KUALA LUMPUR: Penyanyi, Linda Rafar, mendakwa mengalami kerugian hampir RM1 juta ($315,430) selepas ditipu oleh sekumpulan individu bergelar ‘Datuk’, sekali gus menggagalkan hasratnya untuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar, 47 tahun, berkata pendedahan yang dibuat di media sosial bertujuan memberi amaran kepada pihak terbabit supaya segera memulangkan wang berkenaan sebelum beliau mengambil tindakan lanjut, termasuk mendedahkan identiti mereka kepada umum.
Menurut Linda, kejadian itu sebenarnya sudah berlaku sejak Julai 2025 lalu apabila beliau menjalankan perniagaan bersama sekumpulan individu yang diperkenalkan kepadanya.
“Mereka diperkenalkan kepada saya dan apabila melihat mereka dikenali serta bergelar Datuk, saya percaya untuk bekerjasama.
“Saya berniat apabila duit itu masuk, saya akan sedekahkan kepada pihak yang sepatutnya.
“Saya yakin akan mendapat keuntungan, tetapi sehingga hari ini satu sen pun tiada,” katanya kepada BH Online.
Linda berkata beliau mengeluarkan hampir semua wang simpanannya, termasuk dana perniagaan serta wang yang diperuntukkan khusus untuk kebajikan pelajar tahfiz.
“Saya percaya sepenuhnya sehingga mengeluarkan hampir semua wang yang saya ada, hampir RM1 juta.
“Ia termasuk simpanan peribadi, duit perniagaan dan dana tahfiz.
“Saya ada banyak perancangan untuk membantu orang susah sekiranya menerima keuntungan,” katanya.
Susulan kejadian itu, Linda berkata beliau sudah beberapa kali menghubungi pihak terbabit untuk menuntut semula wangnya, namun usaha berkenaan tidak membuahkan hasil.
“Saya sudah merayu supaya mereka membayar sedikit demi sedikit kerana saya sudah berjanji dengan ramai pihak.
“Sejujurnya, saya sangat sedih dan hampir berputus asa namun alhamdulillah, keluarga sentiasa memberi sokongan,” katanya.
Linda turut memaklumkan beliau mengadakan solat hajat serta bacaan Yasin bersama pelajar tahfiz dan para ustaz sebagai ikhtiar memohon pertolongan Allah swt.
“Malam ini saya minta anak-anak tahfiz dan ustaz-ustaz mendoakan agar urusan ini dipermudahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Linda turut memohon doa orang ramai agar segala ujian yang dilaluinya dipermudahkan serta berharap pihak terbabit segera menyelesaikan perkara berkenaan.
“Mungkin mereka tidak sedar wang itu digunakan untuk membantu anak-anak tahfiz, anak yatim dan golongan fakir miskin.
“Ketahuilah, balasan terhadap mereka yang menganiaya golongan ini amat besar di sisi Allah,” katanya.
Terdahulu, Linda menerusi hantaran di Instagram meluahkan rasa kecewa terhadap penipuan yang didakwa dialaminya.
“Linda sedar kuasa tular di media sosial sangat pantas.
“Namun, Linda memilih untuk memberi amaran pertama kepada sekumpulan individu bergelar Datuk yang memperdaya kepercayaan Linda sehingga melibatkan wang hampir RM1 juta.
“Mereka tidak melarikan diri, namun hampir enam bulan hanya bermain dengan janji.
“Sehingga memasuki 2026, perkara ini masih belum diselesaikan.
“Buat masa ini, Linda tidak berhasrat menularkan identiti mereka, namun berharap mereka segera menghubungi Linda dan menyelesaikan perkara ini.
“Jangan sesekali memberi makan duit haram kepada anak dan isteri. Seksaan di akhirat amat pedih,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg