Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nabila Huda: Sendiri kontang-kanting, bagaimana nak ajar orang berlakon?

Pelakon biopik ‘Saloma’ rasa belum layak bergelar ‘sifu’ seni lakon, tapi sudi kongsi ilmu bahkan pesan kepada pelakon baru agar lebih banyak belajar daripada kejar populariti
May 27, 2025 | 11:54 AM
Nabila Huda, mengajar, populariti
Nabila Huda tidak terfikir untuk mengajar lakonan meskipun sudah lama menceburi bidang ini. Bagaimanapun, beliau tidak ada masalah berkongsi dengan pelakon muda dan baru lain, setakat mana yang beliau sendiri tahu. - Foto INSTAGRAM NABILA HUDA

Meskipun berpengalaman lebih dua dekad dalam dunia lakonan, aktres Nabila Huda belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai guru lakonan.

Bagaimanapun, Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2019 itu, berkata beliau tidak lokek sekiranya ada yang mahu berkongsi ilmu, namun berasakan masa bergelar guru belum tiba.

“Sebenarnya, saya masih dalam proses pembelajaran, walaupun mungkin ada yang nampak saya sudah bergerak jauh dalam bidang seni. Bila ada orang cakap saya sudah boleh mengajar, saya segan sebab rasa tak layak.

“Banyak lagi saya mahu kejar, jadi segan pula nak mengajar. Saya pun tiada sijil untuk mengajar, namun saya akan ajar berpandukan pengalaman jika sudah bersedia.

“Jujurnya, saya tak terfikir sampai tahap nak mengajar. Bagi mereka yang nak bertanya, tiada masalah. Saya akan berkongsi apa yang saya tahu,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19, Nabila, 40 tahun, mengakui mengadakan kelas untuk berkongsi ilmu, tapi itu hanya untuk mengisi masa lapangnya.

“Ketika fasa pandemik, saya ada masa terluang, jadi kongsi ilmu. Tapi, sebenarnya susah nak jaga ramai orang. Kita sendiri terkontang-kanting hidup, tak cukup tidur, macam mana nak mengajar orang?” katanya.

Dalam pada itu, Nabila menasihatkan agar sesiapa yang berminat untuk terjun ke dalam bidang lakonan cari peluang dan ruang untuk menghadiri kelas lakonan kerana menjadi pelakon bukanlah mudah.

Bagi Nabila, beliau mengambil masa 10 tahun untuk memahami ilmu lakonan.

“Kita kena sedar ruang, bakat sampai mana. Jangan perasan semua orang kenal kita. Jangan biarkan populariti mengaburi mata hingga rasa sudah cukup bagus, ia sangat memalukan.

“Letak populariti sebagai perkara kedua. Apa yang penting, kena sedar diri. Kalau dapat watak berat, tanya diri sendiri mampu atau tidak. Kalau rasa tak mampu, keluarkan belanja lebih, cari guru untuk belajar.

“Ada rakan saya baru masuk set tanpa asas, buat hal, sibuk dengan telefon, bila orang sedang berlatih tak fokus, benda sebegitu tak bagus. Apapun, adab di set kena jaga.

“Kalau berlakon bukan sebab kita nama pertama, tapi sama-sama beri tenaga biar seiring dengan semua orang.

“Barulah naskhah boleh jadi terbaik sebab semua memberi tenaga sama. Jadi, kalau betul nak berlakon, pergilah kelas lakonan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg