Dalam lambakan filem aksi yang semakin kerap membanjiri pawagam sejak kebelakangan ini, pada awalnya saya menyangka Chelot tidak lebih daripada satu lagi naskhah yang hadir untuk merancakkan genre tersebut dalam pasaran.

Namun begitu, filem arahan Adrian Teh itu ternyata mempunyai beberapa tarikan tersendiri, khususnya menerusi permainan psikologi, persoalan tentang kepercayaan, kesetiaan serta dilema yang dihadapi watak utamanya.

Filem berkenaan mengangkat kisah Inspektor Haqqim (lakonan Shukri Yahaya), pegawai polis operasi khas yang terdesak menjadi pemberi maklumat kepada sindiket jenayah yang dipimpin Datuk Bakri (Shaheizy Sam) akibat tekanan kewangan, demi melindungi dan menyelamatkan keluarganya.

Selain itu, Chelot terlebih dahulu mencuri perhatian apabila mencatat rekod babak aksi satu rakaman tanpa putus yang terpanjang dalam sejarah perfileman Malaysia, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Dirakam tanpa sebarang potongan, babak sejauh 1.9 kilometer dari Quill City Mall hingga Pertama Complex, sekitar Kuala Lumpur, itu berlangsung selama lima minit 19 saat.

Apa yang lebih mengagumkan bukanlah rakaman panjang itu semata-mata, tetapi bagaimana setiap pergerakan dan aksi dalam babak tersebut disusun serta dilaksanakan dengan begitu teliti.

Dengan kamera yang terus mengejar setiap gerak-geri dan aksi pelakon tanpa henti, saya rasa macam tengok permainan video pula!

Memang mencengkam dada ketika melihat babak itu.

Dari segi kesan visual dan koreografi aksi, Chelot barangkali antara karya terbaik arahan Teh yang pernah saya tonton, selepas beliau mencipta nama menerusi filem seperti PASKAL, Magik Rompak, MALBATT: Misi Bakara dan Wira.

Setelah sekian lama dikenali menerusi drama televisyen, kemunculan Shukri dalam deretan filem aksi akhir-akhir ini, membuka ruang bagi penonton melihat sisi berbeza dalam lakonannya.

Percubaan pertamanya menerusi filem, Blood Brothers: Bara Naga, arahan Syafiq Yusof, ternyata meninggalkan kesan apabila berjaya menghidupkan watak antagonis dengan cukup meyakinkan, meskipun genre aksi masih baharu dalam perjalanan seninya.

Jika naskhah itu menemukan Shukri dengan sisi gelap sebagai antagonis, Chelot pula membawanya ke arah berbeza apabila diberi tanggungjawab menerajui cerita sebagai Inspektor Haqqim.

Menariknya, watak Haqqim bukan sekadar menuntut Shukri menampilkan kewibawaan seorang anggota polis, malah kebijaksanaan mengatur langkah dengan penuh berhati-hati ketika berdepan keadaan genting, ibarat menarik rambut dalam tepung.

Pada masa sama, Shukri turut memperlihatkan pergolakan emosi seorang lelaki yang tersepit antara tuntutan tugas, kemelut rumah tangga dengan dilema terhadap pilihan yang dibuatnya sendiri.

Bagi saya, Inspektor Haqqim boleh dianggap antara persembahan terbaik Shukri setakat ini, terutama kerana watak itu tidak bergantung pada ledakan emosi atau aksi fizikal semata-mata.

Kalau Shukri menyerlah menerusi ketenangan wataknya, Beto Kusyairy pula hadir sebagai Azraf dengan kejutan tersendiri yang menjadi antara tarikan utama Chelot.

Apatah lagi, Beto sebelum ini sering meninggalkan kesan menerusi watak yang kuat pendirian dan jati dirinya, antaranya Datuk Meor Abdul Rahman, pengamal serta guru silat gayung dalam filem Gayung, dan Wahid, pahlawan yang juga sahabat kepada Mat Kilau menerusi naskhah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Justeru, kemunculannya sebagai Azraf, lakonan Beto, yang terjerumus dalam dunia jenayah memberikan kelainan dan pada awalnya menimbulkan tanda tanya terhadap hala tuju sebenar wataknya.

Tanpa mahu membocorkan terlalu banyak jalan cerita, perkembangan watak Azraf membawa kepada satu kejutan yang berjaya mengubah tanggapan awal terhadap dirinya.

Pendedahan tersebut menjadi antara titik perubahan paling menarik dalam filem ini kerana bukan sahaja memberi dimensi baharu kepada Azraf, malah meningkatkan ketegangan jalan cerita ketika filem menghampiri kemuncaknya.

Sebagai Datuk Bakri, Shaheizy Sam pula menggalas watak seorang lelaki kaya yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan sukar dijangka, selain terlibat dalam kegiatan jual beli senjata secara haram.

Tidak dapat dinafikan, Shaheizy mempunyai kemampuan untuk melakukan perubahan besar dalam diri demi tuntutan watak.

Sebelum ini, Shaheizy pernah mencuri perhatian menerusi perubahan fizikalnya sebagai bapa tunggal pekak dalam filem Badak.

Ini jauh berbeza daripada susuk tegapnya sebagai Inspektor Khai dalam filem Polis Evo, sehingga disamakan sesetengah peminat dengan pelakon Hollywood, Christian Bale.

Sebagai Datuk Bakri, sisi gelap Shaheizy tetap meyakinkan dalam menggambarkan sosok yang kejam dan sukar dijangka.

Namun begitu, pada beberapa bahagian, gaya pertuturan dan mimik wajahnya terasa agak serupa dengan watak antagonis yang pernah dilihat sebelum ini.

Kesannya, Datuk Bakri ada kalanya terperangkap dalam gambaran penjahat yang ‘klise’, sedangkan kemampuan Shaheizy sebenarnya membuka ruang untuk watak itu diterokai dengan lebih mendalam.

Namun, kekurangan tersebut tidak menafikan kemampuannya sebagai antara pelakon yang cukup berwibawa untuk menggalas watak antagonis sebegini.

Selain barisan pelakon utama, Nadhir Nasar, turut mencuri perhatian dalam filem aksi pertamanya ini.

Sebagai antara pelakon muda yang semakin meningkat naik di Malaysia, Nadhir sekali lagi berani mencabar dirinya menerusi watak Chacko, iaitu pemuda dingin dan sadis yang cekap menggunakan senjata api.

Apa yang mengagumkan bukan sahaja keupayaannya melaksanakan babak aksi, bahkan kesungguhannya mengubah gaya rambut untuk memberikan identiti tersendiri kepada watak tersebut.

Alicia Amin juga menyerlah sebagai Zahra, orang kepercayaan Datuk Bakri, yang tampil dengan perwatakan keras dan tegas, namun sesekali menampakkan sisi lembut menerusi hubungannya dengan Azraf.

Pertentangan dua sisi itu menjadikan wataknya lebih rumit dan tidak sekadar menjadi pelengkap dalam golongan antagonis yang didominasi pelakon lelaki.

Bagi saya, lakonannya kali ini lebih menyerlah berbanding penampilannya dalam filem aksi terdahulu, Konspirasi.

Bagaimanapun, Chelot masih mempunyai beberapa kekurangan, terutama pada bahagian awal yang bergerak agak perlahan ketika memberi ruang kepada pembinaan watak, hubungan serta latar dunia jenayahnya.

Namun, rentaknya mula berubah apabila memasuki separuh kedua, dengan penceritaan yang semakin rancak dan ketegangan yang terus memuncak.

Filem ‘Chelot’ boleh ditonton di pawagam Golden Village (GV) iaitu GV Bishan dan GV Paya Lebar bermula 3 September.