Lagu tujuh minit, ‘Andai Sampai Akhir Usia’, papar cinta sedalam lautan
Lagu tujuh minit, ‘Andai Sampai Akhir Usia’, papar cinta sedalam lautan
Menyentuh tentang lagu ‘galau’ (lagu balada dengan lirik dan melodi yang menggambarkan perasaan remuk-redam bercinta, baik sedih, patah hati atau kecewa), bagi saya, industri muzik Indonesialah juaranya.
Namun begitu, berdasarkan pengamatan peribadi saya dalam era media sosial ini, arena muzik Indonesia kini lebih memberi tumpuan kepada penghasilan karya yang ‘easy listening’ atau mudah dihayati.
Begitulah kesan yang dirasakan ketika saya mendengar lagu terbaru penyanyi bersuara serak-serak basah, Judika, berjudul, Andai Sampai Akhir Masa, yang dilancarkan pada 14 Februari 2025.
Lagu itu, secara umum, menceritakan tentang ungkapan perasaan terdalam seseorang terhadap pasangan dan berharap dapat hidup bersama selamanya tanpa ada perpisahan.
Berbanding lagunya yang lain, lagu yang diciptakan oleh Yudi Hendra Rahim, menonjolkan kemampuan vokal Judika yang lebih santai.
Selain itu, Judika yang popular dengan lagu, Aku Yang Tersakiti dan Bukan Dia Tapi Aku, turut menyajikan lagu terbarunya yang sepanjang lebih lima minit.
Jarang saya menemukan lagu sepanjang itu.
Namun, Pay Burman yang bertindak sebagai penyusun lagu tersebut menjelaskan, “sebuah lagu tidak lagi dibataskan oleh jangka masa, pendengar bebas memilih bahagian yang mereka gemari”.
Lagu yang diilhamkan daripada kisah sebenar Yudi itu mempunyai melodi mendayu-dayu dan mampu membawa pendengar larut dalam perasaan cinta terhadap insan istimewa.
Bagaimanapun, saya merindukan lagu galau Judika, yang memberi kesan mendalam dalam sebuah ungkapan cinta yang penuh getaran, misalnya seperti, Jikalau Kau Cinta, Mama Papa Larang dan Cinta Karena Cinta.
Ini kerana ciri suara Judika memang sudah intim dengan lagu yang memiliki tarikan vokal tinggi sekali gus irama yang lebih rancak, ditambah pula dengan suaranya yang serak-serak basah, memang padu.
Namun begitu, saya turut menghargai usaha seniman berbakat besar itu dalam memberi kelainan pada karya lagu yang dibawakan untuk menepati selera muzik semasa di rantau ini.
Dah katanya lagu penyanyi popular, Judika... jadi apa sahaja yang disajikan pasti mudah mendapat sambutan peminat tegarnya.

