SPH Logo mobile
Langgan|

Lawak jangan asal boleh, tutur bicara kini ada jejak digital

Lawak jangan asal boleh, tutur bicara kini ada jejak digital

Insiden ‘keterlanjuran kata’ Lan Pet Pet dan jiwa besar Fazura terima kemaafan
Feb 16, 2026 | 5:30 AM

Lawak jangan asal boleh, tutur bicara kini ada jejak digital

lan pet pet, fazura
Pelawak veteran, Lan Pet Pet (kiri), temui pelakon, Fazura (kanan), demi membuat permohonan maaf secara langsung selepas secara tidak sengaja melontarkan komen berbaur lucah mengenai jodoh Fazura ketika sesi siaran langsung di TikTok. - Foto INSTAGRAM JAKEL TEXTILE

Dunia hiburan baru-baru ini dikejutkan dengan satu lagi insiden ‘terlajak kata’ melibatkan pelawak otai, Lan Pet Pet daripada kumpulan Senario, dan pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin.

Ia bermula daripada sesi siaran langsung TikTok Lan, yang pada mulanya sekadar usikan biasa.

Namun, suasana bertukar tegang apabila Lan mengeluarkan jenaka yang dianggap sebagai netizen tidak sensitif dan mempunyai ‘makna tersirat’.

Komen yang menyentuh hal peribadi Fazura itu dianggap ‘lucah’, sekali gus mengundang kecaman hebat netizen.

Dalam sesi langsung itu, Lan tertarik dengan soalan jodoh Fazura, lalu terdorong membuat komen di luar batas, yang dianggap lucah.

Akibat keterlanjuran kata, Lan kemudian memohon maaf secara terbuka di media sosial, sebelum bertemu Fazura ketika penggambaran iklan Jakel pada 9 Februari lalu.

Benarlah peribahasa, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Apabila sudah terlanjur berkata-kata dan menggores hati, permohonan maaf sewajarnya disegerakan.

Dalam era digital ini, setiap butir bicara bukan lagi sekadar angin lalu. Sebaik butang ‘end live’ ditekan, jejak digital kekal selamanya.

Kita kini berada dalam zaman di mana batas antara ruang peribadi dengan tontonan umum semakin kabur.

Kadangkala, selebriti, pelawak, atau pempengaruh leka dalam mencipta jenaka demi menghiburkan pengikut.

Namun, mereka lupa di sebalik skrin, ribuan mata sedang memerhati.

Dengan adanya fungsi ‘screen record’ atau rakaman tangkap layar, sebarang kesilapan mudah tersebar dan menjadi tular dalam sekelip mata.

Apa yang lebih membimbangkan adalah pengaruhnya terhadap generasi muda.

Kanak-kanak seawal lima atau enam tahun kini cekap melayari TikTok, adakalanya tanpa pantauan ibu bapa.

Bayangkan sekiranya mereka mendengar kata-kata kurang sopan atau berunsur lucah, lalu diguna dalam perbualan harian bersama rakan.

Tanpa sedar, tindakan itu membiasakan penggunaan bahasa ‘kotor’ atau toksik, atas nama hiburan atau jenaka.

Barangkali, ada yang berpendapat pelawak veteran masih teraba-raba mencari rentak dalam arus perkembangan zaman.

Jenaka atau perkara biasa di era 90-an mungkin kini dianggap melukai atau menghina.

Saya berpendapat, gurauan yang menyentuh bentuk badan, wajah, hal peribadi, apatah lagi isu agama, wajar dijauhi.

Selain itu, media sosial dibanjiri istilah slanga yang digunakan tanpa saringan.

Contohnya, perkataan ‘kacip’ yang kini kerap digunakan pengguna media sosial untuk menggambarkan sesuatu yang kelakar.

Sebaliknya, ramai yang tidak sedar perkataan kacip sebenarnya merupakan istilah negatif dalam kalangan penagih dadah, merujuk kepada fasa ‘high’.

Penggunaan tanpa usul periksa ini seolah-olah mempromosikan budaya yang tidak sihat.

Kejadian ini mengingatkan saya kepada pertelingkahan antara pempengaruh media sosial, Imran Bard dengan pelakon mapan, Ellie Suriaty, pada awal 2025.

Bagi Ellie, nama baik yang dibina selama 30 tahun tidak sepatutnya dicemar begitu sahaja demi kandungan murahan berbaur fitnah, yang telah Imran muat naik dalam akaun media sosialnya.

Dalam hantaran tersebut, Imran membicarakan tentang isu kesihatan mental.

Perbincangan itu berlanjutan dalam ruangan komen sehingga netizen menuduh Ellie mengambil barang terlarang.

Permohonan maaf Imran turut dianggap Ellie kurang ikhlas, kerana tidak disertai dengan tindakan yang menunjukkan kesungguhan sebenar.

Pokoknya, dalam era digital kini, setiap kata yang dilontarkan perlu dipertimbangkan dengan cermat.

Berbalik pada isu Lan dan Fazura, saya lihat ada juga sisi positif yang boleh dijadikan teladan. 

Saya tabik dengan sikap Lan yang tampil memohon maaf secara depan-depan dan bukan sekadar menghantar teks kosong menerusi Instagram Story. 

Tindakan itu jelas menunjukkan keikhlasan seorang seniman yang budiman dan memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi.

Begitu juga dengan Fazura yang berjiwa besar.

Walaupun dilemparkan dengan kata-kata yang kurang menyenangkan, beliau tetap profesional dan sudi menerima permohonan maaf Lan.

Di ambang Ramadan yang mulia ini, peristiwa ini memberi pengajaran yang sangat bermakna. 

Walaupun tiada manusia yang sempurna, kemampuan untuk mengaku kesilapan dan memaafkan antara satu sama lain adalah sifat yang paling terpuji.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg