Berpeluang memikul watak Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, ketika muda menerusi pementasan Muzikal Tun Mahathir II pada 2011, penyanyi, Misha Omar menyifatkan pengalaman itu sebagai kenangan paling bermakna sepanjang kerjayanya.

Menurut Misha, 45 tahun, beliau berpeluang bertemu Allahyarhamha Dr Siti Hasmah secara peribadi untuk mendalami watak berkenaan selain berpeluang mengenali sisi Allahyarhamha dengan lebih dekat.

Berkongsi tentang interaksi dengan Allahyarhamha, beliau berkata:

“Untuk menjayakan watak itu, saya pernah berpeluang melalui satu pertemuan peribadi apabila Siti Rohaya Attan (penerbit teater), membawa saya bertemu Allahyarhamha di Menara Berkembar Petronas.

“Ketika itu, saya berpeluang mengenali beliau dan bertanya mengenai kisah serta pengalamannya ketika masih muda.

“Beliau seorang yang sangat baik, seperti ‘angel’ atau bidadari.

“Cara beliau melayan saya yang ketika itu masih budak hingusan sangat baik.

“Beliau tidak mewujudkan jurang yang besar, sedangkan kedudukannya ketika itu sangat tinggi sebagai isteri Perdana Menteri dan ‘First Lady’ (Wanita Pertama) Malaysia,” katanya dalam laman web, Harian Metro.

Menurut Misha, beliau turut berpeluang menerima nasihat daripada isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu mengenai kehidupan serta hubungan rumah tangga yang masih diingatinya hingga sekarang.

“Ketika saya bertemu beliau, suasananya sangat selesa dan tenang, semuanya berjalan dengan baik. Ketika itu, saya juga sedang mencari nasihat mengenai hubungan.

“Jadi, beliau pernah berpesan kepada saya, ‘tidak kira siapa diri kita, kita perlu menghormati suami’.

“Antara lain, nasihatnya, kita perlu berjalan di belakang suami dan juga di sampingnya.

“Sesederhana itu nasihat yang diberikan, tetapi kita boleh melihatnya daripada perspektif yang lebih besar,” ujar beliau.

Dalam pada itu, pelantun lagu popular, Bunga-Bunga Cinta, itu menyifatkan Allahyarhamha sebagai seorang individu yang lemah lembut serta mempunyai sifat rendah diri.

“Beliau seorang yang lembut, penuh kasih sayang dan penuh perikemanusiaan. Seperti yang saya katakan, beliau ialah wanita nombor satu negara ketika itu.

“Ketika saya bertemu beliau, saya baru beberapa tahun menjadi penyanyi dan pelakon.

“Tetapi beliau tidak mewujudkan jurang sehingga membuatkan kita berasa kekok atau takut.

“Saya bangga mempunyai pengalaman seperti itu..., saya rasa sesiapa pun mendoakan beliau.

“Jutaan orang mendoakannya... dan saya adalah salah seorang daripada mereka,” kongsinya.

Berkongsi mengenai kenangan bertemu dengan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah semasa pementasan muzikal itu berjalan, Misha berkata terdapat gurauan ringkas bersama Allahyarhamha ketika beliau mahu meminta untuk bergambar bersama.

“Saya memang berbangga kerana mempunyai pengalaman dan detik peribadi bersama beliau.

“Sebenarnya, beliau sangat tertib dan suka bergurau.

“Saya masih ingat ketika saya bertemunya ketika muzikal itu.

“Beliau datang dan saya bertanya, ‘Tun, boleh ambil gambar?’ Beliau jawab, ‘RM5 ($1.6)’.

“Beliau memang suka bergurau dan tidak mahu kita berasa kekok,” kongsinya.

Berkongsi mengenai pemergian Allahyarhamha pada 28 September di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, Misha, yang bakal membuat konsertnya berjudul, Aku & Lelaki, pada Oktober, mengakui beliau turut terkesan dengan pemergian Allahyarhamha.

“Saya rasa bukan saya seorang yang terdiam dan bungkam... Suasananya mendung dan perasaan itu macam satu detik yang panjang...

“Saya rasa... (ia) antara hari yang paling panjang dalam siri hari-hari sedih dalam hidup saya,” katanya.

“

“Ketika saya bertemu beliau (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali), saya baru beberapa tahun menjadi penyanyi dan pelakon. Tetapi beliau tidak mewujudkan jurang sehingga membuatkan kita berasa kekok atau takut. Saya bangga mempunyai pengalaman seperti itu...”
Misha Omar.