Sebelum penggubah lagu ikonik Indonesia, Melly Goeslaw, muncul dengan ciptaan bermacam lagu malar segar seperti Jika, Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan Mungkin, sudah wujud komposer wanita yang mampu menyentuh jiwa ramai di Nusantara, Titiek Puspa.
Titiek, atau nama sebenarnya, Sudarwati, atau Sumarti Jatin Toegeno Poespowidjojo, dikenali kerana lagu bersahajanya seperti Jatuh Cinta, Apanya Dong dan Marilah Ke Mari, yang menjadi lagu ‘wajib’ bagi banyak program hiburan di Indonesia hingga ke hari ini.
Kupu-Kupu Malam dan Bing (sanjungan buat penyanyi dan komposer veteran, Allahyarham Bing Slamet) pula antara ciptaannya buat sesiapa yang berjiwa sentimental dan mudah tersentuh.
Justeru, berita pemergiannya pada 10 April kerana pendarahan otak cukup merentap tangkai hati ramai anak seni yang pernah berurusan dengannya dalam kerjaya seni mereka, baik yang berusia 60-an tahun mahupun yang baru mencecah 20-an tahun.
Allahyarhamha Titiek, 87 tahun, yang dilahirkan di Tanjung, Tabalong sekitar Kalimantan Selatan, dipanggil ‘Eyang’ (Nenek) oleh kebanyakan penyanyi muda.
Antara yang paling terkesan dengan ketiadaan Titiek ialah penyanyi dangdut terkenal, Inul Daratista, 46 tahun, yang sempat mengunjungi ‘nenek’ kesayangannya itu sewaktu beliau terlantar sakit.
“Saya akan sentiasa kenang budi Eyang kerana beliau banyak membantu saya di kala saya susah dan nyaris-nyaris berputus asa untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.
“Saya pernah hampir pengsan kerana sulit bayar sewa rumah di kawasan perumahan mewah.
“Saya tak ada apa-apa dan mahu sahaja balik kampung.
“Bagaimanapun, arwah ajak saya ikutnya buat persembahan dan boleh cari rezeki bersama-sama selama dua bulan, sekali gus membolehkan saya melangsaikan sewa sebanyak 285 juta rupiah ($21,400) sebulan,” jelas Inul dalam satu kenyataan selepas pemergian Titiek.
Sejak hari pertama daripada 15 hari Titiek dirawat di Hospital Medistra, sekitar Jakarta Selatan, selepas mengadu sakit kepala, Inul kerap menemani Titiek.
“Cuma pada hari pemergiannya, saya bergegas pulang ke rumah untuk salin pakaian dan masak untuk suami.
“Jadi ketika Eyang menghembuskan nafas terakhirnya, saya tiada,” jelasnya.
Juri peraduan realiti Gegar Vaganza (GV), Hetty Koes Endang, 67 tahun, pula menganggap Titiek sebagai karyawan muzik yang serius dan peka dalam mencorak landskap muzik Indonesia.
Mereka saling mengenali kerana Hetty sering bertanding dalam peraduan nyanyian antara 1972 dengan 1978.
Pada ketika itu, Titiek yang namanya sudah di tangga atas industri muzik Indonesia sering menjadi juri peraduan.
“Saya ingat ‘tante’ Titiek selalu ada di setiap peraduan yang saya sertai.
“Dalam ramai penyanyi yang ada, beliau mampu mengesan saya dan kenal.
“Seperti arwah ibu saya, beliau akan kata, ‘Kalau nak jadi penyanyi, mesti serius, fokus dan disiplin’.
“Saya pegang nasihatnya sampai sekarang.
“Orangnya ramah, suka berjenaka dan bersahaja tetapi kaya dengan nasihat,” ujar Hetty dalam program YouTube, Rumpi No Secret.
Jasa legenda sepertinya terus dikenang oleh pelbagai generasi.
Malahan, kalau ditinjau Instagram bintang muda seperti Isyana Sarasvati, Afgan dan Raisa, dapat dilihat foto-foto mereka bersama ‘Eyang’ tercinta.
Kerjaya Titiek yang menjangkau usia 60 tahun itu bermula apabila beliau memenangi satu peraduan menyanyi di Semarang.
Beliau juga berlakon dalam beberapa filem seperti. Inem Pelayan Sexy, Karminem dan Apanya Dong, serta terlibat dalam beberapa pementasan teater.
Titiek juga dicalonkan bagi Anugerah Citra untuk Pelakon Pembantu Wanita bagi watak yang dijayakan dalam filem, Ini Kisah Tiga Dara.
Beberapa Anugerah Sepanjang Hayat daripada Komisyen Penyiaran Indonesia (KPI) dan Anugerah Muzik Indonesia turut diraihnya.
Majalah Rolling Stone Indonesia, bahkan, menobatkan Titiek sebagai salah seorang ‘Dewi Muzik’ pada 2008.
Seramai 25 artis Indonesia terbaik disenaraikan sebagai legenda muzik di negara itu dalam majalah tersebut.
Dua lagunya, Kupu-Kupu Malam dan Bing, yang ditujukan kepada pelawak dan pelakon terkenal Indonesia, Bing Slamet, turut disenaraikan sebagai antara 150 lagu Indonesia terbaik sepanjang zaman pada 2009.
Titiek juga dipaparkan dalam salah satu edisi khas setem oleh Pos Indonesia dan Kementerian Komunikasi dan Maklumat Indonesia pada 2020.
Semoga Allahyarhamha digolongkan dalam kalangan mereka yang dirahmati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg