Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lovehunters rai empat dekad dalam persada muzik S’pura

Bakal gegarkan pentas Teater Mediacorp pada 13 Sep, melalui konsert ‘Lovehunters Renaissance’
Sep 2, 2025 | 5:30 AM
Singapura, Lovehunters, concert, Esplanade
Lovehunters bakal kembali ke pentas dengan konsert berjudul, ‘Lovehunters Renaissance’, anjuran Kami Productions, menandakan kemunculan semula kumpulan itu selepas hampir 14 tahun tidak beraksi secara bersama. Anggota Lovehunters terdiri (dari kiri) Din Momotaro, Yazid Abu Bakar dan Saharuddin Jalil. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Jiwa seorang ‘rocker’ atau bintang rok kerap disalah erti dalam kalangan masyarakat umum.

Ada yang mengatakan mereka suka memberontak, degil atau terlalu mencabar norma.

Namun begitu, bagi kumpulan rok legenda Singapura, Lovehunters, segala tohmahan itu tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk mencipta muzik yang bukan sahaja bermutu, malah dapat meninggalkan kesan mendalam pada masyarakat dan dijadikan santapan halwa telinga oleh pencinta muzik.

Semangat tidak mudah putus asa itu masih lagi membara dalam diri anggota Lovehunters iaitu vokalis, Yazid Abu Bakar, 63 tahun; pemain dram, Saharuddin Jalil, 62 tahun; dan pemain gitar, Din Momotaro, atau nama sebenarnya, Salahuddin Mohamad, 52 tahun.

Ia amat ketara apabila penulis berpeluang menemui mereka di studio Greendoor berdekatan kawasan Gambas Crescent, baru-baru ini.

Lovehunters tidak hanya dilihat sebagai kumpulan rok atau ‘metal’ semata-mata.

Mereka juga boleh dianggap sebagai sebuah kumpulan serba boleh kerana muzik yang disajikan merangkumi pelbagai genre seperti funk, jaz dan rege. 

Dalam tempoh empat dekad berkecimpung dalam dunia seni tempatan dan industri muzik serantau, Lovehunters telah menghasilkan 90 lagu, merangkumi sembilan album bahasa Melayu serta sebuah album Inggeris berjudul, Lovehunters.

Bahkan, lagu, Angel In The Night, yang diterbitkan dalam album, Lovehunters, meraih Anugerah Lagu Paling Popular dalam Anugerah Perfect 10 pada 1993, anjuran stesen radio tempatan, Perfect 10 (kini dikenali sebagai 987).

Sempena meraikan ulang tahun ke-40 mereka, Lovehunters bakal kembali ke pentas dengan konsert berjudul, Lovehunters Renaissance, anjuran Kami Productions – menandakan kemunculan semula mereka selepas hampir 14 tahun tidak beraksi secara berkumpulan.

Kali terakhir kumpulan legenda itu menggegarkan pentas adalah pada 2011, menerusi satu konsert yang laris dijual di Esplanade.

Sementara itu, Lovehunters Renaissance bakal berlangsung pada 13 September, bermula pada 8 malam di Teater Mediacorp.

Menariknya lagi, penonton bukan sahaja disajikan dengan rangkaian lagu rok ‘kapak’ (istilah yang berkaitan dengan genre rok di kemuncak populariti pada 1980-an) penuh nostalgia, malah ia turut diberi sentuhan segar dengan irama gamelan oleh kumpulan seni, Telung Turonggo.

Persembahan itu bakal diperkaya dengan iringan alat muzik tali, serta sentuhan genderang yang dipimpin penerima Anugerah Seniman Muda Majlis Seni Kebangsaan (NAC) sekali gus penggerak utama kumpulan Nadi Singapura, Riduan Zalani.

Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengenai apa yang mendorong konsert itu diadakan, Saharuddin (atau lebih mesra disapa Sahar) merumuskan segalanya dalam satu kata – ‘Rindu’.

“Kami rindu dengan suasana muzik di Singapura, antara 1980-an dengan 1990-an. 

“Dengan konsert ini, kami berharap dapat membangkitkan semula suasana itu agar menjadi suntikan semangat dan melahirkan inspirasi kepada golongan muda,” kata Saharuddin.

