Meskipun dunia muzik kini dibanjiri persembahan pentas dan media sosial, seniman jalanan, Harris Osman, tampil dengan pendekatan berbeza yang bukan sekadar menghiburkan, malah menyentuh jiwa pendengar.
Beliau, yang dikenali sebagai Street Therapist di TikTok, bukan sekadar seniman jalanan biasa.
Harris, 26 tahun, menghidupkan setiap persembahan dengan penuh emosi, berinteraksi dengan penonton secara fizikal dan mengukuhkan masyarakat seniman jalanan.
Dibesarkan dalam keluarga yang meminati muzik, Harris mula menyanyi sejak berusia tujuh tahun.
Ayahnya, Encik Osman Awang, 65 tahun, mempengaruhinya dengan irama ‘rok kapak 80-an’ dan rok Britain, manakala kakaknya, Cik Sara Osman, 30 tahun, memperkenalkan kepadanya ‘lagu jiwang’ penuh emosi.
Namun, Harris mempelajari muzik secara sendiri, bermula dengan tiga kord gitar asas yang diajar ayahnya, manakala selebihnya dipelajari melalui YouTube.
“Muzik bukan paksaan. Ia terapi, ia ‘bahasa’ saya,” katanya.
Menceburi dunia seniman jalanan sejak 2018, Harris, yang juga seorang pegawai kewangan sepenuh masa, melihat seni jalanan sebagai bentuk muzik paling jujur kerana ia tanpa gimik atau latar mewah, hanya suara dan jiwa.
Beliau bijak ‘membaca’ suasana di lokasi persembahannya, selain menyampaikan lagu mengikut keinginan penonton – daripada Allahyarham Sudirman kepada lagu dendangan penyanyi barat, Billie Eilish.
Salah satu detik paling menyentuh baginya adalah ketika beliau mendendangkan lagu All I Want oleh kumpulan Kodaline untuk sahabatnya, Encik Zahid, yang kehilangan isteri dalam kemalangan tragis beberapa tahun lalu.
Menurutnya, persembahan tersebut membawa makna mendalam dan ramai penonton menitiskan air mata ketika itu.
Lebih daripada sekadar penyanyi, Harris mengendalikan pertunjukan ‘Open Mic’, yang merupakan satu segmen di mana beliau mempelawa penonton membuat persembahan bersamanya.
“Saya harap ia menjadi wadah kepada yang berminat untuk membina keyakinan tampil menyanyi di khalayak ramai,” katanya.
Sementara itu, Harris berkongsi beliau kini mempunyai lebih 800 pengikut di saluran Telegramnya.
Baginya, saluran itu berfungsi sebagai sebuah masyarakat maya di mana orang ramai boleh berinteraksi dengannya serta berpeluang menyertai pertunjukan ‘Open Mic’ dengan mendaftar melalui slot yang disediakan.
Walaupun bekerja sepenuh masa dari 8 pagi hingga 6 petang, Harris, yang kini bertunang, tetap bertekad untuk meneruskan seni jalanan dan berharap suatu hari nanti dapat beraksi bersama anak-anaknya kelak.
Sementara itu, seorang lagi seniman jalanan, Muhammad Fadhlan Anshory Mustapah, 26 tahun, atau lebih mesra dikenali sebagai Olan, kini kembali aktif dalam dunia muzik selepas sembilan tahun berehat.
Perjalanan muziknya bermula ketika beliau menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebagai pemain gitar dalam sebuah kumpulan muzik, walaupun pada waktu itu keyakinan menyanyi masih belum wujud.
Beliau menemui semula suara nyanyiannya selepas bertemu dengan Harris, yang menjadi mentornya.
Dengan dorongan dan galakan daripada Harris, Olan menyertai segmen ‘Open Mic’ pertamanya pada Mac 2024 dan kini sedang menunggu keputusan ujian lesen seniman jalanan.
Persembahan Olan tular di TikTok selepas beliau membuat penampilan khas di Marina Bay, Olympic Walk, pada 28 Jun lalu dengan mendendangkan lagu Pulangkan oleh artis Malaysia, Misha Omar.
Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz, 34 tahun, turut hadir membuat penampilan khas dalam pertunjukan tersebut.
Beliau menyampaikan beberapa lagu, antaranya Sedang Apa Dan Dimana oleh artis Indonesia, Sammy Simorangkir.
Olan memilih lagu berdasarkan keinginan hadirin, dengan tumpuan kepada lagu-lagu lama yang penuh nostalgia.
Walaupun masih berdepan dengan perasaan gementar ketika membuat persembahan, beliau memberi tumpuan untuk mencipta pengalaman bermakna buat pendengar.
Mengimbangi muzik dengan kerjayanya dalam industri marin, Olan menganggap persembahan seniman jalanan sebagai hobi.
Beliau merancang untuk mengadakan sesi persembahan secara solo, menghasilkan lebih banyak kandungan di TikTok dan Instagram serta meneroka peluang membuat persembahan di majlis perkahwinan sebagai sumber pendapatan sampingan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg