Nadiya Nisaa tak kekal kerja ‘makan gaji’, dalami watak berat dalam lakonan
Nadiya Nisaa tak kekal kerja ‘makan gaji’, dalami watak berat dalam lakonan
Jadi orang biasa, pelakon filem ‘La Luna’ amati perwatakan manusia
Bakat lakonan pelakon wanita, Nadiya Nisaa, 40 tahun, dibuktikan menerusi pelbagai naskhah hebat yang ditayangkan di televisyen mahupun layar perak.
Ternyata, minat mendalam terhadap bidang seni persembahan ini sebenarnya sudah mula berputik dalam jiwa Nadiya, atau nama sebenarnya, Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, sejak kecil hasil sokongan padu daripada ibunya.
“Ibu saya memang suka mendedahkan kami adik-beradik kepada seni persembahan supaya kami biasa membuat persembahan di atas pentas, walaupun tidak pandai.
“Ibu akan mengajar kami tiga beradik menari pada waktu itu kerana adik keempat dan kelima belum lahir lagi. Sementara itu, saya anak kedua.
“Tujuannya adalah untuk membina keyakinan dan kreativiti serta kerja berpasukan kerana pendedahan sebegini sejak usia muda akan membuatkan keyakinan diri seseorang itu meningkat naik,” kata Nadiya dalam laman web Harian Metro.
Kepemimpinan dalam diri Nadiya juga mula terbentuk apabila beliau perlu merancang persembahan sendiri termasuk menetapkan jenis pakaian bagi setiap acara disertainya.
Pengalaman menyertai pelbagai pertandingan drama sewaktu di bangku sekolah menengah menjadi detik penting membabitkan dirinya dalam usaha mengasah bakat lakonan supaya menjadi lebih mantap.
“Dulu, saya pernah terlibat dalam pertandingan drama Melayu dan Inggeris kerana minat terhadap lakonan, tetapi malangnya tidak diberi peluang untuk memegang watak utama.
“Saya sering diberikan watak sampingan atau pembantu sahaja, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk memberikan persembahan terbaik setiap kali muncul di pentas sekolah,” katanya lagi.
Bakat besar yang dimiliki akhirnya mendapat pengiktirafan apabila Nadiya dinobatkan sebagai pelakon terbaik dalam satu pertandingan drama sekolah dan dinilai oleh tokoh filem terkenal iaitu, Mahadi J Murat.
“Mereka menjemput Mahadi menjadi juri dan beliau mengangkat saya sebagai pemenang waktu itu, walaupun saya hanya memegang watak sampingan dalam pementasan drama terbabit,” ujar Nadiya.
Demi menjayakan pementasan drama sekolahnya, Nadiya menjadikan filem klasik Jimmy Asmara karya Erma Fatima sebagai rujukan utama bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai latar masa era 1950-an.
“Kami banyak terpengaruh dengan filem itu dan menggunakan pita VHS (sistem video rumah) untuk melihat semula babak tertentu berulang kali.
“Drama kami ada sedikit elemen muzikal berlatarkan zaman 1950-an, jadi filem arahan Erma Fatima itu banyak mempengaruhi corak pementasan drama kami pada waktu itu,” ceritanya.
Minatnya terhadap seni persembahan, lakonan dan muzikal kian menebal selepas menonton karya hebat itu, lantas menguatkan lagi tekadnya mengejar cita-cita dalam industri hiburan di Malaysia.
Pelakon drama Adam dan Hawa itu turut menceritakan pengalaman paling ekstrem yang pernah dilaluinya sepanjang bergelar anak seni.
Antaranya ialah filem Interchange (2016) arahan Dain Said, yang merupakan satu naskhah unik dan sangat mencabar bagi Nadiya.
“Karya itu sendiri memang berada dalam dunia berbeza.
“Watak saya pula ialah wanita yang sudah hidup beratus tahun, tetapi tidak kelihatan tua.
“Saya diberi tawaran watak ini pun kerana menggantikan pelakon asal.
“Saya turut berlakon bersama pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra. Memang mencabar untuk bergandingan dengannya,” ujarnya.
Dalam masa singkat, Nadiya turut perlu mengkaji skrip dan membina wataknya.
Beliau menyifatkan pengalaman ini sebagai satu proses yang memberikan tekanan mental yang cukup besar pada dirinya sebelum penggambaran bermula.
Namun begitu, tidak ramai juga tahu Nadiya pernah mengambil keputusan mengejutkan untuk berehat seketika daripada dunia hiburan demi mencuba nasib bekerja ‘makan gaji’ dalam sektor awam.
Ketika fasa awal perkahwinan pada 2010, pelakon filem La Luna itu memilih untuk menjalani kehidupan sebagai orang biasa tanpa sebarang kerdipan lensa kamera dan perhatian ramai.
Pengalaman bekerja di pejabat sebenarnya memberikan satu perspektif baru kepadanya dalam memahami pelbagai perwatakan manusia sejagat untuk diterjemahkan kembali dalam lakonan di skrin.
“Bila saya berhenti (lakonan) dan masuk alam pekerjaan jadi orang biasa, saya teroka banyak karakter menarik.
“Saya jenis orang yang pemalu dan tidak selalu meluahkan perasaan dalam dunia sebenar, jadi lakonan adalah tempat untuk saya meluahkan perkara yang terbuku di hati,” ujar Nadiya.
Rutin harian Nadiya juga berubah sepenuhnya apabila perlu menggunakan pengangkutan awam termasuk sistem transit aliran ringan (LRT), serta berjalan kaki dari stesen ke pejabat tempat beliau mencari rezeki.
Kesempatan menjalani kehidupan biasa turut membolehkan Nadiya memperlahankan rentak harian yang sibuk serta memberi perhatian penuh kepada apa yang benar-benar bermakna dan penting dalam hidupnya.
Bagaimanapun, dilema antara kerjaya tetap dan minat mendalam terhadap seni lakonan akhirnya terlerai apabila beliau memilih untuk meninggalkan pekerjaan sebagai kakitangan awam demi mengejar impian menjadi pelakon versatil.
“Ketika itu, saya membuat keputusan untuk kembali ke kerjaya lakonan dan meninggalkan pekerjaan lama di unit perhubungan awam sektor kerajaan demi kepuasan diri,” kata Nadiya.

