Susulan kejayaan konsert Sheila Majid: 40 Years in Music di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 8 November, Datuk Sheila Majid bakal membawa persembahan eksklusif itu ke Singapura pada 6 Jun 2026 di Dewan Konsert Esplanade.
Pengumuman rasmi dibuat menerusi paparan visual di layar lebar pentas sejurus konsert berakhir yang menandakan permulaan perjalanan Sheila membawa persembahannya ke pentas serantau.
Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 60 tahun, memaklumkan bahawa konsert di Singapura akan mengekalkan tenaga kerja yang sama bagi memastikan pengalaman menonton yang memuaskan peminat.
“Insya-Allah konsert ini akan dibawa ke Singapura tahun depan (2026).
“Kami masih mengekalkan produksi yang sama. Kalau nak tahu perbezaan konsert di Singapura, kenalah datang tonton,” katanya.
Terdahulu, konsert berkenaan menarik kehadiran kira-kira 9,000 peminat dengan sajian lebih 20 lagu hits termasuk Warna, Bahagia, Embun, Ku Mohon, Antara Anyer dan Jakarta, Lagenda, Aku Cinta Padamu, Memori dan Sinaran.
Konsert itu diiringi 10 pemuzik dan tiga penyanyi latar dengan pengarah muzik mapan, Mac Chew mengetuai produksi muzik secara langsung, lapor Harian Metro.
Ia turut diserikan dengan kehadiran komposer terkenal Indonesia, Tohpati sebagai pemuzik undangan.
Berlangsung selama lebih dua jam, Sheila yang tampil anggun dengan tiga persalinan rona merah delima bukan sahaja memukau peminat dengan deretan lagu popular, malah membawa mereka tersenyum dengan celoteh dan jenaka bersahaja sepanjang persembahan.
Antara selebriti yang turut hadir memeriahkan konsert ialah Anuar Zain, Misha Omar, Jaclyn Victor, serta penyanyi Indonesia, Afgan.
Sheila pernah mengadakan konsert solo yang diberi nama Big Band Live di The Star Theatre, The Star Perfoming Arts Centre, Singapura pada Oktober 2023.
Tiket bagi konsert Sheila Majid 40 Years in Music boleh didapati di laman https://bh.sg/sheila40 dengan tiket berharga antara $88 hingga $248.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg