Topik diikuti
Pergi ke BHkuNada Fitri sambut hari lahir, julang gelaran juara ‘Anugerah 2026’
Bekas penyanyi kafe asal Batam, Farras Qushayyi dinobat naib juara, kini nanti kelahiran cahaya mata ketiga
Nada Fitri sambut hari lahir, julang gelaran juara ‘Anugerah 2026’
Siapa sangka, selepas sedekad menggantungkan mikrofon, Nada Fitri kembali mencipta kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan realiti pencarian bakat nyanyian tempatan, Anugerah 2026, anjuran Mediacorp Suria, pada 27 Oktober.
Suri rumah dan ibu dua cahaya mata berusia tiga dan empat tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $25,000 tajaan agensi hartanah PropNex, berserta piala.
Hadiah ulang tahun paling bermakna
Lebih istimewa, kejayaan tersebut menjadi hadiah ulang tahun kelahiran paling bermakna buat Nada, yang turut genap berusia 25 tahun pada hari yang sama.
Mengimbas detik kemenangan yang cukup bermakna itu, beliau berkata kepada Berita Harian (BH):
“Sebenarnya, saya kurang yakin apabila membuat keputusan untuk kembali ke industri muzik, lebih-lebih lagi kerana saya lebih cenderung kepada genre dangdut dan muzik tradisional.
“Pada usia saya, saya merasakan tidak ramai yang meminati genre muzik sebegitu, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Apabila terfikir untuk menyertai Anugerah, saya juga berasa ragu-ragu.
“Malah, saya pernah memberitahu ibu saya yang pertandingan ini mungkin lebih mencari peserta yang mampu menyanyikan lagu bernada tinggi, berbanding penyanyi yang mempunyai suara bernada rendah seperti saya.
“Bagaimanapun, alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas kemenangan ini.”
Beliau ditemui BH sejurus selepas tamat persembahan di pentas akhir Anugerah 2026, di Mediacorp Campus.
Meskipun sedar undian awam memainkan peranan dalam menentukan keputusan pertandingan, Nada berkata beliau sudah bersedia menerima apa jua keputusan.
“Sebenarnya, saya tidak terlalu kecewa dengan keputusan undian kerana saya sudah reda menerima apa jua keputusan, apatah lagi saya sedar akan kedudukan undian yang diperoleh sejak minggu pertama.
“Malah, saya turut memberitahu ibu bapa saya, saya tetap bersyukur kalau menang tempat ketiga atau keempat sekali pun.
“Ketika membuat persembahan, saya tidak terlalu memikirkan soal kemenangan.
“Apa yang bermain dalam fikiran saya hanyalah untuk memberikan persembahan terbaik kerana itulah peluang saya untuk membuktikan kemampuan diri,” katanya lagi.
Di samping itu, Nada, yang pernah mewakili Singapura dalam pertandingan nyanyian dangdut terkenal Indonesia, D’Academy Asia 3, pada 2017, akur sesi latihan pada waktu malam hingga selewat dua pagi bersama penyanyi, Rahila Rashun, ternyata membuahkan hasil.
“Kak Rahila selalu beri saya semangat dan yakinkan saya boleh menyanyi nada tinggi, walaupun kadangkala saya sendiri tak yakin.
“Setiap kali saya cakap tak boleh, dia akan kata saya sebenarnya boleh.
“Beliau juga banyak ajar saya teknik nyanyian dan memang tegas ketika latihan.
“Kalau saya buat silap, memang kena tegur,” tambahnya.
Rahila, 29 tahun, yang turut hadir menyaksikan pertandingan akhir itu, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila bersorak sebaik sahaja nama Nada diumumkan sebagai juara.
Di pentas akhir pertandingan itu yang bertemakan Showstopper, Nada menyanyikan lagu Romancinta, dendangan asal kumpulan Mojo.
Persembahan itu turut berjaya memikat hati ketua juri, Najip Ali, yang memuji keberanian Nada meneroka pelbagai genre muzik, sekali gus membuktikan kebolehannya sebagai penyanyi serba boleh yang mampu membawakan lagu balada, dangdut mahupun rok.
Bagi pusingan duet, Nada bergandingan dengan juara Anugerah 2009, Sarah Aqilah, mendendangkan lagu Aku Bidadari Syurgamu, yang dipopularkan Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Rezeki anak menjelang kelahiran cahaya mata ketiga
Gelaran naib juara pula menjadi milik penyanyi asal Tanjung Uma, Batam, Indonesia, Farras Qushayyi.
Perjalanan seni Farras, 28 tahun, sepanjang pertandingan itu tidak sunyi daripada cabaran, apatah lagi beliau pernah melalui pusingan ‘Wildcard’ sebelum berjaya melangkah ke pentas akhir.
Sebelum ini, Farras pernah bergiat aktif sebagai penyanyi kafe di Batam.
Namun begitu, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia nyanyian demi merealisasikan hasrat membina rumah tangga bersama isterinya, Cik Noor Nazrenah Selamat, 29 tahun.
Anak sulung dalam keluarga lima beradik itu berpindah ke Singapura pada 2022.
Hasil perkahwinannya dengan Cik Nazrenah, mereka dikurniakan dua anak perempuan berusia setahun dan lapan bulan.
“Apabila mengambil keputusan untuk berkahwin, saya terpaksa memilih antara kerjaya nyanyian di Batam dengan isteri.
“Akhirnya, saya memilih untuk bersama isteri dan berpindah ke Singapura, sekali gus melepaskan kerjaya yang sudah lama dibina sejak berumur 15 tahun.
“Bagaimanapun, alhamdulillah, Allah terus membuka pintu rezeki buat saya sehinggalah berhasil dinobatkan sebagai naib juara,” katanya, yang pernah mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian, Indonesian Idol X, di Jakarta pada 2020.
Selaku naib juara, Farras yang kini bertugas sebagai kru makanan dan minuman (F&B) di sebuah restoran makanan segera di sini, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $10,000 berserta piala.
Beliau turut membawa pulang $5,000 selepas meraih Anugerah Bintang Paling Popular PropNex menerusi jumlah undian awam tertinggi.
Kejayaan itu disifatkannya sebagai ‘rezeki anak’, apatah lagi ketika beliau dan isteri kini menghitung hari menantikan kelahiran cahaya mata ketiga mereka.
Lebih manis, kejayaannya di pentas itu turut disaksikan ahli keluarganya yang sanggup datang dari Batam untuk memberikan sokongan.
Persembahan Farras menerusi lagu Lelaki Ini (Anuar Zain), nyata membuai perasaan barisan juri, khususnya Hady Mirza dan juri undangan khas, Aina Abdul, yang dilihat mengayunkan tangan ke hadapan sambil menghayati setiap bait yang dinyanyikan.
Meskipun begitu, persembahan itu belum cukup memuaskan hati juri, Ann Hussein, yang mengakui lebih menggemari versi asal.
Bagaimanapun, Ann tetap memuji usaha Farras memberikan sentuhan tersendiri terhadap lagu itu.
“Sebenarnya, saya lebih suka versi Anuar. Tetapi, saya rasa Farras berhasil memberikan kelainan dengan interpretasi sendiri,” ujarnya.
Farras turut membuktikan kebolehannya membawakan lagu berentak lebih rancak menerusi Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah), yang dipersembahkan secara duet bersama alumni Anugerah 2021, Azra Zulaikha.
Pusingan penentuan juara yang bergantung seratus peratus pada keputusan juri pula menyaksikan Nada dan Farras membawakan lagu ciptaan penyanyi dan komposer tempatan, Awi Rafael.
Nada menyanyikan lagu Bila Cinta Kau Sudah Tiada.
Sementara itu, Farras menyanyikan lagu Dan Tolong Bilang.
Ketiga-tiga finalis lain yang terdiri daripada Banie, 22 tahun; Izzan Adlan, 24 tahun; dan Alfan Ryan, 20 tahun; tidak pulang dengan tangan kosong.
Masing-masing membawa pulang $3,000 berserta piala.
Pusingan akhir Anugerah 2026 boleh ditonton semula di aplikasi mewatch atau menerusi laman YouTube Mediacorp Entertainment.