Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonsert Peterpan di S’pura ditunda 4 Okt dek konflik jadual
Konsert Peterpan di S’pura ditunda 4 Okt dek konflik jadual
Peminat dengan tiket sedia ada boleh hadir pada tarikh baru atau mohon bayaran balik
Konsert Peterpan di S’pura ditunda 4 Okt dek konflik jadual
Konsert kumpulan pop rok terkenal Indonesia, Peterpan, The Journey Continues To Singapore: Peterpan – Semua Tentang Kita, di Singapura ditunda pada 4 Oktober, di Arena @ Expo, Singapore Expo.
Konsert yang dibawakan syarikat hiburan dan penganjur konsert, Onephoria Entertainment, itu asalnya dijadual berlangsung pada 3 Julai di Teater The Star, bermula 8 malam.
Bagaimanapun, pengumuman mengenai penangguhan konsert berkenaan dimuat naik menerusi laman Instagram Onephoria Entertainment pada 27 Jun, tanpa disertakan alasan atau penjelasan mengenai keputusan tersebut.
Menjelaskan hal sebenar, penganjur yang juga pengarah kekayaan, Encik Asy Syabil Marican, berkata:
“Konflik penjadualan yang tidak dijangka membabitkan aspek penting logistik jelajah antarabangsa serta urusan penerbitan telah menyebabkan kami tidak dapat menganjurkan konsert, The Journey Continues Peterpan – Semua Tentang Kita, pada tahap kecemerlangan yang dijanjikan.
“Keputusan ini tidak diambil tanpa pertimbangan berat dan perbincangan bersama barisan artis, pihak pengurusan, wakil tempat penganjuran serta rakan kerjasama serantau.
“Penangguhan ini adalah langkah paling bertanggungjawab bagi memastikan penonton dapat menikmati pengalaman konsert yang bermutu.”
Segelintir peminat Singapura meluahkan kekecewaan di media sosial selepas dimaklumkan konsert yang sekian lama dinantikan itu ditangguhkan, hanya kurang seminggu sebelum ia berlangsung.
Bagaimanapun, konsert Peterpan yang melanjutkan jelajah ke seberang Tambak pada 11 Julai di Idea Live Arena, sekitar Selangor, Malaysia, dan dianjurkan syarikat penganjuran konsert, Black Sky Enterprise, akan diteruskan.
Konsert terbabit mengekalkan gandingan empat anggota asal kumpulan berkenaan iaitu, Ilsyah Ryan Reza (pemain dram), 49 tahun; Loekman Hakim (pemain gitar utama), 49 tahun; Andika Naliputra Wirahardja (pemain papan nada), 45 tahun; dan Hendra Suhendra (pemain gitar bes), 49 tahun.
Lagu hit mereka seperti Menghapus Jejakmu, Mungkin Nanti, Semua Tentang Kita, dan Bintang Di Surga, pastinya menjadi senarai lagu ‘wajib dinyanyikan’ kerana sudah sebati dengan perjalanan hidup peminat merentas generasi – mengiringi zaman remaja hingga dewasa.
Meskipun begitu, ketiadaan vokalis, Ariel, atau nama sebenarnya, Nazril Irham, 44 tahun, dalam konsert berkenaan turut menimbulkan persoalan.
Mengulas perkara itu dalam sidang media secara langsung dalam talian yang menghimpunkan wakil media dari Singapura, Malaysia dan Indonesia baru-baru ini, pihak penganjur menjelaskan Ariel memilih untuk berehat seketika daripada sebarang kegiatan berkumpulan ketika ini.
Ia dijangka berlanjutan antara satu dengan dua tahun.
“Saat ini, Ariel sedang ‘hiatus’ (berehat panjang).
“Kita sendiri tidak tahu sampai bila beliau akan berehat. Beliau kini tidak bersama Peterpan atau Noah kerana sedang bergerak secara solo.
“Ariel juga baru sahaja selesai dengan penggambaran filem, Dilan ITB 1997, serta lebih banyak terbabit dengan projek kerjasama bersama artis lain,” kata penerbit dan pengurus projek di Black Sky Enterprise, Thata Joyce Sigar.
Namun begitu, Thata menambah tempoh berehat Ariel juga boleh berubah bergantung kepada perancangan sendiri.
Di samping itu, beliau memaklumkan keputusan Ariel untuk berehat daripada komitmen berkumpulan secara tidak langsung memberi ruang dan peluang baru buat rakan seperjuangan untuk terus berkarya.
Walaupun tanpa kehadiran Ariel, konsert Peterpan di Singapura akan diserikan dengan penyanyi senegara seperti Arda Hatna, 38 tahun; Marcello Tahitoe (Ello), 43 tahun; Tantri Kotak, 36 tahun; Charly Van Houten, 46 tahun; dan penyanyi Malaysia, Hael Husaini, 38 tahun.
Sementara itu, bagi konsert di Malaysia pula, penyanyi Indonesia, Rony Parulian, 25 tahun, hadir menggantikan tempat Charly.
Pihak penganjur turut memberi jaminan konsert itu tidak akan menghampakan jangkaan peminat, biarpun menampilkan barisan vokalis jemputan bagi membawakan lagu malar segar Peterpan.
Menurut Budi Mulianto, selaku pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penganjur acara, Aloka, cabaran terbesar adalah memastikan setiap persembahan masih mengekalkan identiti dan jiwa asal karya Peterpan yang begitu dekat di hati peminat selama 18 tahun.
“Cabaran terbesar ialah memastikan lagu-lagu itu masih terasa seperti Peterpan.
“Setiap penyanyi mempunyai perwatakan dan warna vokal yang berbeza.
“Namun sejak awal lagi, kami sepakat identiti dan emosi asal setiap lagu perlu dikekalkan.
“Sebab itu, kami memilih penyanyi yang mempunyai hubungan peribadi dengan lagu Peterpan serta memahami sebab rangkaian karya ini begitu bermakna kepada peminat setia.
“Kami mahu mereka membawa warna tersendiri, tetapi pada masa sama, tidak menghilangkan jiwa yang menjadikan lagu Peterpan terus dicintai selama lebih dua dekad,” ujar Budi, yang juga pemegang harta intelektual (IP) bagi konsert Peterpan di Singapura dan Malaysia.
Tiket bagi konsert, The Journey Continues To Singapore: Peterpan – Semua Tentang Kita, berharga antara $139 dengan $249, boleh didapati di laman web, Sistic menerusi https://bh.sg/peterpan
Bagi mereka yang sudah terlebih dahulu membeli tiket bagi konsert Peterpan, ia masih sah dan boleh digunakan pada tarikh baru konsert iaitu 4 Oktober.
Bagaimanapun, pihak penganjur turut menyatakan pemegang tiket telah dimaklumkan menerusi e-mel daripada Sistic mengenai proses pemulangan wang.
“
“Konflik penjadualan yang tidak dijangka membabitkan aspek penting logistik jelajah antarabangsa serta urusan penerbitan telah menyebabkan kami tidak dapat menganjurkan konsert, ‘The Journey Continues Peterpan – Semua Tentang Kita’, pada tahap kecemerlangan yang dijanjikan... Penangguhan ini adalah langkah paling bertanggungjawab bagi memastikan penonton dapat menikmati pengalaman konsert yang bermutu.”