Nabila Huda seronok beraya di samping keluarga suami, di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nabila Huda seronok beraya di samping keluarga suami, di S’pura

Mar 24, 2026 | 9:52 AM

Nabila Huda seronok beraya di samping keluarga suami, di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
nabila huda
Setiap Syawal, pelakon Nabila Huda (kanan) teruja menyambut Aidilfitri bersama keluarga suami tercinta, Mohd Izwan Johar (kiri), di Singapura. - Foto INSTAGRAM NABILA HUDA

Sambutan Hari Raya, pada 2026, membawa senyuman tersendiri buat pelakon Malaysia, Nabila Huda, apabila berpeluang meraikannya di kampung halaman keluarga mentua di Singapura.

Bagi Nabila, atau nama sebenarnya, Nabila Huda Suhaimi, pengalaman itu bukan sekadar beraya, tetapi detik untuk menikmati suasana santai dan meriah bersama insan tersayang.

Menurut anak kepada ‘rocker’ legenda, Datuk Amy Search, itu sikap mesra dan keterbukaan ibu mentuanya menjadikan sambutan Lebaran di Kota Singa lebih menyeronokkan.

“Raya di Singapura memang meriah.

“Keluarga ibu mentua saya semua di sana dan saya sangat suka beraya di Singapura. Keluarga suami besar, manakala keluarga saya pula kecil... jadi suasananya lebih meriah.

“Yang paling seronok dengan ibu mentua saya, saya tak perlu bangun seawal 6.30 pagi.

“Kami boleh bangun ikut suka hati. Dia bukan jenis menjerit pagi-pagi untuk bersiap,” kata Nabila, 41 tahun, dalam laman Berita Harian Malaysia (BHM).

Bagi juadah istimewa Lebaran, hidangan seperti sambal goreng pengantin disediakan oleh ibu mentuanya, manakala suaminya yang juga ahli perniagaan, Mohd Izwan Johar, 43 tahun, pula menyediakan rendang paru dan rendang daging.

“Saya pandai masak lodeh sahaja, tapi Hari Raya saya cuti memasak.

“Kalau saya mengantuk, saya boleh tidur... tiada siapa marah atau nak ‘judge’ (menghakimi seseorang).

“Bila beraya di sana, senang hati sebab tiada siapa nak marah,” katanya lagi.

Berbeza dengan sambutan Hari Raya di kampung di Malaysia, Nabila menyifatkan suasananya lebih tersusun dan memerlukan persiapan yang dilakukan lebih awal.

“Kalau di kampung nenek saya, jam 6.30 pagi dah kena bangun.

“Sebelum ahli keluarga pergi solat subuh, kita kena sediakan makanan.

“Berbeza dengan Singapura, kami keluar beraya pun jam 1 atau 2 petang,” ujar pelakon filem Gayong itu.

Di samping itu, Nabila akur tidak terlalu mementingkan persiapan awal atau penampilan sedondon ketika menyambut Lebaran.

“Setiap tahun saya buat persiapan pada saat-saat akhir.

“Bagi saya, yang paling penting pada Hari Raya adalah ‘bonding’ (kebersamaan) dengan keluarga.

“Gambar boleh ambil saja, tak perlu sedondon,” kongsi Nabila.

Walaupun anak perempuannya, Keisha Laila, 16 tahun, beraya dengan bapanya yang juga penyanyi ‘rap’, Zaidi Zailani, pada tahun ini (2026), Nabila tetap memastikan anaknya menerima duit raya.

Nabila dan Zaidi, atau lebih mesra disapa, Eddie G, bercerai pada 2011, selepas mendirikan rumah tangga selama tiga tahun.

“Keluarga semua akan bagi (duit raya) untuk Keisha, jadi saya akan balik dengan dolar Singapura yang dititipkan untuk dia,” kata Nabila, yang turut menyambut Syawal pertama bersama ibunya, Faridah Fadzil, di Malaysia, sebelum meneruskan sambutan Lebaran di Singapura.

Dalam perkembangan lain, Nabila bakal muncul dalam filem Gayong 2 yang akan ditayangkan di pawagam di Malaysia bermula 9 April.

Ia merupakan filem susulan Gayong yang ditayangkan pada 2025, membawa kisah mahaguru silat gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), yang berlatarbelakangkan selepas Perang Dunia Kedua.

Nabila bakal digandingkan semula dengan pelakon seperti Beto Kusyairy dan Syafie Naswip, selepas filem pertama meraih kutipan pecah panggung melebihi RM5 juta ($1.6 juta).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg