Selepas mencipta fenomena menerusi siri konsert yang mendapat sambutan luar biasa, kumpulan legenda Malaysia, KRU, kini mengorak langkah ke bidang makanan dan minuman menerusi pembukaan KRU Cafe.

KRU Cafe merupakan kafe bertemakan muzik dan hiburan di Aneka Walk, sekitar Shah Alam, dan dijadual dibuka pada suku ketiga 2026.

Ia diwujudkan hasil kerjasama KRU bersama Sony Music Malaysia, Babah Ventures Sdn Bhd dan TMG Ventures Sdn Bhd, sekali gus menawarkan pengalaman yang menggabungkan makanan, hiburan dan nostalgia kepada peminat setia.

Idea penubuhannya tercetus selepas kumpulan yang dianggotai tiga beradik, Datuk Norman Abdul Halim, 54 tahun; Datuk Yusry Abdul Halim, 53 tahun; dan Edry Abdul Halim, 50 tahun, menyaksikan sokongan luar biasa peminat menerusi kejayaan lima konsert di Malaysia dan Singapura, selain kebangkitan semula lagu mereka di wadah penstriman digital.

Menurut Edry, langkah berkenaan menjadi satu lagi cara untuk KRU terus mendekati peminat yang setia menyokong perjalanan seni mereka sejak lebih tiga dekad lalu.

“Kami sentiasa amat bersyukur atas kasih sayang dan sokongan yang diberikan oleh peminat sepanjang beberapa dekad ini.

“Ia merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan mereka sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama,” kata Edry dalam laman Utusan Malaysia.

Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong, turut menambah projek berkenaan membuka peluang untuk memperluaskan hubungan KRU dengan peminat menerusi pengalaman gaya hidup yang lebih menyeluruh.

“Perkara paling menarik ialah peluang mengembangkan hubungan KRU dengan peminat melangkaui muzik kepada satu pengalaman gaya hidup yang lebih mendalam.

“KRU Cafe adalah mengenai usaha menghidupkan legasi mereka dengan cara yang segar dan menarik, sekali gus membolehkan peminat berhubung dengan muzik, kenangan dan semangat KRU dalam suasana baru,” ujar Ong.

Di bawah kerjasama tersebut, TMG Ventures akan bertanggungjawab membangunkan dan menyusun keseluruhan penawaran makanan dan minuman KRU Cafe.

Kumpulan hospitaliti yang turut membangunkan jenama restoran The Majapahit itu, akan menyediakan menu berasaskan gabungan cita rasa Asia Tenggara dan hidangan Barat terkenal termasuk masuk sajian panggang bermutu tinggi serta stik.

Sementara itu, Babah Ventures akan bertindak sebagai rakan strategik bagi aspek pengurusan dan pengembangan perniagaan KRU Cafe.

Syarikat yang diasaskan bersama pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro, 40 tahun, itu merupakan pengendali jenama restoran Bumbu Babah yang kini mempunyai hampir 60 cawangan di seluruh Malaysia.

Norman berkata pencapaian Babah Ventures mengembangkan Bumbu Babah dalam tempoh kurang dua tahun memberi keyakinan terhadap potensi KRU Cafe untuk diperluaskan ke tempat lain pada masa depan.

“Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang dijangkakan, KRU Cafe mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia,” ungkap Norman.

Dalam pada itu, Ajak akur pihaknya tidak mengambil masa lama untuk bersetuju menyertai projek tersebut selepas menerima pembentangan daripada Sony Music Malaysia.

“Ia merupakan satu penghormatan besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU.

“Mereka ialah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh yang pernah dilahirkan Malaysia.

“Kami teruja untuk menggabungkan legasi mereka dengan pengalaman kami dalam membangunkan dan mengendalikan jenama restoran,” jelas Ajak.

Bagi Yusry pula, KRU Cafe diharapkan dapat memainkan peranan sebagai wadah pembangunan bakat baru dalam industri kreatif.

“Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kerjasama kreatif dan pelbagai kegiatan masyarakat,” kata Yusry.