Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nabila Huda teruskan teater meski cedera tulang belakang

Dec 19, 2025 | 1:05 PM
nabila huda, slipped disc, malaysia
Nabila Huda menjalani pemeriksaan dan rawatan selepas disahkan mengalami kecederaan ‘slipped disc L5’, namun tetap komited meneruskan pementasan teater muzikal, ‘Masmoona’. - Foto INSTAGRAM NABILA HUDA

KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda tetap meneruskan pementasan teater muzikal, Masmoona, yang dijadualkan bermula esok meskipun disahkan mengalami kecederaan tulang belakang, slipped disc L5.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Nabila, atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 41 tahun, berkata serangan sakit pada bahagian pinggang berlaku secara tiba-tiba selepas bangun daripada tidur, dua hari lalu.

“Sebelum ini, saya pernah mengalami masalah sakit pinggang, namun sudah lama tidak mengalami serangan seperti itu.

“Nak dijadikan cerita, dua hari lalu, sebaik sahaja saya bangun tidur, sakit itu kembali menyerang secara tiba-tiba. Kali ini sakitnya berbeza dan jauh lebih teruk sehingga saya sukar untuk berdiri.

“Memandangkan pementasan teater muzikal Masmoona sudah semakin dekat, saya mula panik.

“Jadi, semalam sebelum menghadiri sesi latihan, saya mengambil keputusan untuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) untuk mengetahui keadaan sebenar,” tulisnya.

Pelakon filem, Tombiruo: Penunggu Rimba, itu mengakui terkejut dengan keputusan pemeriksaan berkenaan, namun menganggap keadaan itu sebagai ‘hadiah’ penutup 2025.

“Saya sedar saya bekerja terlalu keras sepanjang tahun, tetapi begitulah… saya memang cintakan kerjaya ini.

“Jangan risau semua, semuanya terkawal. Saya boleh hadapinya,” katanya.

Nabila turut berkongsi detik lucu perbualannya bersama doktor yang menawarkan sijil cuti sakit (MC) selepas melihat keadaannya.

“Paling kelakar, doktor tanya, ‘awak nak MC tak?’. Terus saya dan rakan saya tergelak dan jawab, ‘kerja kami ini memang tiada istilah MC dalam kamus’.

“Persembahan esok, orang pun sudah beli tiket. Siapa pula yang nak menggantikan watak ‘Malam’? Memang tak mungkin,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Nabila berkata beliau memilih untuk mengambil ubat penahan sakit paling kuat bagi membolehkannya meneruskan pementasan dan berjanji akan menjalani rawatan fisioterapi selepas selesai semua persembahan.

“Saya beritahu doktor, berikan saya peluang untuk habiskan empat persembahan ini dahulu dengan bantuan ubat penahan sakit paling kuat. Selepas itu, saya janji akan menjalani fisioterapi.

“Doktor hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepala. Apa pun, persembahan teater mesti diteruskan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg