Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Magik Rompak’ ambil inspirasi dari filem luar, sulam identiti sendiri

Filem arahan Adrian Teh papar sinematik setanding penerbitan luar negara, dibintangi pelakon berbakat
Sep 11, 2025 | 5:30 AM
Zul Ariffin, Amelia Henderson, Nadhir Nasar
Filem ‘Magik Rompak’ arahan Adrian Teh dibintangi oleh (dari kiri) Zul Ariffin dan Amelia Henderson. - FOTO TANGKAP LAYAR YOUTUBE GSC MOVIES

Rompakan berani atau ‘heist’ sentiasa menjadi genre yang menggamit minat dalam kalangan penggemar filem layar perak. 

Peminat filem rompakan berani pasti tidak asing dengan siri naskhah popular dari Barat seperti Ocean’s – bermula dengan Ocean’s 11 (1960), diikuti dengan Ocean’s Eleven (2001), Ocean’s Twelve (2004), Ocean’s Thirteen (2007), serta Ocean’s Eight (2018), sebuah ‘spin-off’ atau karya turunan menampilkan deretan pelakon wanita.

Tidak hairanlah apabila arena perfileman Malaysia mempersembahkan naskhah terbaru, Magik Rompak, nadi saya berdebar dengan jangkaan tinggi. 

Sedutan awalnya sahaja mengingatkan saya pada filem, Now You See Me (2013) arahan Louis Leterrier.

Ia merupakan filem yang menggabungkan silap mata dengan rompakan penuh helah. 

Bagaimanapun, di sebalik bayangan itu, Magik Rompak arahan Adrian Teh, muncul sebagai karya serantau yang berani memahat identiti tersendiri.

Diterbitkan melalui kerjasama antara ACT 2 Pictures (dari Malaysia) dengan Clover Films (Singapura), naskhah ini menampilkan suatu kelainan. 

Ia bukan sekadar kisah sekumpulan individu yang cuba memburu harta dek dendam peribadi, malah menggabungkan seni ilusi dengan perancangan yang teliti lagi rumit.

Lantas itu, Magik Rompak mencipta satu tontonan yang segar.

Filem Magik Rompak menyingkap kisah Hadi, seorang ahli silap mata yang juga dikenali sebagai The Hadini (lakonan Sharnaaz Ahmad). 

Setelah menghilangkan diri selama empat tahun, Hadi menyusun satu rancangan berisiko iaitu bekerjasama dengan sekumpulan perompak elit, Night Spark, demi membalas dendam peribadi terhadap tokoh korporat licik, Tan Sri Hamdan Tan. 

Sementara itu, Night Spark dianggotai tiga watak berbeza – Fariq (Zul Ariffin), perancang tegas yang memimpin misi rompakan; Wawa (Amelia Henderson), penggodam yang menjadi tunjang strategi teknikal; dan Ujang (Nadhir Nasar), anggota yang bijak memanfaatkan alat dan sumber sekali gus penghibur di kala suasana tegang.

Bersama-sama, mereka memburu Hati Kesuma – kalung emas bertatah delima bernilai jutaan ringgit milik Puan Sri Rubiah Tan (Yasmin Hani), isteri kepada Tan Sri Hamdan Tan (Tan Huy Ping).

Keistimewaan Magik Rompak terletak pada cara ia menggambarkan misi merampas kalung emas sebagai sesuatu yang rumit dan penuh rintangan.

Semakin pasukan menghampiri sasaran, semakin banyak rahsia terbongkar, menjadikan setiap langkah penuh ketegangan dan debaran.

Di samping itu, Adrian Teh, pengarah yang terkenal dengan karya aksi seperti Paskal, Wira dan MALBATT: Misi Bakara, mengakui meraih inspirasi daripada filem rompakan berani Barat. 

“Ramai orang di Internet mengatakan kisah ini seperti filem, Now You See Me dan Ocean’s Eleven.

“Betul, memang betul. Terdapat beberapa rujukan yang kami tukil tapi kami tak tiru sepenuhnya.

“Kami semat identiti tersendiri dalam filem ini, dan lebih penting lagi, ia merupakan karya asli daripada saya,” kata Teh semasa majlis tayangan perdana Magik Rompak, di IOI City Mall, Kuala Lumpur, Malaysia, pada 8 September.

Di sebalik persamaan ini, saya rasa kekuatan Magik Rompak juga terletak pada dinamik para pelakon yang terlibat.

Misalnya, Zul menampilkan sisi berbeza dalam watak Fariq. 

Walaupun tegas sebagai pemimpin, beliau turut menunjukkan jiwa sensitif yang menambah kedalaman emosi pada wataknya.

Amelia pula menyerlah sebagai Wawa, gadis tomboi yang jarang memancarkan emosi luaran namun cukup bijak memperdaya musuh dengan pesonanya yang memikat. 

Lakonan beliau turut memberi suntikan nafas segar kepada watak wanita dalam filem genre rompakan yang lazimnya dikuasai pelakon lelaki.

Berlainan pula dengan watak Ujang, lakonan Nadhir, yang menjadi unsur jenaka dalam babak-babak tegang. 

Sikapnya yang terlalu positif kadangkala mencuit rasa geram dalam diri saya, namun ia turut menjadi unsur penting yang mencairkan ketegangan dan menambah warna pada jalan cerita.

Dalam pada itu, pertemuan dua nama besar, Zul dan Sharnaaz, juga menjadi tarikan. 

Kedua-duanya terkenal dengan cara penyampaian dialog yang bersahaja serta gerak aksi yang memukau.

Ada masanya apabila jenaka mereka terasa sedikit ‘berlebihan’, namun secara keseluruhan ia mampu menghidupkan lagi babak-babak yang mendatar.

Kehadiran pelakon kelahiran Malaysia dan kini popular di Indonesia, Miller Khan sebagai Sean Rahman juga layak diberi pujian. 

Beliau berhasil menghidupkan watak antagonis yang licik, dan sejak awal menimbulkan rasa curiga. 

Lakonan Miller mampu melengkapi lapisan konflik yang menjadikan jalan cerita lebih rumit dan mencabar.

Dari sudut penceritaan pula, kekuatan utamanya ialah cara filem ini mengatur strategi rompakan. 

Walaupun ada babak yang mudah dijangka, saya menghargai keberanian Teh mempamerkan rancangan yang berlapis demi mengelakkan diri dari terjebak pengkhianatan rakan sekumpulan.

Penonton tidak hanya menanti hasil rompakan, tetapi turut diheret untuk meneka siapa yang benar-benar boleh dipercayai.

Dengan bajet sekitar RM13 juta ($3 juta), Magik Rompak turut menonjolkan kemajuan dari sudut sinematografi. 

Gambarannya yang menarik lagi dramatik dapat memberikan pengalaman sinematik yang setanding dengan penerbitan luar negara, khususnya di rantau ini.

Secara keseluruhan, Magik Rompak mungkin lahir daripada inspirasi filem Barat, tetapi ia mempunyai plot yang berlainan dan tidak kalah menghiburkan. 

Filem ini membuktikan bahawa industri serantau mampu melahirkan karya berskala besar, yang bukan sahaja menghibur, malah memperlihatkan kematangan teknikal dan penceritaan.

Sama ada filem ini berjaya memikat penonton serantau atau tidak, biarlah masa dan penonton yang menilainya.

Bagi saya, keberanian membawa elemen magik ke dalam genre rompakan sudah cukup menjadikan Magik Rompak satu percubaan yang berbaloi ditonton!

Filem Magik Rompak boleh ditonton di pawagam Singapura, mulai 11 September di pawagam Golden Village dan Shaw Theatres.

“Filem ini membuktikan bahawa industri serantau mampu melahirkan karya berskala besar, yang bukan sahaja menghibur, malah memperlihatkan kematangan teknikal dan penceritaan. Sama ada filem ini berjaya memikat penonton serantau atau tidak, biarlah masa dan penonton yang menilainya. Bagi saya, keberanian membawa elemen magik ke dalam genre rompakan sudah cukup menjadikan Magik Rompak satu percubaan yang berbaloi ditonton!”
– Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg