Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trend ‘TikTok Raya’ taktik pemasaran selain eratkan hubungan keluarga, rakan

Apr 13, 2025 | 5:30 AM
Kakitangan Berita Harian (BH) gigih cuba mengikuti trend Tiktok diiringi lagu ‘Serumpun’ oleh MimiFly. 
Kakitangan Berita Harian (BH) gigih cuba mengikuti trend Tiktok diiringi lagu ‘Serumpun’ oleh MimiFly.  - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Musim Raya sejak beberapa tahun lalu menyaksikan TikTok menjadi ‘pentas’ bagi ekspresi perayaan, melibatkan pelbagai lapisan umur dalam kegiatan seperti tarian berkumpulan.

Kegiatan yang dilakukan bersama sahabat handai, anggota keluarga atau rakan sekerja itu dirakam dan dimuat naik, membanjiri wadah tersebut dengan video-video meriah yang menjadi tular dan ikutan orang ramai.

Antara lagu yang paling kerap digunakan pada 2025 ialah Meriah Lain Macam nyanyian Hael Husaini dan Nadeera dan Serumpun nyanyian MimiFly – lagu-lagu yang iramanya catchy, penuh semangat dan sesuai dengan vibe atau suasana Raya.

Video-video ini lazimnya memaparkan pengguna yang lengkap berbaju Raya dan menari mengikut langkah tertentu dan diiringi lagu popular.

Pengguna TikTok @makeway4naddy atau nama sebenarnya Cik Nadhirah Alin, 33 tahun, pula berkongsi hantaran video mengikut trend dengan ahli keluarganya sejak tahun 2022.

“Kami mempunyai lebih daripada 20 anggota keluarga dan kami melakukan ini suka-suka saja untuk diabadikannya sebagai kenangan,” katanya.

Keluarga besar Cik Nadhirah Alim bersatu hati buat video TikTok sekadar untuk berhibur dan dijadikan kenangan.
Keluarga besar Cik Nadhirah Alim bersatu hati buat video TikTok sekadar untuk berhibur dan dijadikan kenangan. - Foto ihsan NADHIRAH ALIM

Menurut Cik Nadhirah, tidak sukar untuk meyakinkan anggota keluarga kerana mereka semua sporting dan seronok melakukannya.

Dari yang warga emas, 79 tahun, hingga ke anggota yang paling muda berusia dua tahun, semuanya seronok ikut serta.

“Kami tidak berlatih untuk video ini. Kami hanya mengambil masa lima hingga 10 minit untuk mendapatkan pergerakan yang betul dan terus merakamnya!” kata Cik Nadhirah yang memilih gerakan Velocity yang sedang tular kerana “ia lebih senang” untuk diikuti anggota keluarganya.

View post on TikTok

Salah satu video yang telah mencuri perhatian ialah hasil pereka fesyen jenama Kaifiyyah, Cik Kat Aziz, atau nama penuhnya Siti Khadijah Abdul Aziz, 40 tahun.

Dalam video TikTok yang telah tular dengan 815,000 tontonan itu beliau mendapatkan penari tradisional Sriwana untuk tampil menari di tengah-tengah Orchard Road, sambil mengenakan songket rekaannya sendiri.

Menurut Cik Kat, persembahan tersebut bukan sahaja sebagai satu penghormatan kepada warisan budaya, tetapi juga strategi pemasaran yang bertujuan memberi impak besar.

View post on TikTok

“Saya tahu saya perlu lakukan sesuatu yang lain daripada yang lain untuk menarik perhatian,” kata Cik Kat.

Untuk menjayakan rakaman, Cik Kat bekerjasama dengan Presiden Kumpulan Tarian Sriwana, Cik Fauziah Hanom Yusof, yang menghasilkan koreografi dan membimbing penarinya.

“Mereka berlatih dan rakam semuanya dalam masa kurang sejam,” kata Cik Kat. “Kami hanya perlu ulang beberapa kali sahaja.”

Semasa rakaman dibuat di kawasan berhampiran bangunan Heeren, ramai yang tertarik.

“Ada pelancong yang berhenti untuk melihat. Penduduk tempatan pun berhenti dan tengok... mereka cool aja,” katanya sambil ketawa.

Pengarah Pembangunan Elmwood Singapore, sebuah agensi pengiklanan, Encik Tajjlee Rahim, 37 tahun, berkata trend TikTok perlu dianggap sebagai kebiasaan apabila masyarakat semakin celik digital.

“TikTok menjadi ruang digital kampung moden – tempat berkumpul secara maya untuk berkongsi identiti, kebanggaan dan kegembiraan Hari Raya.

“Dengan semakin ramai yang turut serta, jelaslah TikTok Raya bukan sekadar trend, ia adalah satu gerakan yang menjadi sebahagian dari sambutan Raya masa kini,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg