Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teater ‘Salina’ bawa penonton susuri hidup pascaperang penuh onak

Daripada karya A. Samad Said, pementasan bakal dijayakan Teater Kami sempena Pesta Raya 2025 
Apr 30, 2025 | 5:30 AM
Pengarah dan penggiat teater mapan, Atin Amat, menggalakkan barisan pelakon dalam pementasan ‘Salina’ (2025) untuk membaca novel setebal 500 halaman itu, demi mendalami perasaan yang ingin disampaikan dalam jalan cerita secara tuntas.
Pengarah dan penggiat teater mapan, Atin Amat, menggalakkan barisan pelakon dalam pementasan ‘Salina’ (2025) untuk membaca novel setebal 500 halaman itu, demi mendalami perasaan yang ingin disampaikan dalam jalan cerita secara tuntas. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi pencinta seni teater yang pernah menyaksikan pementasan Salina kumpulan teater mapan, Teater Kami, pada 1993 dan 1997, set pentas Kampung Kambing yang menghiasi Teater Singtel Waterfront, Esplanade pastinya akan membawa penonton menyusuri lorong kenangan dalam era 1950-an yang penuh dengan onak duri kehidupan kampung.

Sempena Pesta Raya 2025, Teater Kami telah ditugaskan Esplanade untuk mengembalikan pementasan yang kali terakhir dipersembahkan hampir tiga dekad lalu itu.

Kali ini, Salina akan berlangsung dalam empat set persembahan – pada 2 Mei bermula 8 malam; 3 Mei pada 3 petang dan 8 malam; dan 4 Mei bermula 3 petang, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.

Mengenang perjalanan mementaskan karya Salina (hasil tulisan sasterawan terbilang, A. Samad Said), pengarah, penggiat teater dan penulis skrip tersohor, Atin Amat, 68 tahun, akur pengalaman sulung Teater Kami membawa karya Salina ke pentas menjadi titik tolak baginya untuk lebih menghormati teks asal. 

Pada 1993, empat tahun selepas Teater Kami ditubuhkan, Atin berhasrat mementaskan sebuah karya yang dapat mengukuhkan nama syarikat teater itu.

Bagaimanapun, skrip karya penulis Malaysia, Johan Jaaffar ketika itu menimbulkan reaksi yang bercampur baur, khususnya dalam kalangan guru sekolah dan pelajar sastera.

Terdahulu, pada 1990-an, karya Salina menjadi teks wajib peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ bagi mata pelajaran Sastera Melayu.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 24 April di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, Atin berkata:

“Selepas pementasan Salina pada 1993, ramai pelajar yang menonton memberi maklum balas jalan ceritanya agak mengelirukan. 

“Kebanyakan pelajar pada saat itu dalam kalangan mereka yang bakal menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘A’.

“Kekeliruan itu pula berpunca daripada jalan cerita yang tidak mengikut naratif novel.”

Kala itu, Atin akui belum membaca novel Salina.

Namun begitu, apabila beliau membacanya selepas pementasan pertama, Atin terus jatuh cinta pada keindahan dan kedalaman kisah yang dipaparkan di Kampung Kambing (yang dulunya terletak di French Road).

Keghairahan ini mendorongnya untuk mengadaptasi semula skrip tersebut sehingga menjelajah ke 12 maktab rendah dan institusi pendidikan pada 1994, sebelum mementaskannya di Teater Victoria pada 1997.  

Dalam karya Salina yang diterbitkan pada 1961, watak utamanya, Siti Salina (lakonan Ariati Tyeb Papar), berjuang untuk meneruskan kehidupan di tengah-tengah kekalutan selepas Perang Dunia Kedua di Singapura. 

Kehidupan yang penuh liku itu memaksanya menjadi pelacur.

Di samping itu, Atin turut menggalakkan barisan pelakon untuk membaca novel Salina yang setebal 500 halaman itu, demi memastikan dialog yang sarat dengan emosi disampaikan secara berkesan.

“Saya memberitahu pelakon yang terlibat untuk membeli novel Salina dan baca.

Malah, saya sendiri sudah berkali-kali membaca novel itu sehingga halamannya sudah lunyai.

“Kalau baca novelnya, jalan ceritanya lengkap dan padat.

“Ini akan dapat membantu pelakon memahami emosi watak yang dilakonkan,” ujar penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu.

Sebagai pengarah, Atin juga menggalas tanggungjawab memastikan generasi pelakon muda memahami latar belakang sejarah era 1950-an, dengan tujuan merapatkan jurang pemahaman tentang kehidupan pada zaman tersebut.

Ini juga termasuk pengetahuan bahasa dan slanga Melayu yang sudah jarang didengar kini.

“Memandangkan kisah ini berlaku pada 1950-an, saya perlu kongsikan beberapa maklumat tentang suasana kehidupan ketika itu.

“Sedikit sebanyak, saya dapat lihat perkembangan seorang pelakon itu apabila lebih memahami konteks sejarah,” katanya lagi.

Menampilkan lakonan hebat daripada pelakon berpengalaman dalam seni pentas seperti Ariati Tyeb Papar, Rafaat Hamzah, Fir Rahman, Rizal Aiman, Amirah Yahya, Suhaila M Sanif dan Rusydina Afiqah, Atin akur pemilihan pelakon agak mencabar.

Ditanya dengan lebih terperinci mengenai pemilihan pelakon, khususnya Ariati sebagai Siti Salina, yang kebetulan pernah menjayakan pementasan Salina pada 1993 dan 1997, beliau mengulas: 

“Karya Pak Samad ini sangat istimewa bagi saya dan saya juga telah mengenali dan bekerjasama dengan beliau sejak 1989. 

“Rasanya saya sudah faham bagaimana beliau membentuk watak-watak dalam kisah Salina dan penyesuaiannya terhadap pelakon yang terpilih. 

“Saya juga menitikberatkan penyampaian dialog agar dapat mudah tersemat dalam ingatan penonton.

“Itulah antara salah satu sebab saya memilih Ariati kerana saya percayakan mutu lakonannya.”

Tiket bagi pementasan Salina berharga antara $30 dengan $60, boleh didapatkan melalui laman Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/salina0525

Karya yang sangat istimewa

Karya Pak Samad ini sangat istimewa bagi saya dan saya juga telah mengenali dan bekerjasama dengan beliau sejak 1989. Rasanya saya sudah faham bagaimana beliau membentuk watak-watak dalam kisah Salina dan penyesuaiannya terhadap pelakon yang terpilih. Saya juga menitikberatkan penyampaian dialog agar dapat mudah tersemat dalam ingatan penonton. Itulah antara salah satu sebab saya memilih Ariati kerana saya percayakan mutu lakonannya.
Atin Amat, pengarah pementasan Salina.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg