Topic followed successfully
Go to BHkuLegasi seni Sanisah Huri bertahan kerana kasih sayang ramai
Legasi seni Sanisah Huri bertahan kerana kasih sayang ramai
Jasa mantan pengurus yang kaya dorongan terpahat di ingatan
Legasi seni Sanisah Huri bertahan kerana kasih sayang ramai
Kerjaya seni yang bertali arus dari usia muda remaja hingga usia senja tidak akan dapat direalisasikan seandainya tiada insan istimewa yang memberi dorongan dan sudah dianggap bak anggota keluarga sendiri.
Antara mereka yang terpahat dalam ingatan biduanita legenda, Sanisah Huri, 74 tahun, adalah mantan pengurusnya, Allahyarhamha Rusedah Tawahid, yang meninggal dunia sekitar Oktober 2025, selepas berjuang dengan penyakit barah duktus hempedu.
“Saya tak dapat nak jelaskan betapa sebaknya saya setelah mendapat berita Rusedah meninggal dunia. Rindu hingga ke hari ini dan saya kenang jasanya yang banyak bagi saya meneruskan kerjaya seni.
“Memang saya berulang-alik mengunjunginya di hospital dan sentiasa mendoakannya.
“Sepanjang lebih 15 tahun beliau mengurus saya sampai terlaksana konsert solo saya di Esplanade pada 23 Julai 2022, yang mendapat sambutan ramai peminat, Rusedah orang yang sentiasa mendahulukan kesejahteraan saya.
“Tak banyak bercakap, baik hati, selalu mendorong saya dan beri kata-kata motivasi, malahan tak pernah mendesak atau memaksa, asal sahaja saya selesa dengan sesuatu tawaran persembahan,” cerita Sanisah ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Kampung Admiralty Community Plaza sekitar Woodlands Drive 71.
Penyanyi lagu malar segar, Sejak Ku Bertemu Padamu, Siapa Gerangan, Si Baju Hijau dan Bersabarlah Sayang itu ditemui ketika menjayakan Majlis Rumah Terbuka Raya, Gema Syawal 2026, bagi penduduk GRC Sembawang dan SMC Sembawang West pada 12 April lalu.
Walaupun sudah mengurangkan kegiatan seninya kerana meningkat usia dan ingin lebih tertumpu pada kesihatan, bintang anggun dan penuh sopan santun ini masih lagi mendapat undangan menyanyikan bermacam lagu Hari Raya yang dirakamnya dan merupakan irama wajib pada musim perayaan.
Menurutnya, dengan beliau sekali sekala muncul pada acara berbuka puasa ataupun majlis keramaian Raya badan Melayu/Islam atau kelab masyarakat, kerinduannya terhadap peminat dari pelbagai lapisan usia terubat.
“Budak-budak kecil yang boleh dipanggil cucu pun suka lagu saya. Mereka tahu lagu Raya seperti Aidilfitri dan lagu Si Baju Hijau.
“Ada yang menyanyi dan menari bersama. Peminat bermacam peringkat usia boleh hargai lagu lama,” kongsinya.
Selepas pemergian Allahyarhamha Rusedah yang pernah menggalas amanah sebagai Setiausaha Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus), Sanisah kini diuruskan jurudandannya yang dikenali sebagai Su Ahmad, yang sudah lama memberi sentuhan emasnya pada solekan biduanita ini.
Menurut Su yang hadir bersama Sanisah pada hari itu, beliau membantu menyelaras undangan bagi Sanisah selepas bertanya sama ada yang empunya diri ingin terus membuat persembahan.
“Saya sudah lama juga memberi khidmat dandanan buat Kak Nisah (panggilan buat Sanisah) dan sudah ikut ke beberapa acara.
“Secara tak langsung apabila Kak Rusedah tiada, saya bertanya dengan Kak Nisah jika beliau masih mahu menerima undangan menyanyi.
“Beliau kata ‘boleh’, maka kami teruskan tetapi pastikan dirinya ambil undangan mana yang mampu, sehari satu acara dan bukannya beberapa acara seperti dalam musim Raya. Tak nak memberatkannya,” ujar Su.
Menurut Sanisah yang tinggal bersendirian selepas ibu tercintanya, Hajah Aneda Rafiah, meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 2019 kerana penyakit tua, kesihatan fizikal dan kesejahteraan minda menjadi tumpuan.
Beliau, yang bertugas sebagai atendan bas bagi sebuah sekolah antarabangsa di Singapura untuk mengisi masa terluang sejak 2020, menambah:
“Pada usia sebegini, memanglah dari segi pergerakan tidak selincah dahulu.
“Tapi saya bersyukur kerana masih diberi ruang untuk meneruskan apa yang saya suka dan menjadi sumber pencarian sejak usia remaja, iaitu menyanyi dan menghiburkan orang.
“Sebab menyanyi adalah perkara yang saya suka, ia bukanlah bebanan walaupun perlu bertemu khalayak ramai dan lautan manusia.
“Saya tak pernah buat pekerjaan lain selain menyanyi. Apabila usia senja, saya mencari sesuatu yang akan menggembirakan saya.
“Saya memang suka budak-budak walaupun saya tiada anak sendiri.
“Kalau dahulu memang saya suka bawa anak-anak saudara saya berjalan-jalan. Saya jaga mereka kalau ibu bapa mereka keluar bekerja. Sekarang mereka pun dah besar panjang.
“Jadi tugasan saya sekarang iaitu memastikan pelajar selamat naik kenderaan untuk ke sekolah dan pulang sekolah, mengisi masa saya. Tapi biasalah, ragam kanak-kanak dan kerenah mereka perlu ditangani,” ceritanya.
Mengikut arkib muzik di dalam talian, Sanisah sudah merakam hampir 30 album EP, studio dan kompilasi lagu Raya.
Kalau direnung kembali zaman kegemilangannya pada era muzik pop yeh yeh dan selanjutnya dengan lagu yang sarat kisah sejarah, falsafah cinta dan nilai Melayu, Sanisah tersenyum seraya berkata:
“Alhamdulillah, rasanya bertuah dapat sampaikan lagu hasil tulisan lirik arwah Cikgu Yusnor Ef dan ciptaan arwah Abang Kassim Masdor.
“Banyak kisah sejarah – ada yang menyentuh tentang peribahasa Melayu, banyak juga nasihat... begitulah keistimewaan Cikgu Yusnor.
“Diharapkan apabila orang mendengar pun, mereka akan dapat serap nasihat dan pesanan yang baik sebagai pedoman kehidupan,” jelasnya.
