada penonton bahawa lagu itu sebagai seruan untuk move on atau terus melangkah ke hadapan walaupun pernah terluka.
Lagu itu dipersembahkan hanya dengan iringan alunan piano.
Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada penonton untuk benar-benar mendengar keunikan suara Syamel yang serak-serak basah dengan lebih jelas.
Sebagai penutup bagi konsert Empat, kesemua penyanyi bergabung sekali lagi untuk menyanyikan lagu Jangan Henti – sebuah lagu khusus yang dicipta oleh Edry Abdul Halim, sempena konsert tersebut.
Dengan rentak yang rancak, lagu itu membawa suasana riang walaupun sudah berada pada ambang acara.
Lagu yang ditulis Syamel dan Ernie itu merupakan lambang kasih sayang, ketabahan, dan rasa penghargaan yang tulus daripada kumpulan ‘Empat’ itu buat para peminat atas sokongan padu yang tidak pernah berbelah bahagi.