Suasana di The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre, pada malam 26 April sangat meriah, dengan penonton yang hadir ke konsert, Liza Hanim 28 Years Journey in Concert, tidak sabar melihat kemunculan penyanyi Malaysia, Liza Hanim, membuat konsert solonya di Singapura.
Ia merupakan susulan daripada konsert solo pertamanya di Malaysia yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Februari 2024.
Bertemankan dua rakan saya, yang juga peminat tegar Liza, kami sangat teruja dapat mendengar beliau menyanyi secara live setelah sekian lama.
Konsert itu bermula dengan persembahan bertenaga dua lagu rancak, Imaginasi (Hey Liza) dan Dunia Cinta, serta diikuti lagu popularnya, Getaran Cinta Di Jiwa.
Liza, atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, 45 tahun, kelihatan teruja dengan sambutan penonton yang hadir.
Walaupun teater itu tidak penuh, masih terasa suasana gamat daripada sorakan peminat setia beliau yang telah menyokong dirinya sejak kemunculan album, Epilog, pada 1997.
Saya gembira dapat mendengar beliau mendendangkan lagu kegemaran saya termasuk, Ku Idamkan Rindu, Biarkan Aku Merinduimu, dan Andai Aku Bersuara, dinyanyikan secara live.
Skrin di pentas turut memaparkan lirik bagi setiap lagu, sekali gus membuat penonton senang dapat ikut bernyanyi bersama seperti sesi karaoke.
Sisi candi dan ceria Liza terserlah sewaktu berinteraksi dengan penonton yang hadir.
Beliau berkali-kali ‘menjemput’ penonton untuk minum bersamanya apabila beliau berhenti sebentar untuk membasahkan tekak memandangkan lagu baladanya memerlukan beliau untuk ‘tarik’ suara.
Sewaktu segmen menyanyikan lagu daripada pertandingan, Gegar Vaganza (GV), terdapat ramai penonton yang bergurau dengan meminta Liza menyanyikan lagu, Ayam, oleh Jalil Hamid (yang Liza nyanyikan pada minggu kelapan dalam musim GV All Stars).
Liza turut menyanyikan beberapa rangkap lirik daripada lagu itu sambil tertawa.
Lagu, Kata Hati dan I Love You, yang disifatkan sebagai era ‘ala Britney Spears’, iaitu apabila pasaran muzik dunia dikuasai lagu rancak dan mampu membangkitkan suasana untuk ikut berdansa, turut berkumandang.
Walaupun saya lebih mengenali Liza dengan lagu balada dan melankoliknya, konsert tersebut memberi saya peluang menghayati lagu genre pop daripada dirinya.
Beliau yang pernah merakamkan semula lagu seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam album keduanya, mendedikasikan segmen sanjungan buat ikon legenda itu.
Dalam segmen itu, beliau menyanyikan lagu, Dimana Kan Ku Cari Ganti, Jeritan Batinku dan Istana Cinta dengan susunan muzik yang menyegarkan.
Liza turut berterima kasih kepada pengarah muzik, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, kerana telah memberinya peluang merakam album tersebut, yang membuka banyak peluang dalam kerjaya muziknya selepas itu.
Ia termasuk melibatkan diri dalam pementasan, P. Ramlee The Musical, di Malaysia dan Singapura.
Kemunculan penyanyi pujaan ramai wanita, Khai Bahar, memeriahkan lagi suasana konsert.
Beliau berduet bersama Liza bagi lagu, Gelora, nyanyian asal Allahyarham P. Ramlee, dan Allahyarhamha Saloma serta menyanyikan dua lagu balada, Hanya Segenggam Setia dan Bayang.
Kemuncak konsert itu adalah apabila Liza menyanyikan lagu bahasa Inggeris yang cukup mencabar, I Have Nothing oleh Whitney Houston.
Beliau berkongsi dengan penonton betapa gentarnya untuk membawakan lagu itu selepas menyanyikannya sewaktu konsert akhir, Golden Teen Search, pada 1996.
Saya cukup kagum dengan kekuatan vokal Liza dan ia membuat saya mengimbau kembali kenangan melihatnya menyanyikan lagu, My Heart Will Go On, oleh penyanyi asal Canada, Celine Dion, sewaktu membuat liputan bagi konsert akhir, GV All Stars di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 2023.
Konsert anjuran AS Entertainment, yang diterajui pereka fesyen Singapura, Adam Rashid itu, turut menyaksikan Liza menggayakan dua busana berbeza oleh Adam pada malam itu - satu berwarna hitam dan satu lagi berwarna emas.
Konsert pada malam itu berakhir dengan Liza menyanyikan dua lagu wajib, Siapa Sangka Siapa Menduga dan Gelisah Mimpi, yang membuat semua penonton bernyanyi bersama sambil menyalakan lampu suluh menggunakan telefon pintar masing-masing.
Pastinya persembahan pada malam itu merupakan antara konsert yang tidak dapat saya lupakan untuk jangka masa yang lama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg