Lewis Capaldi kembali dengan siri konsert di UK
Lewis Capaldi telah mengumumkan siri konsert di United Kingdom (UK) dan Ireland selepas kemunculan semula yang penuh emosi di Festival Glastonbury, England.
Capaldi, yang menghidap Sindrom Tourette, kali terakhir membuat persembahan di festival itu pada 2023 apabila beliau kehilangan suara dan mengalami gangguan tik yang teruk.
Tik ialah pergerakan tubuh atau bunyi yang dihasilkan secara berulang tanpa sengaja.
Penyanyi dari Scotland itu kemudian mengambil keputusan untuk berehat selama dua tahun daripada dunia hiburan bagi memberi tumpuan kepada kesihatan mentalnya.
Kini, beliau akan membuat persembahan pada September di Sheffield, Aberdeen, Glasgow, London, Manchester, Birmingham, Nottingham, Cardiff dan Dublin.
Penyanyi berusia 28 tahun itu berkata konsert di bandar tersebut akan menjadi satu-satunya siri konsert di Eropah pada 2025.
Tiket prajualan boleh mula ditempah pada Selasa, 8 Julai, manakala jualan umum akan bermula pada 9 pagi Khamis, 10 Julai.
Kemunculan Capaldi sebelum ini Festival Glastonbury pada 2023 berakhir dengan penuh emosi apabila penonton membantu beliau menghabiskan lagu terakhirnya sebagai tanda sokongan.
Beberapa hari kemudian, beliau mengumumkan berundur daripada dunia hiburan bagi menjalani pemulihan “kesihatan fizikal dan mental” serta menyesuaikan diri dengan kesan diagnosis Sindrom Tourette.
Namun pada 27 Jun, Capaldi diumumkan sebagai artis yang akan beraksi di pentas utama Festival Glastonbury di Somerset.
Nama beliau terpampang di skrin video yang disambut dengan sorakan gemuruh daripada penonton.
“Kali kedua lebih baik,” katanya kepada penonton semasa persembahan.
“Saya hanya mahu datang dan selesaikan apa yang saya tak dapat habiskan dulu.”
Persembahan ringkas itu berlangsung dengan lancar dan menampilkan persembahan langsung pertama lagu terbarunya, Survive.
Lagu yang dilancarkan pada 27 Jun itu, menceritakan tentang usaha beliau mengatasi cabaran yang dihadapinya.
Pemenang Anugerah Brit itu menutup persembahannya dengan lagu, Someone You Loved, yang telah menyebabkan persembahan beliau pada 2023 terpaksa ditamatkan secara mengejut.
“Saya tak dapat menyanyi lagu ini dua tahun lalu.
“Hari ini pun mungkin susah untuk dihabiskan, tapi untuk sebab yang berbeza,” katanya sambil berlinangan air mata.
“Nama saya Lewis Capaldi dan saya... kembali, baby.”
Capaldi hanya muncul dalam acara awam sekali-sekala sahaja sepanjang dua tahun lalu.
Namun pada Mei, beliau membuat persembahan di beberapa acara kecil di Scotland, termasuk kemunculan mengejut di sebuah acara kutipan dana untuk kesihatan mental di Edinburgh.
Kedua-dua albumnya pernah menduduki tangga teratas carta UK dan single beliau pada 2018, Someone You Loved, menjadi lagu paling popular di seluruh dunia.
Lagu itu kini merupakan lagu keempat paling banyak distrim sepanjang zaman, dengan hampir empat bilion kali dimainkan di Spotify.
Pada 28 Jun, Capaldi mengejutkan peminat di Festival OpenAir St Gallen di Switzerland.
Beliau pernah menarik diri daripada persembahan di sana dua tahun lalu kerana masalah kesihatan.
Capaldi menulis di media sosial: “Saya perlu kembali dan tepati janji saya kepada anda semua.”

