Topik diikuti
Pergi ke BHkuNadhir anggap kritikan terhadap lakonannya sebagai perkara ‘indah’
Nadhir anggap kritikan terhadap lakonannya sebagai perkara ‘indah’
Menganggap diri beliau masih ‘hijau’ atau mentah lagi dalam industri seni, Nadhir Nasar mengakui banyak perkara perlu beliau pelajari sebagai seorang pelakon.
Meskipun lakonannya dikritik netizen, Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30 tahun, memilih untuk menerima pandangan penonton dengan hati terbuka.
“Cara kritikan yang orang sebut tentang lakonan saya sebenarnya komen-komen membina. Alhamdulillah saya perlukan komen-komen begitu untuk jadikan lebih baik daripada sebelum ini.
“Umur saya baru 30 tahun dan lima tahun dalam industri seni ini, banyak lagi ilmu yang perlu saya cari dan perbaiki.
“Sebagai pelakon muda, saya harus membuka ruang untuk menerima segala kritikan untuk menjadi lebih baik,” katanya dalam laman Harian Metro.
Nadhir yang mula menempa nama melalui rancangan Hero Remaja pada 2020, berkata, beliau menyifatkan komen dilemparkan sebagai satu ‘keindahan’ yang dinikmatinya dalam bidang lakonan.
“Selepas berada dalam industri ini, itulah keindahan yang saya nikmati dalam apa yang dilakukan sekarang. Ada orang suka dan ada yang tidak suka.
“Saya hanya meraikan semuanya, saya baca saja komen dalam media sosial.
“Tak dinafikan sebagai pelakon saya memerlukan kritikan seperti itu kerana pada akhirnya peminat yang membeli tiket untuk menonton filem saya.
“Jadi saya perlu terima secara terbuka selagi tidak memberi kesan besar pada diri kita,” katanya lagi.
Tidak mampu memuaskan hati semua orang, pelakon filem Chelot itu enggan terlalu memikirkan pandangan penonton yang kurang menyukai hasil lakonannya.
Justeru, bagi Nadhir, beliau lebih tertumpu kepada penonton yang meminati lakonannya dan tidak putus memberi beliau sokongan.
Menerusi filem Chelot, lakonan Nadhir mendapat pelbagai reaksi penonton apabila ada yang menganggap lakonannya agak kekok atau ‘kaku’.
Malah, ada yang mendakwa penggunaan lakonan Nadhir seolah-olah dilihat seperti memaksa dan kurang disenangi sesetengah penonton.
“Dalam 10 orang, mungkin ada dua yang tidak suka tetapi lapan lagi masih memberikan sokongan. Jadi, fokus sahaja kepada individu yang sentiasa menyokong kita.
“Komen-komen sebegitu tidak menjatuhkan semangat kerana saya masih suka dengan apa yang saya lakukan sekarang iaitu berlakon,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Nadhir bakal membintangi filem seram Pemuja Syaitan yang juga naskhah filem pertama arahan Liyana Jasmay dan terbitan Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution.
