Dek beberapa percubaan karya muzik yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan netizen dan pencinta muzik di Malaysia, mantan anggota One Nation Emcees, Mimifly, menyepi daripada bidang hiburan selama empat tahun.
Tempoh empat tahun itu adalah selepas penglibatannya dengan kumpulan One Nation Emcees dalam peraduan nyanyian realiti, Gegar Vaganza Musim 6 (GV6), pada 2019.
Dalam tempoh tersebut, Mimifly atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 39 tahun, berkata beliau bekerjasama dengan beberapa penyanyi sekali gus meneroka selera muzik masa kini untuk menghasilkan karya yang sesuai dijadikan santapan halwa telinga.
Bagaimanapun, usaha itu tidak membuahkan hasil yang menggalakkan.
Seperti ungkapan yang mengatakan, rezeki tidak pernah salah alamat, Mimifly meluahkan rasa syukur tatkala lagu ciptaannya bersama Cuurley dan Wan Syahman Wan Yunus berjudul, Angkat, meraih sambutan hangat dalam kalangan netizen di media sosial sehingga namanya kembali menjadi sebutan.
“Rasa seronok dapat kembali dan membuat karya muzik semula. Sebelum ini, saya ada cuba menulis dan mengeluarkan lagu tetapi tidak mendapat sambutan.
“Ia juga rasa seperti tidak ‘natural’ (semula jadi) dan terlalu dibuat-buat.
“Pada masa yang sama, saya gembira dapat berjumpa dengan orang-orang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik dan seni, sepanjang proses mengeluarkan karya ini.
“Apabila melihat karya yang dihasilkan jadi kenyataan, ia membuat semangat Mimi menjadi lebih berkobar-kobar.
“Memang rasa sangat puas hati,” kata Mimifly ketika ditemui Berita Minggu (BM) pada 26 April, di Kampung Admiralty Community Plaza bagi acara sambutan Hari Raya, anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands Town.
Lebih mengagumkan bagi penyanyi asal Selangor itu, video muzik Angkat kini telah mencecah 1.8 juta tontonan di YouTube dan 2.7 juta penstriman di Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Apa yang membuat karya ini ‘meledak’ lantas melonjakkan dirinya kembali ke carta popular adalah ketika Mimifly ‘mengahwinkan’ bahasa isyarat dengan koreografi sehingga berhasil menarik perhatian ramai kepada video muzik yang dimuat naik di YouTube sejak 28 Disember lalu.
Di sebalik cerminan lincah penyanyi hip-hop itu, ibu Mimifly, Cik Ramlah Mohd Jali, yang dilahirkan tanpa sepasang kaki, merupakan sumber inspirasinya dalam karya muzik, Angkat.
“Pada dasarnya, saya tidak fasih dalam bahasa isyarat kerana saya tidak ada teman yang pekak dan bisu.
“Tetapi, mama Mimi OKU (orang kurang upaya) dan dilahirkan tidak boleh berjalan.
“Beliau seorang ‘superwoman’ (wanita perkasa) dan tokoh OKU yang sehingga sekarang, masih lagi menjaga kebajikan orang-orang kurang upaya.
“Beliau turut menulis buku serta karya-karya lain dan dari situ jugalah datangnya ilham bagi penulisan lirik saya.
“Jadi Mimi rasa sangat sesuai untuk bawa bahasa isyarat dalam lagu kerana saya anak mama,” ujar Mimi dengan penuh bangga.
Kebetulan, kata anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu, ilham menggunakan bahasa isyarat dalam karya lagu Angkat muncul ketika melihat anak muridnya sedang berlatih berbahasa isyarat untuk peperiksaan.
“Selain menjadi penyanyi, saya juga seorang guru yoga. Ketika itu, setelah selesai kelas yoga, anak-anak murid saya pun ajak makan bersama.
“Saya duduk berhadapan dengan mereka dan setelah makan, saya perhatikan mereka sedang berbual dalam bahasa isyarat dan berlatih untuk peperiksaan akan datang.
“‘Wow! Ini satu koreografi. Inilah seni,’ kata saya dalam hati, dan hal ini berlaku lima hari sebelum saya ‘shoot’ (rakam) video muzik Angkat,” katanya yang mengakui hampir tidak boleh tidur semalaman kerana memikirkan tentang kejadian tersebut.
Lantas, itulah permulaan yang mendorong Mimi untuk mempelajari bahasa isyarat bagi lagu Angkat.
Beliau meminta guru yang mengajar anak muridnya, yang digelar Cikgu Amril, membimbingnya dalam bahasa isyarat.
“Cikgu Amril, yang juga pekak dan bisu, mengajarkan saya bahasa isyarat untuk lirik lagu Angkat di pusat penjaja makanan berdekatan studio yoga saya.
“Itulah sebabnya saya tidak dapat tidur malam, memikirkan betapa hebatnya jika lagu-lagu saya dapat diterjemahkan ke dalam bahasa isyarat,” kata Mimi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg