Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon Korea Ahn Hyo-seop teruja lakon selayar idola, Lee Min-ho

Jul 30, 2025 | 3:44 PM
pelakon Ahn Hyo-seop,  Lee Min-ho, filem Omniscient Reader: The Prophecy
Pelakon Korea Selatan, Ahn Hyo-seop (kiri) dan Lee Min-ho, berada di Marina Bay Sands pada 29 Julai lalu, bagi mempromosikan filem saspens aksi fantasi terbaru berjudul, ‘Omniscient Reader: The Prophecy’. Filem tersebut ditayangkan di pawagam Singapura mulai 31 Julai. - Foto ZAOBAO

Pelakon asal Korea Selatan yang kini sedang meniti tangga populariti, Ahn Hyo-seop, sentiasa menganggap idola K-drama beliau, Lee Min-ho, sebagai selebriti yang disegani ramai.

Maka itu, pengalaman berada dalam satu set penggambaran bagi filem saspens aksi fantasi terbaru berjudul, Omniscient Reader: The Prophecy, bersama sang idola digambarkan Ahn, 30 tahun, bagai bulan jatuh ke riba.

“Saya membesar menonton semua rancangan beliau (Lee Min-ho). Saya peminat tegarnya.

“Rasa macam tak percaya dapat bersatu dalam set penggambaran yang sama,” kata Ahn ketika ditemui The Straits Times (ST), di Marina Bay Sands.

Dalam satu temu bual bersama ST, beliau yang berbahasa Korea dibantu oleh seorang jurubahasa.

Pada 29 Julai lalu, pelakon Canada tersebut berada di Kota Singa bersama Lee, 38 tahun, dan pengarah Korea Selatan, Kim Byung-woo, 45 tahun, bagi mempromosikan filem terbabit.

Filem itu merupakan adaptasi novel web popular Korea Selatan iaitu, Omniscient Reader’s Viewpoint, karya pasangan penulis, singNsong.

Ia mengisahkan seorang kerani, Kim Dok-ja (lakonan Ahn), yang tiba-tiba mendapati dirinya dalam dunia malapetaka dari novel web kegemaran, Three Ways To Survive The Apocalypse.

Dalam dunia di mana makhluk raksasa memburu manusia, beliau perlu bergantung pada pengetahuan mengenai jalan cerita novel itu, demi bertahan hidup.

Sepanjang perjalanan, beliau bekerjasama dengan watak lain dalam novel tersebut, termasuk Yu Jung-hyeok (lakonan Lee).

Selain Ahn dan Lee, filem yang akan ditayangkan di pawagam Singapura mulai 31 Julai itu, dibintangi oleh Chae Soo-bin dan Shin Seung-ho.

Turut terlibat ialah penyanyi Korea Selatan, Nana; pelakon cilik, Kwon Eun-seong, dan anggota kumpulan K-pop, Blackpink, Jisoo.

Persis dirinya yang mengagumi Lee, Ahn mengakui bahawa menjiwai watak Dok-ja tidak sukar kerana beliau juga merupakan peminat setia Jung-hyeok, lakonan Lee.

“Seperti Dok-ja, saya juga mengagumi Min-ho ‘hyung’ (abang dalam bahasa Korea). 

“Memang terdapat banyak persamaan (antara kehidupan peribadi dan lakonan),” kata Ahn.

Ketika diwawancara ST, jelas terpancar rasa hormat Ahn terhadap pelakon lebih berpengalaman, Lee, yang memulakan kerjaya lakonan pada 2006.

Nama Lee dikenali ramai melalui drama Korea Selatan terkenal termasuk, Boys Over Flowers (2009), The Heirs (2013) dan The King: Eternal Monarch (2020).

Antara 2022 dengan 2024, beliau turut berlakon dalam drama bersiri, AS Pachinko.

Sementara itu, Omniscient Reader: The Prophecy ialah filem layar lebar pertama Ahn, meskipun sebelum ini terkenal melalui drama bersiri Korea Selatan seperti Doctor Romantic Musim 2 dan 3 (dari 2020 hingga 2023), Lovers Of The Red Sky (2021) dan Business Proposal (2022).

Nama Ahn semakin dikenali di peringkat antarabangsa apabila terlibat dalam filem animasi ‘hit’ di wadah penstriman Netflix iaitu, KPop Demon Hunters, yang mana beliau menjadi pengisi suara bagi watak Jinu.

Ditanya ST mengenai sambutan baik yang diterima melalui watak berbahasa Inggeris itu, Ahn menjelaskan dengan rendah hati bahawa beliau menjayakan projek Sony Pictures Animation tersebut kerana menganggapnya ‘sangat menarik’.

“Saya tidak pernah jangka mendapat begitu banyak sokongan dan perhatian dari seluruh dunia, yang membuatkan saya sangat gembira dan bersyukur,” kata Ahn.

Berbalik kepada filem Omniscient Reader: The Prophecy, selain masa yang tepat, mengikuti jejak langkah Lee mengembangkan kerjaya di Hollywood, berkemungkinan menjadi antara sebab filem ini menarik perhatian Ahn.

“Saya rasa ia bukan isu bahasa atau negara. 

“Asalkan saya tertarik dengan kerja itu, baik drama atau filem, dalam bahasa Inggeris mahupun Korea, saya akan melakukannya.

“Bagi saya, pesanan dari kisah yang dipaparkan adalah yang paling penting,” ujar Ahn.

Dalam pada itu, sepanjang penggambaran Omniscient Reader: The Prophecy, Lee tidak banyak bergaul dengan pelakon lain kerana watak Jung-hyeok lebih bersifat ‘lone ranger’ atau suka menyendiri.

“Saya bukan sahaja seorang diri dan rasa keseorangan di set, malah ini juga kali pertama saya jadi yang paling tua dalam kalangan pelakon.

“Seperti seorang abang, saya rasa bertanggungjawab terhadap mereka (pelakon muda), jadi saya perlu buat yang terbaik. 

“Mereka melakukan kerja dengan cemerlang dan saya rasa sangat bangga dengan mereka,” kata Lee kepada ST, dalam bahasa Korea.

Ketinggian Lee yang mencecah 1.87 meter itu menjadi kelebihan pada lakonannya kerana beliau perlu menonjolkan kehebatan dan kekuatan.

Manakala, bagi Ahn, ketinggian beliau yang mencapai 1.88 meter, merupakan satu cabaran.

“Pengarah mahu saya kelihatan biasa-biasa saja dan tidak terlalu menonjol ketika dikelilingi orang ramai,” jelas Ahn, yang perlu menyesuaikan lakonan agar terlihat lebih ‘rendah’ berbanding saiz fizikalnya.

Filem Omniscient Reader: The Prophecy ditayangkan di pawagam Singapura pada 31 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg