SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Legenda muzik India Asha Bhosle meninggal dunia

Legenda muzik India Asha Bhosle meninggal dunia

Sepanjang kerjaya Asha diangkat sebagai antara penyanyi paling berjaya dan prolifik dalam sejarah muzik filem Hindi
Apr 13, 2026 | 5:31 PM

Legenda muzik India Asha Bhosle meninggal dunia

Asha Bhosle meninggal dunia, legenda muzik India, penyanyi Bollywood, Asha Bhosle vs Lata Mangeshkar, berita kematian artis India, lagu Umrao Jaan, Anand Bhosle, hindi
Asha Bhosle dikenang sebagai antara penyanyi paling berpengaruh dalam sejarah muzik India. - Foto REUTERS

MUMBAI: Dunia muzik India diselubungi duka apabila penyanyi legenda, Asha Bhosle, disahkan meninggal dunia pada usia 92 tahun hari ini.

Asha dilaporkan menghembuskan nafas terakhir selepas dimasukkan ke Hospital Breach Candy, di sini, akibat masalah jantung dan pernafasan.

Memetik laporan agensi, sumber memaklumkan Asha dilaporkan kurang sihat sejak beberapa bulan lalu sebelum keadaannya merosot secara mendadak, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada malam Sabtu dalam keadaan kritikal akibat komplikasi kesihatan yang serius.

Berita pemergian ikon seni itu disahkan anaknya, Anand, manakala upacara pengebumian dijangka berlangsung pada 13 April.

Sepanjang kerjayanya, Asha diangkat sebagai antara penyanyi paling berjaya dan prolifik dalam sejarah muzik filem Hindi.

Namanya sering disebut sebaris dengan kakaknya, mendiang Lata Mangeshkar, yang turut dikenang sebagai legenda muzik India.

Dilahirkan pada 1933 dalam keluarga seni Mangeshkar, Asha mula menyanyi secara profesional seawal usia sembilan tahun.

Beliau merakam lagu filem pertamanya pada 1943 sebelum mencipta nama besar dalam industri Bollywood sekitar era 1950-an.

Pada awalnya, Asha sering dikaitkan dengan lagu berentak kabaret dan tarian, namun beliau berjaya memecahkan stereotaip itu.

Kehebatan vokalnya terserlah apabila menyampaikan lagu ghazal dengan penuh jiwa, termasuk karya ikonik dalam filem Umrao Jaan.

Sepanjang perjalanan seni, beliau meraih pelbagai pengiktirafan termasuk tujuh Anugerah Filmfare Penyanyi Playback Wanita Terbaik.

Selain itu, Asha turut memenangi Anugerah Filem Kebangsaan India menerusi lagu Dil Cheez Kya Hai dan Mera Kuch Saamaan.

Dalam satu wawancara pada 2023, Asha mengakui jarang mendengar lagu moden kerana lebih cenderung kepada muzik klasik dan ghazal.

Bagaimanapun, beliau masih menghargai karya penyanyi seperti Rahat Fateh Ali Khan dan Sunidhi Chauhan yang dianggap memiliki kualiti tersendiri.

Pada usia 16 tahun, Asha berkahwin dengan Ganpatrao Bhosle, namun rumah tangga itu berakhir pada 1960 selepas dikurniakan tiga cahaya mata.

Pada 1980, beliau mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal, Rahul Dev Burman, selepas menjalinkan hubungan cinta yang panjang.

Perkahwinan itu kekal sehingga pemergian Rahul pada 1994.

Dalam tahun-tahun terakhir kehidupannya, beliau banyak ditemani cucunya, Zanai Bhosle, yang turut mewarisi bakat seni keluarga.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg