Sejujurnya, saya bukanlah peminat cerita bergenre seram.
Tetapi apabila ternampak poster promosi, Malam Seram: Teater dan Muzik, ia seakan ‘memanggil-manggil’ untuk saya datang menonton pementasan itu kerana barisan pelakon yang ditampilkan serta konsep mistik yang diketengahkan.
Selalunya kalau cerita hantu, ia ditayangkan di pawagam atau televisyen.
Namun kali ini, genre seram dipersembahkan melalui satu pementasan, di dalam panggung The Star Theatre yang besar.
Adakah saya dapat lihat puntianak berterbangan, ataupun haruman kemenyan mengisi panggung?
Itulah persoalan yang bermain di fikiran sebelum menjejakkan kaki ke dalam panggung.
Pementasan, Malam Seram: Teater dan Muzik, anjuran Muse+ berlangsung pada 24 Mei di bawah arahan Rafaat Hamzah.
Ia menggandingkan pelakon hebat dari seberang iaitu Nabila Huda sebagai Najwa; Beto Kusyairi (Uzair); serta bakat tempatan, Dalifah Shahril (Dahlia); dan Rizal Aiman sebagai Razli.
KC Champion, peneraju program podcast/vodcast Malam Seram, turut membuat penampilan khas selaku tok bomoh.
Ilmu hitam diangkat sebagai tema pementasan seram ini yang mengisahkan tentang Najwa seorang ketua yang suka mendesak orang bawahannya, Dahlia, untuk melakukan pelbagai tugas meskipun mereka berdua berkawan baik di luar pejabat.
Razli pula bertugas sebagai ‘mat despatch’ (penghantar surat) di pejabat Najwa dan dalam diam, menaruh hati kepada Najwa walaupun Najwa sering mengherdiknya.
Dalam pada itu, Uzair pula ialah jiran Najwa yang mempunyai sikap pelik, tetapi baik dengan Najwa dan sangat mengambil berat tentangnya.
Pada suatu hari Najwa disantau melalui satu pemberian makanan dan ini menjadi tanda tanya, siapakah di antara ketiga-tiga watak itu yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu?
Sebagai sebuah teater muzikal, pementasan Malam Seram, turut diiringi ‘live’ band dan diwarnai dengan persembahan nyanyian oleh Mimifly.
Kalau ditanya babak mana yang paling menyeramkan, bagi saya ialah pada permulaan pementasan, semasa pemain gendang dan rebab dari Kelantan, Kamrul Hussin Wak Long, membaca doa untuk meminta perlindungan daripada dikacau makhluk halus sepanjang pementasan itu berlangsung.
Kamrul juga merupakan seorang yang aktif dalam persada pementasan wayang kulit di tanah airnya.
Semasa Kamrul berdoa, tiba-tiba, penonton dikejutkan dengan bunyi meletup-letup seakan bunyi bunga api.
Selepas itu, ternampak kru pentas membetulkan mikrofonnya, menunjukkan bahawa terdapat masalah teknikal.
Tidak pasti jika secara kebetulan ataupun tidak, yang pasti bunyi itu membuatkan bulu roma saya meremang kerana ia terjadi tepat pada masa Kamrul meminta dijauhi daripada ‘diganggu’.
Dari segi lakonan, setinggi pujian perlu diberikan kepada Nabila, Beto, Dalifah serta Rizal kerana berjaya menyerap masuk segala emosi ke dalam jiwa mereka ketika beraksi di pentas.
Nabila, aktres yang tidak disangkal lagi dengan kehandalannya menghidupkan watak, sangat terserlah semasa watak Najwa diserang histeria kerana dirasuk jin akibat disantau.
Pergerakan tubuh dan mimik mukanya sangat realistik dan berkesan dalam menunjukkan beliau sedang dalam kesakitan diganggu jin.
Ini mengingatkan saya kepada babak lakonannya dalam filem, Munafik, apabila watak beliau turut dirasuk seperti itu.
Beto, yang dikenali dengan watak Tok Kadi dalam kalangan penonton Singapura, pun tidak kurang hebatnya.
Pergerakan silat yang tangkas cuba melawan makhluk ghaib yang mengganggu Najwa.
Bagi bakat Singapura, Dalifah dan Rizal, walaupun sebagai watak sampingan, namun, mereka tetap memberikan persembahan mantap dengan suntikan humor, menguatkan lagi jalan cerita pementasan itu.
Namun, dalam setiap persembahan yang dipentaskan, pasti ada kekurangan yang boleh dibaiki.
Ada bahagian jalan cerita saya rasa sedikit meleret misalnya babak Beto membaca mantera (dalam bahasa yang saya kurang pasti), sambil melakukan silat di bahagian awal pementasan.
Babak itu sahaja memakan masa selama lima minit.
Satu lagi ialah dari segi penggunaan bahasa melalui dialog yang dilontarkan.
Ia kadangkala puitis dan abstrak, yang perlu diselami lagi maknanya.
Sebagai pencinta bahasa, sememangnya dialog yang puitis bagi saya bak alunan muzik yang syahdu, tetapi saya tidak pasti dengan penonton yang lebih muda.
Saya perhatikan ramai juga penonton yang hadir dalam kalangan golongan muda yang berusia 35 tahun ke bawah.
Dengan penguasaan bahasa Melayu di Singapura yang semakin berkurangan, mungkin penggunaan dialog yang berbunga-bunga boleh menjadi halangan untuk penonton memahami jalan cerita.
Semestinya kehadiran Mimifly yang sedang ‘fly’ (terkenal) dengan lagu Angkat dan Serumpun menjadi tumpuan utama.
Dalam pementasan teater dan muzikal itu, beliau menyampaikan beberapa lagu yang liriknya mengandungi unsur mistik antaranya Pulangkan, nyanyian asal Misha Omar; Sephia (Sheila On 7); Ulek Mayang (lagu berbentuk ritual berasal Terengganu); dan Menanti Kekasih (Alda Risma).
Satu kejutan dihadiahkan kepada penonton sebelum pementasan menutup tirai, dengan Mimifly menyampaikan versi seram lagu rayanya, Serumpun.
Versi seram itu ditukar nama kepada, Seseram, dengan lirik lagunya turut diubah ke arah unsur mistik dan perbomohan.
Karisma pentas Mimifly begitu kuat dengan tarian dan vokal yang bertenaga, sehinggakan pementasan Malam Seram ini, seperti satu mini konsert solo Mimifly.
Walau apapun syabas diucapkan kepada seluruh produksi, Malam Seram: Teater dan Muzik, yang berani meneroka satu pementasan unik.
Penonton bukan sahaja dibuai dengan jalan cerita yang menyeramkan, bahkan pementasan itu turut sarat dengan pengajaran yang disampaikan melalui watak tok bomoh (lakonan KC) mengenai larangan agama berkaitan ilmu hitam.
Keberanian membawa kelainan dalam genre yang diketengahkan ternyata berbaloi dengan tiket yang habis dijual dan saya pasti ramai turut terhibur malam itu.
Berbalik kepada hajat saya nak tengok puntianak terbang sana-sini mungkin terlalu menggunung harapan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg