Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kutukan netizen buat Liza Hanim rasa bak ‘ditampar’

Nov 20, 2025 | 2:59 PM
Liza Hanim, netizen
Penyanyi, Liza Hanim, menganggap kecaman itu biasa, tetapi tetap rasa tergores dengan komen warga siber memintanya ‘move on’ atau melupakan dan bergerak ke hadapan. - Foto INSTAGRAM LIZA HANIM

Bukan sekali dua penyanyi, Liza Hanim, 46 tahun, berdepan kecaman.

Namun, selepas hampir tiga dekad mengabdikan diri dalam industri muzik, ada satu komen yang benar-benar menggores hatinya hingga membuatkan air matanya tumpah.

Berkongsi lanjut, Liza berkata komen seorang individu di YouTube yang menyuruhnya “give up dan move on kerana zaman sudah berlalu”, membuatkan emosinya benar-benar terusik.

“Biasanya saya tak layan komen negatif sebab dah banyak sangat yang saya terima sepanjang 28 tahun dalam industri. Tapi entah kenapa, satu komen ini benar-benar buat saya tergamam.

“Kebetulan lagu baru saya baru keluar, itu pula projek penutup saya untuk 2025. Lagipun, 19 November usia... menginjak 46 tahun. Jadi bila baca komen kata masa saya sudah habis, saya patut mengalah, saya seperti ditampar.

“Saya terfikir, tiada nilailah saya selama ini? Sedangkan lihat saja rekod ‘discography’ saya, bukan kecil,” katanya pada sidang media drama, Sumpah Ibuku, di Balai Berita, Bangsar, pada 18 November.

Liza turut berkongsi komen itu akaun Instagramnya hingga mencetuskan reaksi ramai rakan artis yang bersimpati, lapor Berita Harian Malaysia.

Antara komen individu tersebut berbunyi: “Sudahlah, zaman awak sudah berlalu. Mengalah sajalah. Ia tidak akan berlaku lagi. Teruskan hidup, Liza.”

Liza mengakui, kata-kata itu cukup sinis hingga menyebabkan beliau mengalirkan air mata.

Namun, sokongan rakan industri seperti Misha Omar, Ieda Moin dan ramai lagi membuatkannya kembali kuat.

“Tak semua orang suka apa yang kita buat. Jadi saya pilih untuk fokus pada mereka yang masih menyokong.

“Misha ada hantar mesej bila saya muat naik hantaran itu. Begitu juga ramai rakan artis lain. Rupa-rupanya ramai pernah lalui benda sama. Saya sangat hargai mereka semua,” ujarnya.

Liza menegaskan budaya komen negatif dan toksik sepatutnya dihentikan.

“Kalau tak suka, tak perlu dengar lagu saya. Tak ada siapa paksa. Tapi janganlah jadi toksik dalam industri.

“Setiap kali saya keluar lagu baru, mesti ada golongan begini… Tapi tak mengapa, yang penting saya masih di sini dan peminat masih mahu saya menyanyi,” ujarnya.

Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-17 menerusi Gelisah Mimpi itu berkata beliau tidak pernah berniat bersaing dengan sesiapa, sebaliknya menyanyi kerana cinta terhadap seni.

“Peminat masih mahukan saya. Saya tak kejar persaingan lagi. Selagi Allah kurniakan suara ini, selagi kreativiti masih hidup, saya akan terus menyanyi,” katanya.

Liza turut berkongsi mengenai ‘single’ terbarunya, Jeda Derita, ciptaan Tomok dengan lirik nukilan Ahmad Fedtri Yahya, yang dipilih sebagai runut bunyi (OST) drama Sumpah Ibuku.

“Projek ini datang pada waktu saya sangat sibuk dengan program televisyen. Tapi bila (syarikat rakaman) Alternate tawarkan lagu ini, saya percaya itu rezeki.

“Saya bersyukur masih diberi kepercayaan untuk menyanyikan OST. Itu satu penghargaan besar,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg