KPop Demon Hunters, sebuah filem animasi mengenai kumpulan gadis K-Pop yang menentang raksasa mitos sambil beraksi sebagai idola global, kini menjadi filem paling banyak distrim dalam sejarah Netflix.
Filem tersebut mengatasi Red Notice, sebuah filem lakonan Dwayne Johnson, Ryan Reynolds dan Gal Gadot, dengan mencatat 236 juta jumlah tontonan berbanding 230.9 juta bagi Red Notice, menurut laporan Variety.
Melengkapkan senarai lima filem teratas paling banyak distrim Netflix sepanjang zaman ialah filem ngeri Taron Egerton, Carry-On; filem satira lakonan Leonardo DiCaprio, Don’t Look Up; dan filem pengembaraan Ryan Reynolds, The Adam Project.
Sepanjang hujung minggu lalu (23 Ogos dan 24 Ogos), KPop Demon Hunters turut mencatat kejayaan luar biasa apabila ditayangkan di pawagam – sesuatu yang jarang berlaku bagi filem Netflix – dengan kutipan antara AS$18 juta ($23 juta) dengan AS$20 juta, sekali gus menjadi filem dengan kutipan tertinggi bagi minggu berkenaan.
Filem animasi itu juga menjadi filem paling banyak distrim di Netflix minggu lalu, dengan tambahan 25.4 juta tontonan.
Diarahkan oleh Maggie Kang dan Chris Appelhans, bersama penulisan skrip oleh Danya Jimenez dan Hannah McMechan, filem itu berdasarkan kisah asal yang diilhamkan oleh Kang.
Barisan pelakon suara termasuk Arden Cho, Ahn Hyo-seop, May Hong dan Ji-young Yoo, manakala barisan penulis lagu ternama seperti Ejae, Jenna Andrews, Danny Chung dan Kush menyumbang kepada tema runut bunyi (OST) yang menduduki carta teratas.
Dilancarkan secara global pada 20 Jun, filem tersebut dipuji pengkritik kerana keasliannya, dengan Variety menyifatkannya sebagai “penuh tenaga” dan The New York Times memuji dunia dalam filem itu yang “menawan, lucu dan disusun dengan penuh seni”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg