Menjanjikan kenangan indah sepanjang konsert sulung, Empat, yang menghimpunkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel, menjadi istimewa apabila empat sekeluarga itu menghadiahkan single baru bertemakan cinta dan dicipta khas untuk peminat setia.
Single yang akan didendangkan dalam konsert di Kuala Lumpur pada 18 Oktober, mendapat sentuhan komposer dan penyanyi, Edry Abdul Halim, dan akan dilancarkan Ogos.
Berkongsi berita gembira itu kepada Berita Harian Malaysia (BHM), Anuar yang pernah bekerjasama dengan Edry kira-kira 15 tahun lalu (2010), menerusi lagu, Sedetik Lebih, percaya kepada sentuhan komposer itu yang disifatkannya sebagai bijak.
“Edry adalah penulis lagu dan pengarah muzik bijak. Saya pernah bekerja dengannya untuk rakaman lagu Sedetik Lebih. Tidak dapat disangkal beliau penyusun muzik terbaik.
“Ketika berjumpa Edry, kami diberi dua pilihan lagu dan tertarik dengan salah satu daripada lagu ciptaannya yang ‘menangkap’ jiwa.
“Tidak bercakap banyak, kami berempat terus bersetuju sebaik lagu berkenaan diperdengarkan.
“Edry bertanya pendapat dalam aspek pilihan lagu dan susunan muzik yang kami mahukan.
“Itu lebih bagus dan memudahkan kami dari mula hingga akhir,” katanya di sidang media ‘Konsert Empat Live In Kuala Lumpur’ pada 12 Jun.
Anuar berkata proses adunan lagu akan dilakukan Edry di Manchester, Britain, kerana lebih selesa bekerja di ruang kerja sendiri.
Sebaik adunan selesai, mereka akan beralih kepada penghasilan muzik video pula.
“Kami mahu apabila menjelangnya konsert, peminat boleh menyanyikan lagu itu bersama-sama,” katanya lagi.
Berbicara mengenai konsert tersebut, Anuar berharap kolaborasi itu dapat diabadikan sebagai legasi dan sejarah keluarga serta menjadi suatu jenama.
Penyanyi lagu, Bila Resah, itu juga berharap konsert itu bakal menghangatkan teater Mega Star Arena, Bukit Bintang, sebagai acara yang diperkatakan dan dikenang peminat.
Sehubungan itu, kata Anuar, pemilihan lagu dibuat dengan teliti.
Malah, sebagai penganjur, iaitu Anuar Zain Network dan Altus ProHouse, beliau tidak berkompromi dengan sistem bunyi pada malam bersejarah itu.
“Keutamaan saya adalah sistem bunyi. Kalau ada vokal yang baik dan pakaian yang cantik, tetapi, sistem bunyi lebih kurang kerana hendak kejar untung lebih, saya takut perkara itu akan mengganggu fikiran saya berbulan-bulan.
“Bagi saya, konsert perlukan sistem bunyi terbaik. Saya mahu apabila persembahan kami dimuat naik dalam media sosial, peminat boleh dengar dengan jelas muzik dan nyanyian kami.
“Walaupun peminat tidak tahu mengenai sistem bunyi, saya bertanggungjawab kerana mereka mengeluarkan duit yang banyak untuk datang ke konsert kami.
“Jadi, kami mahu mereka pulang dengan perasaan puas,” ujarnya.
Sementara itu, Ziana yang terkenal dengan lagu, Madah Berhelah, menjelaskan beliau tidak bimbang dakwaan konon timbul isu persaingan siapa lebih menonjol pada konsert Empat itu.
Bagi Ziana, baik adiknya, Anuar atau anak saudara, Ernie dan suaminya, Syamel, masing-masing memiliki kelebihan sendiri.
Malah, Ziana yakin dakwaan persaingan tidak timbul berikutan persembahan mereka diadun cantik dan harmoni.
“Saya tak kisah jika berlakunya ‘overshadow’. Setiap penyanyi pasti mahu beri yang terbaik.
“Lagipun, Anuar, Syamel dan Ernie masing-masing ada vokal yang sangat bagus. Saya sebaliknya gembira jika itu dapat jadikan konsert kami diingati. Saya yakin konsert itu akan menjadi sangat indah dan harmoni. Kami berempat sangat sepakat dalam semua hal.
“Kami seolah-olah boleh membaca fikiran masing-masing,” ulas Ziana.
Ziana mengaku sudah lama mengimpikan mementaskan konsert bersama ahli keluarga.
Malah, kata Ziana, peminat sudah lama bertanya mengenai konsert sejak Ernie berkahwin dengan Syamel, pada 2021.
“Setiap kali berjumpa, topik konsert bersama sentiasa dibincangkan. Saya selalu cakap, alangkah seronoknya dapat buat konsert keluarga macam The Jackson 5.
“Di Malaysia jarang ada usaha seperti itu. Alhamdulillah, Allah hadiah rezeki itu kepada kami sekeluarga.
“Konsert ini adalah hadiah untuk peminat yang sudah lama menyokong kami. Kami mahu jadikan konsert ini paling diingati dalam hidup peminat dan kami sendiri,” kata Ziana.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg