Ramai yang mengenali Allahyarham Yusnor Ef sebagai penulis lirik terkemuka dan tokoh seni yang disegani, yang pernah dibimbing Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan pernah bekerjasama dengan ikon hiburan Melayu seperti Allahyarham Kassim Masdor, Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Sanisah Huri.
Namun, mereka yang rapat dengannya mengingatinya sebagai seseorang yang lemah lembut, peramah dan suka bergurau dan kaki mengusik.
Isterinya, Cik Jamilah Mohd Samad, 77 tahun, menganggap Allahyarham yang meninggal dunia sekitar 2 pagi pada 16 April sebagai suami amat penyayang.
Ketiadaannya pasti dirindui memandangkan Allahyarham Yusnor, 87 tahun, atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Mohamed Yusofe, banyak mengabadikan kisah cinta mereka dalam lirik tulisannya.
Allahyarham Yusnor yang antara lain, menulis lirik lagu romantis, Tuah dan Tijah, Mencari Kesayanganku, dan Ku Sayang Padamu, menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman mereka di Saraca Terrace, Yio Chu Kang.
Beliau meninggalkan isteri tercinta, seorang anak tunggal perempuan, dan tiga cucu perempuan.
“Kami sekeluarga berada di rumah sewaktu itu, tetapi kami panggil ambulans kerana beliau menggunakan perentak jantung dan kami memerlukan pengesahan hospital atas punca kematiannya, lantas bergegas ke Hospital Besar Sengkang,” jelas Cik Jamilah kepada Berita Harian (BH).
Punca kematiannya dikatakan adalah radang paru-paru, jelas anaknya, Cik Noreeta Mohamed Noor, 47 tahun.
“Dia adalah suami yang sangat penyayang. Pernah dia katakan pada saya, jika saya pergi dulu, dia akan menyusuli keesokan harinya.
“Setiap kali saya turun dari tangga, dan dia lihat saya dari ruang tamu, dia akan kata ‘Macam di syurga’…” cerita Cik Jamilah, sambil tersenyum dalam tangisan.
Menurutnya lagi, arwah menulis banyak lagu tentang mereka, termasuk Gelisah oleh Sanisah Huri dan Seniman Kehilangan Ilham serta Normilah iaitu gabungan nama mereka bersama, kededuanya nyanyian Allahyarham Datuk Ahmad Daud.
Pemergian penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) ini juga mendapat perhatian Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang menyampaikan ucapan takziah di Facebook kepada keluarga, rakan-rakan serta semua yang tersentuh dengan lirik tulisan Allahyarham Yusnor.
Dalam hantaran Facebook, Encik Wong menulis :
“Saya sedih dengan pemergian penerima Pingat Budaya dan tokoh muzik veteran, Yusnor Ef.
“Kehebatan lirik beliau membentuk muzik pop Melayu, dan usaha sepanjang hayatnya membantu memelihara serta memartabatkan warisan Melayu di Singapura.
“Saya masih ingat perbualan kami ketika saya berada di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). Beliau tidak pernah lupa mengingatkan saya tentang pentingnya warisan, dan bagaimana ia merupakan jiwa negara kita.”
Ramai kenalan dan sahabat industri juga datang menziarah jenazahnya, termasuk Pengasas dan Pengarah Eksekutif Tanahair Films dan Inkhouse Media, Khairul Anwar Salleh, yang sebelum ini pernah menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Media Prima dan Primeworks Studio, dan juga Naib Presiden Perniagaan Kandungan Melayu dan Nusantara di Astro Malaysia Holdings Berhad.
Menurutnya, Allahyarham Yusnor, yang mesra dengan panggilan Cikgu Yusnor, adalah seorang seniman yang unik dan istimewa kerana pengalaman beliau bekerjasama dengan seniman ikonik.
“Sebagai guru dan pendidik, sifat itu amat ketara dalam usaha beliau mendokumentasikan sejarah muzik dan filem Melayu Singapura amnya serta karya dan riwayat P. Ramlee khususnya.
“Khazanah yang ditinggalkan Cikgu Yusnor bakal menjadi rujukan penting untuk pengkaji serta pemerhati budaya di masa akan datang,” katanya.
Penyanyi Sanisah Huri dan Rahimah Rahim yang turut berdukacita di atas pemergian Allahyarham Yusnor amat terkesan dengan pemergian beliau.
Sanisah, 73 tahun, mengenali arwah sejak 1967, dan banyak lagunya telah ditulis Yusnor, dengan gubahan muzik oleh Kassim.
Antaranya ialah lagu Gelisah dan Bersabarlah Sayang yang merupakan lagu hit Hari Raya.
“Apa yang saya ingat tentang dirinya ialah beliau seorang yang suka bergurau-senda dan ceria. Beliau juga banyak memberi nasihat, dan tidak pernah marah,” kata Sanisah tentang mentornya.
Mengingati guru bahasa Melayunya, yang juga penerima Anugerah Bintang Bakti Masyarakat atas sumbangan seninya pada negara, Rahimah, 70 tahun, berkata kenangan menerima tunjuk ajar daripada Allahyarham Yusnor di Sekolah Menengah First Toa Payoh akan sentiasa dikenang.
“Saya tidak tahu dia siapa ketika itu, kerana kami di sekolah mengenalinya sebagai Cikgu Mohamed Noor.
“Tetapi suatu hari, saya ponteng sekolah sebab ada rakaman, dan saya terperanjat melihat dia datang ke studio. Barulah saya tahu siapa dia,” jelas Rahimah, yang masih teringat dirinya pernah dimarahi Allahyarham Yusnor kerana tidak menyiapkan tugasan karangan.
Sumbangan Allahyarham Yusnor juga meliputi peranannya sebagai anggota Lembaga Pengarah Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Muzik Melayu di bawah NAC, dan juga ahli jawatankuasa Majlis Pusat.
Pada 1992, beliau menubuhkan dan sekali gus menjadi Presiden Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus).
Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumah sekitar 11.45 pagi untuk diuruskan dan telah dibawa ke Masjid Sultan bagi solat jenazah sebelum dikebumikan di Pusara Aman.
“
“Saya sedih dengan pemergian penerima Pingat Budaya dan tokoh muzik veteran, Yusnor Ef. Kehebatan lirik beliau membentuk muzik pop Melayu, dan usaha sepanjang hayatnya membantu memelihara serta memartabatkan warisan Melayu di Singapura. Saya masih ingat perbualan kami ketika saya berada di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). Beliau tidak pernah lupa mengingatkan saya tentang pentingnya warisan, dan bagaimana ia merupakan jiwa negara kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg