Lagu ‘Hari Raya Ha!Ha!Ha!’, ciptaan Khair Yasin lebih 40 tahun lalu ‘digali’
Lagu ‘Hari Raya Ha!Ha!Ha!’, ciptaan Khair Yasin lebih 40 tahun lalu ‘digali’
Lagu ‘Hari Raya Ha!Ha!Ha!’, ciptaan Khair Yasin lebih 40 tahun lalu ‘digali’
Siapa sangka lagu Hari Raya yang tersimpan lebih empat dekad dalam arkib muzik penggubah lagu dan penulis lirik puitis, Mohd Khair Mohd Yasin, akhirnya terakam juga.
Secara kebetulan, sewaktu bersarapan bersama, rakan seninya, Ismail Gani, bertanyakan jika Khair yang juga dikenali dengan nama pena, Khayas, mempunyai lagu untuk beliau dendangkan.
“Saya langsung menyarankan lagu Hari Raya Ha!Ha!Ha! kepadanya untuk dipertimbangkan.
“Sebenarnya, lagu ini merupakan salah sebuah lagu dalam khazanah simpanan lagu saya yang belum pernah dirakamkan.
“Pada asalnya, ia adalah lagu genre nasyid yang pernah saya dan teman-teman sekolah di peringkat prauniversiti persembahkan di bawah nama, Kumpulan Perwira Bartley.
“Ia kini dikemaskinikan menjadi lagu Raya genre rok untuk dirakam oleh Ismail, penyanyi mapan yang saya anggap serba boleh di Singapura ini,” jelas Khair, 60 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Ismail, 62 tahun, yang merupakan finalis rancangan adu bakat Inggeris di kaca televisyen, Talentime1986, bersama kumpulan Scarecrow, langsung bersetuju merakamkan lagu itu kerana sukakan irama lagunya yang ‘catchy’ (menarik perhatian dan mudah diingat).
Liriknya juga membuat pendengar rasa seronok berlebaran.
“Sebenarnya, sudah lama juga saya nantikan kesempatan bekerjasama dengan Khair.
“Justeru, saya rasa bersyukur dapat bergabung di dalam projek lagu, Hari Raya Ha!Ha!Ha! ini bersama beliau.
“Kali pertama dengar lagu ini memang seronok,” jelas Ismail, bapa dua anak, yang juga mempunyai tiga cucu.
Bagi Khair, bapa tiga anak dan datuk dua cucu, lagu tersebut mudah dan selesa dinyanyi dan dirakamkan seorang penyanyi seperti Ismail kerana ia menambah nilai keselesaan pada sesebuah lagu Hari Raya.
“Secara peribadi, saya sudah hasilkan dan rakamkan sekurang-kurangnya 11 lagu atau lirik Hari Raya termasuk lagu terkini ini.
“Di antara lagu yang sudah dirakam, sebilangannya sudah berkumandang di stesen radio dan televisyen Singapura dan Malaysia.
“Ini termasuk Dondang Dikir Lebaran oleh saya sendiri, Rindu Lebaran, nyanyian Datuk Khadijah Ibrahim dan Hari Raya Di Depan Kaabah, yang saya nyanyikan bersama anak saya, Bakti Khair,” ujarnya.
Lagu Lebaran lain yang mendapat sentuhan Khair yang dikenali kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan ikonik, Rausyanfikir, termasuk Aksara Di Hari Raya (Sirrfillsirr); Romantika Hari Raya (Suhaime Roa); Lambaian Syawal (Life Petal); Air Mata Di Aidil Fitri (Simpatico); Mereka Sambut Hari Raya (Simpatico); Hujan Ihsan Di Aidil Fitri (Bakti Khair); dan Lebaran Kesyukuran (Khair).
Ditanya mengapakah lirik Hari Raya Ha!Ha!Ha! itu nampak mudah, berbeza dengan banyak lirik puitis lagi berbunga yang pernah beliau hasilkan, Khair berkata:
“Sebabnya, ia dihasilkan ketika saya di bangku sekolah lagi, iaitu ketika saya di peringkat prauniversiti di Sekolah Menengah Bartley.
“Bahasa yang mudah difahami di dalam lagu ini menunjukkan saya ketika itu masih berjinak-jinak dengan alam puisi pada peringkat usia remaja dahulu.
“Walau bagaimanapun, saya harap lirik lagu ini sampai dan berkesan mesejnya walaupun mudah difahami masyarakat yang mendengar dan menghayatinya nanti.”
Menurutnya, dalam mencipta lirik dan irama lagu Raya, perkara yang paling penting adalah melodinya dan pesanan yang ingin disampaikan serta kesegaran idea karya berkenaan.
“Lirik yang memiliki pendekatan yang unik dan langka (jarang jumpa) akan memberikan pendekatan yang baharu mengenai idea suasana Hari Raya itu.
“Melodinya pula perlulah menawarkan sesuatu yang dapat dijadikan sajian nyanyian kebersamaan dan memiliki unsur komersial yang dapat menarik perhatian pendengar apabila mendengarnya buat kali pertama sehingga terngiang-ngiang melodi dan lirik lagu Hari Raya itu di lubuk hati dan fikiran,” kongsi Khair.
Apabila diminta menyebut lagu Raya kegemarannya, Khair berkata: “Pulanglah oleh Datuk Aishah. Lagu ini ciptaan Allahyarham Adam Ahmad, dengan Aishah sendiri menghasilkan liriknya.
“Walaupun lagu Datuk M. Nasir, Satu Hari Di Hari Raya merupakan ‘raja’ segala lagu Raya, namun Pulanglah memiliki keseimbangan karya dan melodi yang begitu ketara sekali.
“Kemerduan suara Aishah yang mendayu-dayu serta liriknya yang penuh sentimen memperkukuhkan konsep dan nuansa suasana dan perasaan Hari Raya, yang tujuannya bukan hanya untuk bergembira tetapi untuk membina refleksi di dalam meraikan Syawal yang mulia ini.”
Ternyata, kerjasama dalam lagu Raya itu bukan yang pertama dan terakhir buat Khair dan Ismail.
“Insya-Allah, seandainya dibentangkan peluang dan rezeki, saya akan menyahut kesempatan ini dengan hati yang terbuka.
“Saya juga berharap saya dapat peluang bekerjasama dengan karyawan seni lain di Singapura ini menyusuli usahasama dengan Khair,” kata Ismail, yang pernah merakam album di Jakarta, bersama kumpulan, Justice pada 1988 dan aktif dalam arena muzik band akustik kelab malam.

