Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan rap Res2 rancang aktif semula, janji tak ulang kesilapan

Nov 14, 2025 | 1:28 PM
res2
Kumpulan rap popular wanita era 90-an, Res2 bakal muncul kembali pada 2026 demi menghargai tanda sokongan para peminat. - Foto TANGKAP LAYAR DARI INSTAGRAM ARIN_RES2

Kumpulan rap wanita popular era 1990-an, Res2, merancang kembali mewarnai industri seni tempatan selepas kemunculan semula mereka di konsert kumpulan 4U2C di Kuala Lumpur pada September 2025, mendapat maklum balas positif.

Anggota Res2, Baby Arin atau nama sebenarnya Lily Zarina Khalil, 47 tahun, berkata biarpun sejauh ini tiada mana-mana label rakaman tampil menawarkan kontrak atau peluang selepas konsert berkenaan, semangat untuk kembali tidak pernah pudar demi menghargai sokongan peminat setia.

“Selepas kemunculan di konsert WE 4U2C tempoh hari, ramai peminat meminta kami kembali aktif.

“Mereka tak sangka Res2 masih boleh menyanyi, jadi sebagai menghormati permintaan mereka, kami cuba untuk kembali selewat-lewatnya tahun depan (2026),” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Menurutnya, kali ini hanya empat anggota akan bersama iaitu Arin, Yati, Ezza dan Wati, manakala seorang lagi anggota, Erin, tidak dapat turut serta kerana faktor kesihatan.

“Kalau ada yang mempertikai hasrat kami untuk kembali, terpulanglah kepada mereka.

“Ramai penyanyi yang sudah berusia tapi masih diterima seperti kumpulan Elite dan Datuk Sheila Majid. Kalau orang lain boleh, kenapa tidak kami?” tambah Arin.

Menurut Arin, meskipun sejauh ini tiada syarikat produksi yang melamar, Res2 tetap akan mengatur langkah sendiri bagi memastikan kelangsungan jenama kumpulan itu.

Langkah pertama ujarnya adalah dengan mengaktifkan semula laman sosial rasmi Res2 bagi menghubungkan semula kumpulan dengan peminat lama serta memperkenalkan mereka kepada generasi baru.

“Kami tak kisah pun tiada tawaran selepas konsert itu. Kami faham, Res2 pun sudah berusia, label tentunya lebih senang dengan orang muda dan cantik.

“Jadi kami kenalah ambil inisiatif sendiri, selebihnya kami serahkan rezeki kepada Allah,” kata Arin.

Arin mengakui, ketika berada di puncak populariti dahulu, mereka terlalu leka mengejar glamor hingga mengabaikan aspek kewangan dan hak royalti.

“Dulu, memang Res2 glamor tapi glamor semata-mata. Duit tak berkepok, aset pun tak ada. Masa muda, kami tak ambil tahu soal royalti. Tapi kini, seiring peningkatan usia, kami banyak belajar.

“Setiap pengalaman ada baik buruknya, dan kami akan pastikan tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya.

Kumpulan Res2 ditubuhkan pada 1992 di bawah label Suria Records dan kemudian berpisah secara senyap pada pertengahan 90-an.

Kumpulan asalnya dianggotai oleh Watie, Baby, Erin, Yatie dan Umie.

Pada 15 September 2025, Res2 yang dikenali dengan lagu, ‘Kepastian dan Pengertian’, muncul semula dalam konsert WE 4U2C Live In Concert di Idea Live Arena, Petaling Jaya, sebagai artis undangan utama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg