Sekali pandang penampilan Ratu Bollywood, Madhuri Dixit, anda akan rasakan bintang anggun ini mementingkan kesempurnaan dalam setiap gerak langkahnya.

Di layar perak, Madhuri, 59 tahun, dikenali sebagai ikon filem yang penuh penghayatan bagi babak yang dilakonkan.

Namun, dalam satu wawancara bersama laman web, Bombay Times, ibu dua anak lelaki berusia 21 dan 23 tahun itu menjelaskan kekuatan seorang individu terletak pada kesediaannya menerima segala kekurangan dan kesilapannya.

Dalam wawancara ini, beliau turut menceritakan tentang filem terkininya, Maa Behen, arahan Suresh Triveni, yang menunjukkan bagaimana peranan seorang ibu berubah mengikut peredaran masa.

Soalan (S): Babak dalam filem terkini anda menunjukkan seorang ibu akur dia juga tersilap dalam kehidupan. Watak anda memberitahu kepada anak-anak perempuannya yang tersilap langkah betapa dirinya juga akan dipenjara kalau melakukan jenayah. Apakah ini gambaran tentang ibu sebagai manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan?

Madhuri: Ibu biasanya disanjung dalam filem, sepertimana dalam kehidupan nyata. Tonton watak Nargis dalam Mother of India. Itulah ibu yang terbaik. Bagaimanapun, kita tak boleh meletakkan jangkaan seorang ibu sentiasa benar dan akan mengorbankan dirinya demi anak-anaknya. Ada ibu yang buat silap dan ada yang mementingkan dirinya. Maa Behen adalah filem yang realistik. Watak saya sebagai ibu yang membesar dalam suasana keluarga yang cerai-berai. Orangnya kecoh dan sudah biasa bebas membuat keputusan. Dia menyayangi anak-anaknya tetapi dia juga enggan anak-anaknya jadi huru-hara. Dia tak sempurna. Mengetengahkan watak yang banyak kelemahan dalam hidup adalah sesuatu yang baik. Semakin kita menyedari kekurangan kita, semakin kita ingin perbaiki diri dan tak perlu berpura-pura serba sempurna.

S: Anda menyifatkan mendakap kelemahan itu sebagai kekuatan. Mengapa?

Madhuri: Kecantikan itu berbeza dari kaca mata setiap orang. Bagi saya, keadaan kita yang tak sempurna itu kekuatan. Saya tak percaya ada orang yang 100 peratus sempurna dalam hidup ini. Perjalanan seni saya memerlukan saya terus memburu kecemerlangan dalam setiap yang saya usahakan. Saya akan berikan yang terbaik. Saya mahu terus belajar, memperbaiki diri saya dan mencabar diri saya. Ia lebih bermakna daripada keinginan menjadi sempurna.

S: Apakah bekerja untuk filem terbitan wadah penstriman lebih menggembirakan sebab tiada tekanan mencapai status pecah panggung?

Madhuri: Tentunya, saya rasa lebih relaks bekerja untuk filem wadah penstriman. Saya tak perlu fikirkan apakah orang akan datang ke pawagam bagi menyaksikannya, berapa banyak kutipan ‘box-office’ setiap hari. Yang penting, kerja seni ini ada matlamat menyampaikan pesanan yang bermakna buat penonton dan orang melihatnya sebagai sesuatu yang boleh mereka kaitkan dalam kehidupan mereka.

S: Apa lagi yang ingin dicapai dalam dunia perfileman?

Madhuri: Saya ingin meneroka watak yang tidak pernah diberikan kepada saya. Saya sukakan cabaran baharu seperti belajar dialek baharu, cuba jayakan watak yang lain daripada diri saya atau yang buat saya rasa seperti membuka lembaran baharu dalam kerjaya lakonan. Saya tak akan menolak apa jua watak, asalkan jalan ceritanya bernas dan bermakna buat penonton.