Pada masa sama, Yazid mendedahkan bahawa sebelum ini, peminat setia Lovehunters kerap menanyakan kemunculan semula kumpulan tersebut.

“Sekitar tiga atau empat tahun lepas (2020 hingga 2021), ramai dalam kalangan peminat yang bertanya, ‘Bila Lovehunters akan buat persembahan lagi’?

“Pada saat itu, saya hanya menjawab, ‘Belum ada rezekinya lagi’,” kata Yazid, yang menyertai pertandingan Gegar Vaganza Musim Ke-11 (GV11) pada 2024.

Walau bagaimanapun, Yazid memberi bayangan bahawa konsert kali ini akan mempersembahkan variasi bunyi dan pendekatan muzik yang belum pernah ditonjolkan oleh kumpulan tersebut.

Konsert yang dijadual berlangsung sekitar dua jam itu bakal menampilkan sekurang-kurangnya 20 buah lagu.

Ini termasuk lagu ‘wajib’ dinyanyikan seperti Sambutlah Kasih (hasil ciptaan Allahyarham Ruslan Mamat); Ku Ukir Namamu (hasil tulisan dan ciptaan, Moliano Rasmadi); dan Teman (ciptaan Moliano dengan lirik ditulis oleh Hanim Mohd Saleh).

Apa yang menjadikan konsert Renaissance begitu istimewa adalah kehadiran gitaris, Salahuddin, atau lebih mesra dikenali sebagai Din, yang menjadi tonggak di sebalik penghasilan album Renaissance: 1987 Til… (2005).

Dalam pada itu, Din turut mencatat sejarah sebagai pemain gitar rok yang menggunakan gitar akustik.

Berkongsi lebih lanjut dengan BH, Din mengimbau kenangan ketika beliau dibiarkan bersendirian di studio rakaman untuk menghasilkan rentak dan petikan gitar yang menonjolkan kemahiran serta keunikan dirinya sebagai gitaris.

Bagi Din, itulah pengalaman sulung dalam rakaman album serta paling mencabar sepanjang kerjaya dalam bidang muzik.

“Pada awalnya, pengaruh kuat saya dalam muzik ialah gitaris antarabangsa, Yngwie Malmsteen. 

“Malah, gelaran ‘Din Malmsteen’ dulu diberikan oleh orang lain kerana cara saya bermain gitar serupa pemain gitar itu. 

“Ketika ingin merakamkan album Renaissance, itulah pengalaman paling mencabar. 

“Sahar berkata beliau tidak ingin lihat gaya Malmsteen, sebaliknya, mahu saya paparkan gaya dan keunikan tersendiri.

“Saya dibiarkan seorang diri di studio rakaman semalaman untuk mencari gaya tersendiri,” kata Din yang berusia 30-an tahun sewaktu merakamkan album tersebut.

Menyentuh pula tentang petikan gitar paling sukar dalam album terbabit, lagu Teman menjadi pilihan yang meninggalkan kesan dalam diri Din kerana berhasil menciptakan ciri khas yang ikonik dalam lagu itu.

“Kalau saya mainkan dengan gaya biasa dalam lagu Teman, risau pula orang kata membosankan. 

“Jadi, saya sengaja menambahkan kesukaran pada irama gitarnya,” tambahnya.

Lebih membanggakan lagi, Saharuddin menambah bahawa sambutan luar biasa yang diterima melalui lagu Teman, telah mencetuskan fenomena yang mana gitaris lain menyahut cabaran untuk meniru gaya bermain gitar solo ikonik Din, di Singapura dan Malaysia tatkala itu.

Lalu, apakah pula impian yang ingin dicapai Lovehunters seterusnya?

“Kami mahu muzik kami menjadi warisan untuk generasi muda, bukan hanya di Singapura, bahkan di seluruh dunia,” ujar Yazid.

Tiket bagi konsert Lovehunters Renaissance berharga antara $78 dengan $178 boleh didapatkan melalui laman web Sistic di pautan https://www.sistic.com.sg/events/lovehunters0925

Penonton yang ingin membeli tiket juga boleh menghubungi Encik Firdaus Abdul Hamid di +65-8742-7421.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg