Sebut nama Hyrul Anuar, ramai yang mengenalinya sebagai penyanyi dan penggubah lagu yang pernah menjulang piala juara Anugerah 2005.
Insan kreatif yang bakal menyambut ulang tahun ke-40 pada 23 September ini (2025) nampaknya mendapat hadiah hari lahir lebih awal berupa pencalonan bagi Anugerah Screen Mediacorp 2025 (Mediacorp Screen Awards 2025), yang buat julung-julung kalinya dianjurkan syarikat media penyiaran ini pada 29 Ogos.
Majlis gilang-gemilang di Hotel Pan Pacific Orchard ini merupakan acara tertutup yang meraikan kecemerlangan karyawan penerbitan belakang tabir dan teknikal, daripada pengarah, penulis naskhah drama, telefilem dan program hiburan atau info hiburan hinggalah penyunting video bagi rancangan Melayu, Cina dan India.
Ia satu usaha meraikan kreativiti, kesenian dan ketukangan serta kecemerlangan teknikal golongan yang berperanan penting dalam menghidupkan kisah-kisah yag menjadi tatapan mata pencinta program televisyen di Singapura.
Sebelum ini, karyawan kreatif di belakang tabir bagi program Melayu diraikan dalam rancangan penyampaian anugerah seperti Pesta Perdana.
Pada 2023, satu acara makan malam perdana karyawan kreatif sempena Pesta Perdana diadakan di JW Marriott Hotel Singapore South Beach.
Kali ini, di Anugerah Screen Mediacorp, sebanyak 21 anugerah (tujuh bagi setiap bahasa) akan disampaikan bagi tujuh kategori, meliputi Arahan Terbaik (Drama); Arahan Terbaik (Hiburan); Sinematografi Terbaik (Drama); Lakon Layar Terbaik (Drama); Skrip Kajian Terbaik (Hiburan); Suntingan Terbaik (Drama); dan Suntingan Terbaik (Hiburan).
Hyrul dicalonkan bagi kategori Skrip Kajian Terbaik (Hiburan) untuk Warna Ramadan 2024, terbitan Mediacorp Eaglevision.
Calon lain dalam kategori ini adalah Rein Zahrein (Cantik Detektif Siri 5), Wahyu Rahman dan Adi Yadoni (Hilang 2.0), Netty Fiona Othman (Pelancaran Bulan Bahasa 2023), dan Rafeyah Abdul Rahman (Zakat SG Siri 3).
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Hyrul berkata: “Warna Ramadan merangkumi pelbagai jenis segmen walaupun dalam tempoh sesingkat setengah jam sahaja.
“Cabaran utama adalah untuk mengetengahkan segmen yang lebih menarik dari musim-musim sebelumnya.
“Jadi agak mencabar untuk mencari maklumat yang segar dan unik. Tapi, saya cuba gali sudut lain yang orang mungkin tak terfikir lagi.
“Alhamdulillah, saya dapat sajikan cadangan makanan, fesyen terkini, di samping menyulam mesej bermanfaat tentang ibadah puasa.
“Bukan mudah untuk sampaikan semuanya dengan gaya yang ringan, santai, dan tidak terlalu berat.
“Pendek kata, saya nak pastikan penonton teruja sambil meraih manfaat menerusi mesej yang mampu menyentuh hati dan memperkaya jiwa.”
Penerbit dari syarikat penerbitan, Poetry In Motion, Nusaibah Abdul Rahim, pula bersyukur dengan lapan pencalonan yang diraih pasukannya, bagi Anugerah Screen Mediacorp 2025.
Pengarah, Safiyuddin Razif, mendapat pencalonan bagi Arahan Terbaik (Drama) untuk Bisikan Syahdu, manakala Izzat Yusoff pula dicalonkan dalam kategori serupa bagi Mencari Marina.
Sofyan Daud pula mendapat dua pencalonan bagi Sinematografi Terbaik untuk Bisikan Syahdu dan Mencari Marina.
Poetry In Motion turut mendapat dua pencalonan bagi kategori Lakon Layar Terbaik menerusi penulisan naskhah Umie Isa untuk Bisikan Syahdu dan Mencari Marina.
Syahidah Zainudin turut mendapat dua pencalonan bagi kategori Suntingan Terbaik (Drama) untuk dua projek Poetry In Motion, Bisikan Syahdu dan Mencari Marina.
Kata Nusaibah, 42 tahun: “Calon-calon kami adalah yang telah bekerjasama rapat dengan kami buat bertahun-tahun lamanya. Mereka menunjukkan dedikasi dan kreativiti yang besar sekali.
“Apa yang membuatkan mereka menyerlah adalah kebolehan mereka untuk keluar dari zon selesa dan cuba sesuatu di luar kebiasaan, baik dari segi nilai naratif atau nilai penerbitan.
“Kerja mereka bukan sahaja projek tetapi menampakkan nyala rasa yang boleh dihidupkan di layar televisyen.”
Menurut Nusaibah lagi, salah satu cabaran terbesar ialah mengimbangi cita-cita kreatif dengan realiti bajet yang terhad serta usaha untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza dan tidak pernah dicuba sebelum ini.
“Walau apa pun situasi dan keterbatasan yang dihadapi, pasukan kami ini mengubah cabaran menjadi peluang menyampaikan penceritaan bermutu lagi meninggalkan kesan buat penonton,” jelasnya, yang menitikberatkan tema silang generasi serta usaha memanfaatkan pelbagai media baru untuk mendekati penonton muda.
Penerbit Elements Pictures, Wahyu Rahman, 40-an tahun, pula teruja dengan pencalonan dua penerbitan yang diusahakan pihaknya, iaitu drama Belaian dan program infohiburan, Hilang 2.0.
Adi Yadoni dicalonkan bagi kategori Arahan Terbaik (Drama) dan Lakon Layar Terbaik (Drama) untuk Belaian serta Arahan Terbaik (Hiburan) untuk Hilang 2.0.
Johan Ariff pula meraih pencalonan bagi Suntingan Terbaik (Drama) untuk Belaian serta Suntingan Terbaik (Hiburan) untuk Hilang 2.0.
Wahyu dan Adi dicalonkan bagi Skrip Kajian Terbaik (Hiburan) untuk Hilang 2.0.
“Dua projek ini, Belaian dan Hilang 2.0 begitu dekat di hati kami, masing-masing memberi kami pengalaman dan pengajaran yang begitu berharga.
“Belaian bukan sekadar sebuah cerita sebab ia satu perjalanan emosi. Kisahnya tentang seorang ayah muda yang berjuang untuk menjadi bapa terbaik buat anaknya yang baru lahir, selepas isterinya meninggal dunia ketika bersalin.
“Apa yang menghalang dirinya bukanlah kurang kasih sayang, tetapi pertarungan dengan bisikan negatif dalam dirinya sendiri.
“Telefilem ini bersifat psikologi, sangat emosional dan penuh realisme. Suasana di set sering senyap, tenang, bukan kerana tegang, tetapi kerana kami semua faham beratnya cerita ini,” jelas Wahyu.
Menurutnya, Hilang 2.0 pula membawa pengalaman yang berbeza.
“Ia membuatkan kami lebih menghargai seni dan warisan pada tahap lebih mendalam. Kajian yang dijalankan serta perbincangan bersama aktivis warisan dan para akademik sangat berharga dan tidak ternilai.
“Sebagai salah seorang penulis, pengalaman ini ibarat kembali ke sekolah, bagi saya mempelajari semula akar budaya yang suatu ketika dahulu diambil mudah.
“Paling membahagiakan apabila ramai penonton muda berkongsi mereka menggemari Hilang 2.0 kerana penyampaiannya segar, menyeronokkan dan mudah dihadam.
“Ia merupakan cara baru untuk bercerita tentang warisan buat generasi baru. Justeru, bolehlah seisi keluarga dengan pelbagai generasi menonton bersama,” kata Wahyu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg