Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Luahan hati Aliff Aziz terhadap Bella, Syed Saddiq

Sebagai bapa, Aliff lihat anak dan bekas isteri kelihatan bahagia, dan tidak timbul sebarang rasa cemburu
Jul 27, 2025 | 5:30 AM
Syed Saddiq, Bella Astillah, Sophia Albarakbah, Aliff Aziz
Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Bella Astillah yang kini sering dikaitkan bersama dengan tanda pagar #BASS. - Foto fail

Selepas melalui perpisahan dengan bekas isteri, Bella Astillah, penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz menyatakan bahawa beliau berasa gembira melihat Bella terus melangkah ke hadapan dan menjalani kehidupannya.

Apabila ditanya mengenai fenomena media sosial yang giat meraikan hubungan pasangan selebriti Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella – yang sering dikaitkan dengan tanda pagar #BASS – Aliff, 34 tahun, bersikap terbuka.

Baginya, jika itu adalah kebahagiaan buat mereka, beliau reda dan mendoakan yang terbaik untuk kedua-duanya, kata Aliff dalam satu temu ramah dengan Berita Minggu (BM).

Penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz kini memberi tumpuan pada diri sendiri.
Penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz kini memberi tumpuan pada diri sendiri. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Apa yang telah berlaku dalam hidupnya dianggap sebagai perkara yang sudah berlalu, dan kini beliau lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri.

Namun yang paling utama, menurutnya: “Ayden dan Ara dikerumuni oleh orang-orang yang sayang mereka, insya-Allah. Itu yang pertama saya fikir. Siapa pun di sekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik, itu sudah memadai.”

Sebagai bapa, Aliff menyatakan bahawa beliau melihat mereka kelihatan bahagia, dan tidak timbul sebarang rasa cemburu dalam dirinya.

Ayden Adrean Aliff (kiri) dan Ara Adreanna Aliff, bersama ibu mereka Bella Astillah (tengah).
Ayden Adrean Aliff (kiri) dan Ara Adreanna Aliff, bersama ibu mereka Bella Astillah (tengah). - Foto INSTAGRAM BELLA ASTILLAH

Sebaliknya, beliau bersyukur kerana anak-anaknya berada dalam jagaan individu yang menyayangi mereka.

Bekas juara Gegar Vaganza musim ke-8 itu turut meluahkan kerinduan mendalam terhadap dua anaknya, Ayden Adrean Aliff, lapan tahun, dan Ara Adreanna Aliff, lima tahun, yang dikatakan terputus hubungan dengannya sejak 2024.

Ketika ditemu ramah Berita Minggu, Aliff mengakui beliau masih belum berpeluang bertemu mahupun berhubung secara langsung dengan anak-anaknya.

Malah, beliau berkata beliau sering sukar menonton rakaman video mereka hingga habis kerana terlalu sebak.

Walaupun jauh, beliau tetap mengikuti perkembangan mereka, terutama apabila tiba bulan kelahiran mereka – 8 Julai bagi Ayden dan 18 Julai bagi Ara.

“Saya rindu sangat. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula, dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati,” kata beliau.

“Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara… I love you so much and I miss you,” ujar beliau.

Beliau berharap suatu hari nanti takdir mempertemukan mereka semula agar beliau dapat menjelaskan banyak perkara yang selama ini terpendam.

Pada 21 Februari lalu, Aliff dan seorang pelakon dari Malaysia, Ruhainies, atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, didenda RM3,000 ($906) oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat.

Media sebelum ini melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah pada Mac 2024.

Terdahalu, terdapat juga spekulasi yang berkata Aliff pernah menjalin hubungan dengan pelakon, Sophia Albarakbah.

Bella dan Aliff, yang berkahwin pada 2016, bercerai dengan talak satu pada 13 Jun 2024.

Dalam wawancara dengan BM, Aliff tidak berselindung mengenai rasa bersalah kerana tidak dapat bersama Ayden dan Ara pada saat-saat penting membesar.

Beliau juga bimbang bagaimana penerimaan anak-anaknya kelak, lebih-lebih lagi apabila persepsi masyarakat terhadap dirinya sering bercampur-baur.

Menurutnya, beliau kerap berdepan dilema: sama ada kekal berdiam diri bagi menjaga sensitiviti keluarga, atau mengambil langkah undang-undang yang mungkin menambah ketegangan.

Aliff juga menegaskan bahawa fokus hidupnya kini bukan lagi terhadap perkara-perkara luaran atau sensasi semasa.

Justeru, beliau memilih untuk menumpukan sepenuh tenaga terhadap proses pemulihan dan mengatur langkah untuk bangkit kembali.

Dalam perkongsian sama, Aliff menzahirkan penghargaan buat ibunya, kerana tetap mempertahankannya meskipun keluarga mereka tidak terlepas daripada tumpuan umum.

Beliau sedar keluarganya menanggung tempias daripada setiap isu yang melanda dirinya dan bertekad untuk bangkit dan menjadi insan yang boleh mereka banggakan semula.

Aliff Aziz bersama ibunya, Cik Siti Hafizah Sheikh Mohamad, yang juga merupakan sistem sokongan utama beliau
Aliff Aziz bersama ibunya, Cik Siti Hafizah Sheikh Mohamad, yang juga merupakan sistem sokongan utama beliau - Foto fail

Aliff turut menyentuh tekanan yang lahir daripada naratif media dan tanggapan awam mengenai kehidupan peribadinya.

Katanya, ada waktu beliau berasa “tersekat langkah” – mahu bersuara untuk mempertahankan diri, namun memikirkan kesan terhadap anak-anak dan keluarga.

“Kadang-kadang saya nak cerita semuanya. Tapi bila fikirkan kesan terhadap anak-anak dan keluarga, saya jadi serba salah,” luah beliau.

Pihak BM telah berusaha menghubungi Bella untuk mendapatkan komen mengenai kenyataan Aliff, tetapi tidak mendapat respons. – FARAH DHABITAH ABU SAMAH

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg